Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi mendedahkan setakat
ini hanya 6.6 peratus daripada cybertrooper yang menyokong UMNO berbanding 93.4
peratus menyokong pembangkang.
Menurut Zahid, inilah yang membuatkan persepsi negatif
terhadap kerajaan terus kekal.
Adakah kenyataan Zahid ini mahu memberitahu bahawa media
arus perdana (akhbar dan stesen televisyen) dibawah kawalan UMNO sudah tidak
memberikan persepsi positif kepada kerajaan?
Bukankah media arus perdana sangat menyokong kerajaan hingga
mengorbankan nilai dan etika kewartawanan dan seolah-olah sudah menjadi pamplet
UMNO.
Daripada kefahaman saya, cybertrooper bermaksud tentera
siber yang diupah. Inilah kali pertama pemimpin tinggi UMNO mengaku mempunyai
cybertrooper dan tahu jumlahnya; 6.6 peratus daripada keseluruhan cybertrooper.
Kalau tidak silap saya UMNO tidak lama dulu sudah mengadakan
majlis pelancaran Tentera Laut Biru iaitu cybertrooper UMNO.
Tidak munasabah pelancaran yang begitu gah hanya dapat 6.6
peratus saja. Kenapa orang liat sangat hendah menjadi cybertrooper UMNO?
Kalau tidak silap UMNO sudah lama mempunyai
"kepala" yang menggerakkan tentera maya dengan peruntukkan yang boleh
tahan juga banyaknya.
Saya sebenarnya sama sekali tidak kenal mana satu
cybertrooper kerana di dahi mereka tidak ada cop macam logo Halal Jakim.
Cuma di media sosial saya lihat banyak yang kritikal
terhadap kerajaan dan UMNO pada isu-isu yang juga kritikal dan tidak wajar
dibenamkan.
Tetapi saya fikir mereka yang memberikan pandangan kritikal
yang tidak ada di media arus perdana kawalan UMNO belum tentu pembangkang, apa
lagi cybertrooper.
Saya dapat mengesan sebahagian besar malas bercakap perihal
politik parti yang sangat melalut tidak tentu arah. Tetapi mereka hanya
bercakap secara kritikal pada isu-isu yang melibatkan rakyat seperti integriti,
ekonomi atau dasar-dasar yang menjejaskan maruah negara.
Misalnya isu indeks integriti sesetengah pemimpin diragui
dan secara persepsinya rendah, isu kemasukan warga China secara besar-besaran
dan penjualan hartanah kepada warga asing.
Sebagai warganegara, saya fikir mereka berhak membahaskan
secara kritikal kerana ini melibat kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.
Di mana lagi kalau bukan di media sosial untuk mereka
mengutarakan pandangan terhadap isu-isu kritikal setelah media kawalan UMNO
membenamkan isu penting ini?
Adakah mereka ini dikelaskan sebagai cybertrooper yang 93.4
peratus yang dikatakan menyokong pembangkang itu?
Saya fikir tanggapan itu tidak berapa tepat kerana bersikap
kritikal kepada UMNO bukan bermakna pembangkang. Inilah yang susahnya kerana
budaya mengkritik hampir tidak ada dalam UMNO.
Saya fikir UMNO tidak perlu menambah cybertrooper bagi
meyaingi pembangkang kalau isi kandungan yang dibawa oleh cybertrooper itu sama
dengan media arus perdana.