Wednesday, July 5, 2017

Sepagi bersama-sama Muhyiddin Yassin

Tidak lama selepas saya memilih mandiri (tidak bermajikan) saya diundang Muhyiddin Yassin ke kediamannya di Damansara. Ketika itu Muhyiddin telah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.

Kami bersarapan kemudian berbual hingga hampir tiga jam. Sebelum itu saya pernah ke kediaman itu dengan Zin Mahmud (Pengarang Mingguan Malaysia), Marhaini Kamaruddin dan Hafizahril Hamid beberapa hari selepas Muhyiddin dilantik Timbalan Perdana Menteri. Tahun 2008 atau awal 2009. Dah tak ingat.

Saya bukanlah wartawan yang layak mengaku "rapat" dan selalu pula "berlaga bahu" dengan Muhyiddin semasa menjadi TPM. Muhyiddin juga tidak pernah memuji tulisan saya seperti sesetengah wartawan lain (mengikut kata merekalah).

Saya wartawan di pinggiran, tidak "berlaga bahu" dengan orang-orang besar politik. Tapi saya tahu Muhyiddin kenal saya. Cuma saya tidaklah beriya-iya untuk berebut pergi berbuka puasa atau rumah terbuka Muhyiddin di Sri Satria.

Saya dan Muhyiddin berbual banyak perkara dan sebahagian besar sama dengan apa yang dikatakan semasa kunjungan selepas dilantik TPM. Ketegasan Muhyiddin terhadap integriti tidak berubah; masa baru dilantik dan selepas dipecat TPM.

Begitu juga dengan pertanyaan kami tentang pelantikan sebagai orang nombor dua, kata Muhyiddin beliau tidak terlalu teruja. Apabila dipecat beliau tidak terkejut. Semua kemungkinan dalam politik telah dijangkakan.

Dalam kunjungan pertama Muhyiddin melahirkan kegusarannya tentang kebersatuan dalam UMNO, tentang keutuhan Pemuda dan Puteri UMNO. Selepas dipecat sebagai TPM tetapi masih ahli UMNO, Muhyiddin bimbangkan UMNO berbanding hilang jawatan.

Beberapa perkara dibongkarkan kepada saya tetapi saya tidak terkejut kerana sudah diberitahu perkara yang sama oleh beberapa individu lain sebelum itu.

Sebagai bekas warga Utusan, saya tetap merasa terhutang budi kepada Muhyiddin semasa menjadi Menteri Pendidikan. Banyak iklan kementerian dimasukkan di Utusan padahal boleh saja ke akhbar atau media lain.

Memang benar, itu bukan duit Muhyiddin. Tetapi kalau beliau mengarahkan ke media lain, tidak masuklah di Utusan. Saya sentiasa mengenang jasa orang biar pun kecil. Pemimpin yang berjasa, di mana pun saya kenang mereka.

Saya tanya adakah dalam kalangan wartawan yang masih bertemu beliau? Kata Muhyiddin, "Semua dah lari dah." Saya tertanya-tanya kenapa jadi begitu? Macam tak masuk akal pula.

Muhyiddin bermasalah dengan pemimpin UMNO bukan dengan wartawan. Kenapa wartawan melarikan diri dari Muhyiddin yang dulunya selalu "berlaga bahu"? Ini memang saya tidak faham.

Saya boleh saja menolak pelawaan bertemu dan bersarapan. Beliau sudah tidak ada kuasa, hanya seorang Ahli Parlimen biasa. Muhyiddin tidak mungkin boleh memberikan apa-apa kalau saya mahukan apa-apa. Tetapi saya memenuhi perlawaan beliau sebagai seorang wartawan yang pernah dikenali beliau sebelum ini. Lagi pun beliau tidak ada masalah dengan saya.

Muhyiddin bertanyakan khabar beberapa wartawan yang dikenali di Utusan, saya beritahu ketika saya meninggalkan Utusan Alhamdulillah semua sihat belaka. Mungkin ada yang Muhyiddin anggap sebagai kawan masa menjadi TPM dulu.

Maka terfikirlah saya bahawa wartawan juga sepatutnya memiliki nilai-nilai manusia yang tinggi, ada rasa terhutang budi dengan orang lain dan cuba untuk tidak memposisikan diri di sebelah sana atau sebelah sini dan melupakan orang yang dulunya disanjung bagai nak gila.

Oleh kerana itu saya mengambil risiko menegur orang-orang muda dalam UMNO yang mengeji Muhyiddin sebaik saja dipecat. Ketika itu saya masih di Utusan dan teguran itu saya fikir salah satu tanggungjawab sosial sebagai wartawan.

Tetapi selepas bersarapan hari itu saya belum lagi berjumpa Muhyiddin. Waktu dia lapang saya pula ada hal. Saya kekal non-partisan. Tetapi kalau kedua-dua kelapangan, saya akan berjumpa beliau.

Kesimpulannya sebagai wartawan, eloklah menegur pemimpin ketika beliau berada di persada kuasa. Jangan tunggu sudah tidak ada kuasa. Kalau tidak, susah pula hendak buat penyelidikan di perpustakaan hendak mencari buruk pemimpin yang sudah berdekad melepaskan jawatan.

Kalau orang utara, mereka akan kata, "Dulu hang dok tidoq ka, tak tau depa buat tu betui ke dak. Baru la kalut nak habaq kat orang."





No comments:

Post a Comment