Wednesday, March 15, 2017

Machiavellian meresapi politik penguasa kita


Tahniah  Niccolo Machiavelli.  Tokoh sains politik ini telah berjaya  membawa laras dan jurus politik penguasa  kita kepada teori dan falsafah unggulnya, "Matlamat menghalalkan cara."  Semua cara  termasuk yang melanggar garis agama, moral dan sosial  dihalalkan  demi kelangsungan kuasa.

"Matlamat menghalalkan cara."  Inilah falsafah atau petua turun temurun  dari abad ke 19 hingga kini  kemudian singgah kepada  penguasa politik di negara kita.  Saya pasti mereka tentunya kenal dan mengkhatami falsafah  Machiavelli  sejak lama dulu.

Machavellian meresap ke segenap  lapisan  rakyat dan takah kepimpinan.  Walaupun nama  Machavelli  tidak pernah diungkap, falsafah dan teori politik  kuasa  sudah mendarahdaging. 

Daripada beberapa bukunya terutama The Prince,  Machiavelle  menekankan tentang kekuasaan dalam politik.  Untuk mencapai kuasa,  Machivelli  menyarankan semua cara   boleh digunakan dengan syarat menjurus kepada kuasa waima sekotor mana sekalipun juga. 

Bagi Machiavelli, politik bukanlah satu bidang kehidupan, jauh sekali demi kesejahteraan rakyat bawahan. Kuasa  dalam kamus politik Machiavelli  adalah matlamat.  Machiavelli  menegaskan, "Politics is the art of the posible."   Inilah yang melahirkan "political animal" atau  haiwan politik di mana pertimbangan kehaiwanan lebih tinggi daripada kemanusiaan.

Disebabkan matlamat akhir adalah kuasa, maka  pertimbangan termasuk keadilan dan kemanusiaan sewajarnya tunduk di bawah  percaturan kuasa. Agama juga perlu dibelenggu terutama yang bercanggah dengan matlamat untuk memegang kuasa.  Agama, bagi Machiavelli  hanya dibolehkan sebagai umpan kepada rakyat yang mentaati agama,  tetapi hakikatnya agama berada di bawah kepentingan kuasa.

Ternyata dalam beberapa hal  teori politik Machiavelli  bertentangan dengan tuntutan Islam  kerana  dalam Islam "yang berkuasa" bukanlah manusia sebaliknya kuasa itu  hanya dipinjamkan untuk mensejahterakan umat atau rakyat.  Kuasa yang ada di tangan penguasa  adalah  amanah, bukan ruang untuk kepentingan diri.

Machiavelli  membuka ruang kepada penguasa  bertindak rakus dengan syarat  boleh membawa kepada matlamat  kuasa.  Cuba bandingkan beberapa peristiwa yang berlaku di depan kita,  apakah bezanya penguasa kita  dengan Machiavelli yang menolak seluruhnya agama sebagai  kompas dalam politik?