Tuesday, December 13, 2016

Wartawan : Alat politik atau pendiri keluhuran?


 Politikus dan wartawan  adalah dua jalur profesion yang tidak dapat dipisahkan.  Kedua-dua ini saling berkaitan antara satu dengan lain. Saling memerlukan. Kedua-duanya secara  relatif mempunyai matlamat sama  iaitu  memperjuangkan  kerangka organisasi yang adil  di mana  akhirnya memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Jadi, kedua-duanya  mesti  berperanan secara "bebas" untuk mencapai matlamat yang disebutkan tadi.  Tanpa wartawan yang  bebas dan  jujur,  sesebuah negara akan menuju  kepada kemuflifan  akhlak para politikusnya.  Tidak ada pihak yang akan menegur atau menghalang kebobrokan kecuali wartawan yang luhur.

Begitu jugalah halnya kalau tidak ada politikus yang  luhur dan bebas.  Kesannya  kewartawanan  luhur akan terganggu.  Malah  mereka berusaha mempergunakan wartawan. Kesannya kekayaan negara akan menjadi rebutan  para politikus dengan meluaskan penguasaan dan  memanjangkan hayat politiknya.  Tanpa politikus yang luhur,  keputusan  besar  demi  masa depan rakyat tidak dapat dibuat dengan bebas,  saksama dan tepat  kerana kepentingan politik lebih diutamakan.

Memang benar  kuasa  (pilihan raya dan undi) adalah "politik".  Tetapi itu hanya secebisan kecil daripada tafsiran "politik"   yang sebenarnya. Tetapi "politik"  mempunyai tafsiran yang luas hinggakan tidak ada seorang pun yang terlepas daripada "politik".  Misalnya kalau rakyat bercakap tentang  negaranya atau akhlak pemimpinnya,  mereka sedang mengambil bahagian dalam politik yakni mengambil tahu keadaan negara.

Kalau tafsiran politik hanya pilihan raya, undi dan parti sahaja,  tentulah tidak wujud satu  bidang keilmuan yang disebut "sains politik" pada akhir abad ke 19 di Amerika Syarikat.  Ini membuktikan politik  mempunyai tafsiran luas dan kita semua tidak terlepas daripada lingkaran politik.  Di negara kita kalau disebut "wartawan politik" mereka adalah orang yang menulis tentang parti, pemimpin parti dan pilihan raya.

Tetapi bidang sains politik merangkumi ruang dan disiplin yang lebih luas. Malah sebaiknya wartawan menguasai sains politik supaya dapat mengeluarkan mereka daripada terperangkap dengan  parti tertentu sahaja.

Lagipun kalau tafsiran politik hanya berkisar tentang pilihan raya dan parti,  kita tidak memerlukan wartawan.  Cukuplah mempunyai penulis pamplet yang dibayar gajinya oleh parti-parti yang akan bertanding dalam pilihan raya.  Maka, wartawan janganlah menurunkan darjat mereka menjadi setaraf penulis pamplet dalam konteks kewartawanan.

Oxford Dictionary misalnya menggariskan tafsiran "politik" adalah:   Ilmu dan seni kerajaan. Pada masa yang sama ia juga adalah sains berkaitan dengan bentuk organisasi dan pentadbiran sesebuah negara. Ia berkaitan dengan peraturan hubungan sesebuah negara dengan negara lain."

Maknanya kita semua secara sedar atau tidak sedar terlibat dengan politik. Kita wajar berfikir dan bercakap mengenai politik kerana ia ada kaitan dengan  kehidupan kita, samada  perseorangan atau kelompok masyarakat.  Tetapi bukanlah politik kepartian yang sangat sempit dan murahan.  Sebab itu ada istilah non-partisan.  Orang non-partisan tetap  mengambil tahu  dan berhujah mengenai politik.  Hanya politikus dangkal sahaja yang mengucapkan, "Jangan politikan isu bla...bla...bla"  Hakikatnya semua isu melibatkan rakyat dan negara adalah politik.

Sekiranya  politikus dan wartawan bergerak selari,   tidak  wujudlah  keadaan  yang sangat memalukan  di mana wartawan diperalatkan atau dipergunakan  secara terhormat untuk kepentingan politik pihak tertentu.  Tidak akan wujud juga  "wartawan  pamplet"  yang  berperanan sebagai  agen propaganda,  bukannya  memanfaatkan ruang kebebasan bagi mencapai matlamat sebagai  pendiri  kesaksamaan dan keadilan.

Kewujudan "wartawan  pamplet"  adalah pencabulan yang maha dahsyat terhadap keluhuran profesion  wartawan dan dunia kewartawanan yang sepatutnya  diisi dengan idealisme dan kemulian untuk kepentingan umum.  Dalam keadaan ini wartawan  hanya tinggal nama tetapi hilang darjatnya.

Wartawan   bebas  dalam  lingkaran etika dan disiplin tersendiri.  Tidak ada kebebasan  mutlak untuk melakukan atau menyokong keburukan. Ini menafikan tanggapan umum bahawa wartawan mempunyai kebebasan tanpa batasan hingga boleh memfitnah atau memalukan orang lain apabila berada di pihak lawan.

Apa lagi  bagi wartawan Muslim  yang pengertian kebebasannya  mesti selari dengan  ajaran Islam;  tidak bersubahat dengan perbuatan  tidak berakhlak,  tidak mengada-adakan suatu yang tidak ada dan memperkatakan yang benar untuk kepentingan rakyat.  Misalnya  apabila yang datang membawa sesuatu berita itu diragui akhlaknya, berita itu tentunya tidak dihebahkan  sewenang-wenang kononnya selari dengan parti yang didokongi.

Inilah membezakan  wartawan  dengan sekian banyak penulis surat layang yang maruahnya  hanya di bawah sepatu seorang pengemis.  Amat hina. Kalau wartawan tidak memurnikan dunia kewartawanan mereka,  membiarkan diri setaraf penulis surat layang, t siapa lagi kalau bukan mereka sendiri?

Memang wujud pertentangan antara politikus dan wartawan.  Politikus akan menuduh  wartawan  menjadi penghalang kepada matlamat  dan cita-cita politik mereka.  Ini kerana wartawan yang luhur adalah "jinak-jinak merpati". Walaupun mengutip beras yang ditaburkan dan   boleh didekati tetapi semestinya boleh  dipegang.



No comments:

Post a Comment