Wednesday, July 5, 2017

Isu bahasa Melayu? Ah bosanlah

Apa isunya pengecualian bahasa Melayu kepada pegawai-pegawai perubatan kontrak  Kementerian Kesihatan?  Tidak ada isu pun.  Bahasa Melayu dipinggirkan?  Mana ada.  Itukan selari dengan "dasar-dasar"  pemimpin Melayu yang memperjuangkan bahasa Ingeris.  Itulah jangan banyak makan tapai.

Hanya pejuang bahasa  Melayu yang terus berjuang  walupun tanpa kuasa politik.  Dengan  tanpa kuasa mereka meelakukan  sedaya mungkin tetapi di mana pejuang politik?   Agenda memperlekahkan bahasa Melayu ini berlaku sejak merdeka - sejak pemimpin Melayu  terajui negara ini.  Mereka meminggirkan bahasa Melayu dan mereka jugalah yang membunuh tulisan jawi.

Kalau diteliti agenda  sesetengah pemimpin Melayu membunuh bahasa Melayu,  isu pengecualian  kepada pegawai kesihatan  teramat kecil. Jadi,  biarkanlah.  Tidak menjadi kudis pun.  Kalau menjadi kudis atau barah pun,  itu disebabkan perkara pokok yang lebih besar - kealpaan pemimpin Melayu sendiri. Bukankah mereka ini telah  merestui  Dual Language Programme (DLP)?   Kalau bukan restu mereka pemimpin Melayu,  restu dan kuasa siapa?

Awas.  Isu terbaru ini telah diambil peluang oleh pemimpin-pemimpin politik burung tiong yang tahu bercakap tetapi tidak pernah berfikir.  Maka berkokoklah   seolah-olah   mereka itu pejuang bahasa padahal  tidak lebih untuk perbatuan politik semata-mata.  Jangan percaya sama sekali dengan mereka ini,  persilakan mereka   pergi cakap jauh-jauh tentang bahasa Melayu.

Kalau ditanya  saya tentang tindakan Kementerian Kesihatan,  sudah tentu saya menjawab bahawa itu suatu yang amat bagus.  Tahniah kepada Kementerian  Kesihatan kerana nampak  peluang  dari kealpaan pemimpin  Melayu terhadap kedudukan bahasa Melayu.  Sila laksanakan,  percayalah kokokan  mereka hanya seketika saja.

Pejuang bahasa sudah lama  memperjuangkan  pelaksanaan mengangkat kedudukan bahasa Melayu.  Isu bahasa Melayu bukanlah  kedudukan di segi undang-undang tetapi perlaksanaan. Ini kerana  secara undang-undangnya  Bahasa Melayu sudah terangkat ke tahap  tinggi - bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan.  Yang menjadi masalah pemimpin-pemimpin politik tidak melaksanakan undang-undang  itu.

Macam-macam perkara mereka lakukan untuk  meminggirkan bahasa Melayu secara terhormat. Macam-macam.  Mereka merestui nama-nama bangunan  atau  kediaman dengan nama yang tidak ada dalam bahasa Melayu.  Mereka memberikan nama program yang tidak ada dalam bahasa Melayu.

1M4U itu  tidak membawa makna  dalam bahasa Melayu  kecuai  dalam bahasa Inggeris -  I'm for you.  TRX  tidak membawa makna dalam bahasa Melayu  kecuali  Tun Razak Exchange.  Pudu Raya menjadi Pudu Sentral.  Greater  Kuala Lumpur bukan Kuala Lumpur Raya. Putrajaya Sentral,  Kuala Lumpur Sentral.

Dalam laman sesawang  Institut Tadbiran Awan (INTAN)  saya bertemu dengan promosi program Advanced Leadership and Management Programme (ALMP).  Saya pun membaca posting dalam bahasa Melayu itu sekiranya itu program untuk peserta luar negara.  Rupa-rupanya untuk  pegawai  JUSA tempatan.  Tidak ada istilah bahasa Melayukah untuk terjemahkan  Advanced Leadership and Management Programme (ALMP)?   Saya bersangka baik,  itu memang dikecualikan kerana tidak boleh diterjemah ke bahasa Melayu.  Anda bagaimana?  Di Putrajaya pula penuh dengan nama-nama Inggeris;  Precint dan boulevard.  Macam di luar negara rasanya. Hebat.

Kenapa  KLIA  (Kuala Lumpur International Airport)   bukan LTAKL  (Lapangan Terbang Antarabangsa KL).  Kenapa  KLCC  (Kuala Lumpur City Centre)  bukan PBKL (Pusat Bandar Kuala Lumpur).  Kenapa  GST (Good and Service Tax)  bukan CBP (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)?  Siapakah yang merestui nama-nama Inggeris ini kalau bukan pemimpin Melayu?

Semua Perdana Menteri;  Tunku Abdul Rahman,  Razak Hussein,  Hussein Onn,  Dr. Mahathir Mohamad,  Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Najib Razak tidak memperlihatkan iltizam yang tinggi untuk melaksanakan  kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.  Bukannya memperjuang untuk meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan tinggi dalam Perlembagaan tetapi melaksanakan yang sudah diletakkan.  Itupun gagal.  Saya berkeyakinan kalau Dato Onn Jaaffar  menjadi Perdana Menteri pertama,  kedudukan bahasa Melayu akan berbeza.

Dengan kedudukan sebagai bahasa kebangsaan,  semestinya pengucapan dan perbahasan di Parlimen dibuat dalam bahasa Melayu  tahap tinggi  sesuai  dengan kedudukan bahasa  dan tempat ia diucapkan.  Malangnya  rakyat sendiri boleh menilai daripada sedutan rakaman perbahasan yang menunjukkan hanya bahasa Melayu tahap rendah dan hampir bahasa pasar yang digunakan kecuali .  Dr. Rais Yatim  memang terbukti menggunakan bahasa Melayu tahap tinggi tetapi kebanyakkan yang lain tidak menjadikan beliau sebagai teladan.

Pengucapan-pengucapan pemimpin Melayu di depan umum misalnya di  televisyen  sebahagian besarnya sangat buruk.  Pemimpin bukan Melayu pula berusaha menggunakan bahasa Melayu dengan lebih baik.  Mereka  sewajarnya malu  dengan pemimpin bukan Melayu Singapura yang menggunakan bahasa Melayu yang sangat baik.  Berbalik kepada isu pengecualian kepada pengawai-pegawai kontrak Kementerian Kesihatan,  kalau bahasa Melayu dilaksanakan kedudukannya dalam Perlembagaan,  isu-isu remeh ini tidak berlaku.  Jadi,  tidak perlulah meremahkan lagi isu yang remeh.

Nah, kalau betul-betul hendak perjuangkan bahasa Melayu,  selesaikan masalah asasnya iaitu  ketiadaan iltizam dalam kalangan pemimpin politik terutama Melayu.  Kalau pejuangnya seorang pengarang atau wartawan,  dan percaya mata pena lebih tajam daripada mata pedang,  abaikan kenyataan-kenyataan menteri yang tidak menggunakan bahasa Melayu.  Tidak disiarkan di akhbar, radio atau televisyen.  Sanggupkah?   Kalau tidak sanggup elok diam saja.  Tidak ada maknanya pedang yang tajam kalau jatuh ke tangan pendekar yang penakut.




No comments:

Post a Comment