Wednesday, July 5, 2017

Ini kalilah kita bertindak ke atas Amerika

Apakah tindakan diplomatik yang diambil apabila Amerika melalui Jabatan Keadilan (DoJ) didakwa "campur tangan" mengenai hal ehwal dalaman negara ini?

Adakah kerajaan telah menghantar memorandum bantahan yang paling tegas kepada Duta AS di sini? Adakah Malaysia membawa isu "campur tangan" (suatu yang sangat serius) kepada badan dunia seperti PBB dan sebagainya?

Saya fikir kerajaan mesti dan tidak ada pilihan untuk mengambil tindakan tegas ke atas " campur tangan" dengan menuduh wang 1MDB di Amerika dicuri.

Seyogia diingatkan bahawa tindakan Amerika kepada negara ini amat besar. Ini dibuktikan apabila bangunan Parlimen digambarkan sudah dibelit oleh ular raksasa dan mulutnya hampir menelan puncak bangunan Parlimen.

Seingat saya belum pernah kuasa asing digambarkan dengan begitu dahsyat "mengganggu" kedaulatan negara kita. Ini kalilah yang paling dahsyat.

Tetapi adakah tindakan diplomatik setimpal dengan kedahsyatan "campur tangan" Amerika itu? Takkan tidak boleh diambil tindakan langsung, setidak-tidak Pemuda UMNO membuat perhimpunan aman di depan Kedutaan AS.

Saya sebagai rakyat biasa yang tidak ada apa-apa kuasa mahu melihat tindakan supaya saya yakin dengan kesungguhan kerajaan menghalang "campur tangan" Amerika ini.

Pemimpin kerajaan mesti bertindak kepada pihak luar khususnya Amerika, bukannya terus memberitahu rakyat yang Amerika "campur tangan" dalam negara kita.

Yang mahu didepani oleh kerajaan ialah pihak luar, bukannya rakyat sendiri. Sama ada rakyat percaya atau tidak wujud "campur tangan" tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap suara Malaysia di pentas dunia, kecuali bersuara dengan tegas di pentas dunia.

Kalau untuk menunjukkan keberanian mempertahankan tanah air, buatlah seperti Muammar Gaddafi yang mengoyak piagam PBB kerana memprotes. Ini soal maruah negara, ayuh buktikan penentangan kita terhadap "campur tangan" Amerika ini.  Media yang dikawal kerajaan sepatutnya sudah lama menyerang dasar-dasar luar Amerika yang samseng kepada negara-negara kecil.

Moga-moga tulisan yang keras dan berani ini dipetik oleh agensi berita luar dan mesejnya sampai kepada sasaran. Penulis-penulis yang berani di media kawalan kerajaan mesti bangkit melawan Amerika. Kerja "belasah" pembangkang bagi kepada cybertrooper atau budak-budak stringer saja.

Amerika tidak tahu kita membantah kalau hanya menyerang pembangkang dan individu-individu tertentu. Komen-komen Tunku Aziz, Salleh Keruak, Rahman Dahlan dan Azwandin tidak begitu relevan dan boleh dikurangkan.

Bagi Amerika, itu isu dalaman apatah lagi berulang-ulang memetik komen individu yang bukan saja tidak berwibawa di peringkat antarabangsa, di dalam negara pun orang mempersendakannya.
Menangani "campur tangan" kuasa luar seperti Amerika tidak akan ke mana-mana kalau sasaran hanya kepada rakyat dalam negara. Ini isu melibatkan hubungan diplomatik antara negara.

Janganlah sampai rakyat hilang kepercayaan dan memperli kerajaan, "musuh kita Amerika bukannya pembangkang yang amat tidak berdaya itu?"

Saya harap kerajaan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menyatakan bantahan keras terhadap "campur tangan" Amerika yang paling dahsyat ini. Kalau Parlimen kita pun hampir ditelan, hendak tunggu "campur tangan" yang macammana lagi untuk kita angkat kepala?




No comments:

Post a Comment