Tuesday, November 1, 2016

Cerpen

SANG SUTRADARA

Oleh Ku Seman Ku Hussain

AKU sedang melangkah ke atas permaidani merah, menuju ke ruang dewan yang dihias indah sewaktu percikan lampu kamera membuatkan mataku berpinar-pinar. Di hadapan kelihatan seorang aktor baru yang berjalan dengan gaya mendada, bagaikan lagak orang yang berasakan dirinya terkenal. Menurut hematku, dia bukanlah terkenal dengan kehebatan lakonan, tetapi hebat oleh kontroversi skandal dengan seorang aktres.

Di belakangku pula seorang aktres baru, memakai baju yang dilaporkan akhbar bernilai hampir RM10,000. Jika di kampungku, baju sebegitu layaknya untuk para ibu berkemban di tepi sungai, cuma jenis kainnya daripada kain batik. Tidak perlu berpuluh ribu ringgit. Kalau dikira, makcik di kampungku lebih mendahului zaman dalam fenomena fesyen berkemban ini.

Sungguh hairan, walaupun terdedah luas di dada, kain yang dipakai aktres tersebut meleret di atas permaidani merah. Sungguh ironi, di bahagian bawah terlebih tutup, sebaliknya di bahagian atas pula ibarat semua kedai kain hangus terbakar.

Pada awalnya aku memutuskan untuk tidak hadir ke majlis festival filem ini. Muak dengan dunia gemerlapan yang pura-pura, yang semakin ingin kujauhi. Ditambah pula aku tidak pernah percaya dengan keperluan diadakan festival filem begini. Bagiku ia tidak mencapai tahap festival filem, sebaliknya hanyalah acara memperagakan kemewahan sebagai cermin kehidupan golongan bintang yang tersasar haluan.

Paradoks. Sangat paradoks. Filem-filem yang hendak diraikan pada festival ini tidak sepadan dengan kemilau yang ditunjukkan.

Walaupun sering mengelak, lewat petang tadi aku dipujuk supaya hadir. Kononnya filem busukku ada harapan untuk menang pada festival tahun ini. Aku tahulah filemku bertaraf busuk, buruk dan macam-macam lagi yang tak layak dipanggil filem. Aku hairan dengan juri yang mereka lantik, bagaimana mereka menilai filem sebusuk karyaku itu sebagai lambang kehebatan filem Melayu.

"Kau jangan tak datang,  malam ini kita naik pentas. Ada orang dalam dah bagi signal," demikian SMS daripada penerbit yang kemaruk menjulang trofi Festival Filem Malaysia. Aku rasa penerbit yang selalunya terlebih perasan ini sudah bersiap berhari-hari untuk naik ke pentas malam ini. Kalaulah filem aku tidak menang, boleh pengsan agaknya dia.

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku menjadi begitu bosan dengan kerjaku. Rasa meluat teramat sangat walaupun kerja ini menghamparkan kekayaan dan hidup yang mewah. Kerja ini yang membuatkan namaku menjadi sebutan di seluruh pelosok negara, dihimpit sekian banyak wanita cantik yang mahu menumpang nama. Siapa sahaja yang mengaitkan namanya denganku, kononnya orang akan memandang tinggi, nilai juga menjadi tinggi dan peluang untuk mereka hidup mewah juga tinggi.

Mereka hanya kemaruk mahu jadi pelakon, mudah-mudahan dengan mengaitkan nama mereka denganku, saham mereka akan tinggi bila aku ambil mereka berlakon. Tepatnya berjalan ke hulu ke hilir melintas kamera. Ramai sudah yang bergelar pelakon dan menerima bayaran tinggi untuk filem kedua kerana nama yang sudah meletup dan filem pula pecah panggung.

Jangan terkejut kalau mereka yang sekadar berjalan ke hulu dan ke hilir melintas kamera ini menganggap diri sebagai “"anak seni". Kata mereka kepada surat khabar, seni sudah menjadi darah daging, tidak boleh dipisahkan lagi. Bercakap macam burung kakak tua,

"Saya tak mahu mempersia-siakan bakat yang dikurniakan Tuhan." Itu kenyataan burung kakak tua yang diwarisi daripada pelakon senior, yang kemudiannya berpindah daripada seorang pelakon kepada pelakon yang lain setiap kali diminta bercakap tentang matlamat seni.

Dengan kebodohan merekalah aku terus hidup sebagai sutradara. Pelakon akan tunduk hormat setiap kali aku melintasi mereka. Aku tahu mereka bukan hormat padaku tetapi kerana keupayaanku yang membuatkan mereka kaya dengan filemku, dan memiliki pelakon wanita sebagai perempuan simpanan. Jauh sekali kerana hormatkan filem kerana bagi mereka lagi bodoh sebuah filem itu lagi bagus untuk mereka. Mereka hanya hormat siapa yang boleh buat filem buruk tetapi boleh jadi kaya.

Hasratku untuk menjadi pengarah filem yang berkualiti sewaktu menyiapkan tesis ijazah pertama dalam bidang sains sosial di Bristol University, UK suatu ketika dulu terbengkalai di sini. Akulah ikan yang tinggal di kolam yang salah. Di sini, banyak filem dibuat menggunakan kepala lutut.

Fenomena di sini sangat berbeza dengan teori yang kupelajari dalam subjek minor dalam penulisan skrip filem di mana aku belajar sejarah dan falsafah filem-filem agung bertaraf dunia. Berpuluh kali menonton filem Orson Welles yang sangat masyhur, Citizen Kane kerana menurut pensyarahku, tak sah belajar filem tetapi tanpa menonton Citizen Kane, filem terhebat sepanjang zaman yang mendapat tempat pertama saban tahun dalam senarai 100 filem terbaik dunia.

Malangnya segala cita-citaku melayang sebaik-baik sahaja menamatkan pengajian. Dunia sini melarutkan aku menjadi seperti mereka yang membuat filem dengan kepala lutut. Lama kelamaan aku menyerap dalam keadaan yang menjadikan aku kaya sehinggalah pada suatu hari.

Aku diserang rasa kosong yang sangat mencengkam. Saban hari bila terpampang berita tentang filemku mencatat kutipan jutaan ringgit, aku berasa bersalah. Rasa malu kepada diri sendiri kerana filem yang menjadi racun yang merencatkan akal anak-anak muda itu menghasilkan pulangan yang tinggi untukku. Filem yang kononnya dihasilkan dengan jiwa dan raga adalah pemusnah bangsa semata-mata. Dan sebilangan besar wartawan  yang tidak berfikir kritis itu menelan bulat-bulat kataku untuk menjadi bahan tulisan mereka.

Mereka yang tidak mempunyai rasa seni ini menulis apa sahaja yang diucap olehku tanpa bantahan. Bagiku mereka sekadar menyambung rentak wartawan veteran zaman hitam putih. Tak ada rasa penghayatan seni, kalau pun bukan bercitra tinggi. Wartawan tidak berkualiti beginilah yang menyumbang biak pengarah tolol atau pengarah cerdik macam aku tetapi terus membuat filem tolol.

Ajaibnya selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-40 dua minggu lepas, kebanggaan sebagai sutradara unggul hilang entah ke mana. Rasa benci apabila surat khabar terus mengaitkan aku dengan filem-filem pecah panggung. Semuanya selepas seorang wanita menghantar pesanan dalam kotak mel berbunyi, “"Syukur menjengah usia 40,  semoga tuan terus manfaatkan bakat untuk membina insan demi kesejahteraan umat."

Ucapan itu tajam macam sembilu. Pedihnya menghiris ulu hati. Aku terima sebagai sindiran kerana aku sebenarnya tidak pernah pun berkerja untuk membina insan. Aku tahu filem-filem pecah panggung lebih meruntuhkan daripada membina insan. Dulu aku akan kata, jangan salahkan aku, kalau aku tidak buat orang lain akan buat. Daripada orang lain buat lebih baik aku buat dan merebut kekayaan yang ada di depan mata.

Sebenarnya aku sendiri tidak tahu macam mana aku boleh menjadi pengarah filem. Cuma yang aku ingat mula-mula sekali aku terpaksa jadi pengarah bidan terjun bila pengarah asal bergaduh dengan penerbit.

Kutipan tiga hari pertama filem pertama arahanku sudah pecah panggung. Rekod yang belum pernah tercapai dalam sejarah filem Melayu sejak zaman kapitalis Shaw Brothers lagi. Saban hari surat khabar menyiarkan angka kutipan yang sentiasa bertambah, bukan sahaja sudah balik modal tetapi untung yang berlipat ganda.

Penerbit pula macam terhutang nyawa kepada aku. Kerana filem sulung itu dia menjadi jutawan filem yang boleh berjalan megah di hadapan penerbit yang jauh lebih senior. Dan bertambah banyaklah artis jelita yang boleh dikepitnya. Walaupun jiwa aku sedikit memberontak dalam dunia yang pura-pura dan busuk itu, tarikan duit membuatkan aku menjadi manusia yang paling toleran di dunia ini.

Dengan hasil filem pertama itu juga penerbit menghadiahkan aku sebuah Mercedes mata belalang. Sebenarnya berapa sangat harga kereta itu kalau dibandingkan dengan kutipan filemnya. Aku pun sudah lupa tujuan awalnya nak membuat filem cerdik untuk mencerdikkan penonton. Duit menjadikan aku gelap mata dengan janji kepada diri sendiri. Aku mulai belajar resipi filem Melayu lain yang berjaya untuk mengekalkan prestasi sebagai pengarah pecah panggung.

Hari demi hari aku makin tersasar. Aku mewajibkan adegan separa seks di atas katil, dalam kolam mandi atau dalam hutan sebagai pelaris. Oleh sebab kebanyakan pelakon wanita sanggup berbuat apa sahaja demi mengejar populariti, aku muncul sebagai pengarah yang dilabelkan ‘"paling berani"’ oleh wartawan  tempatan.

Mulanya aku teragak-agak dan malu-malu kucing juga untuk meyakinkan pelakon wanita melakonkan adegan separa seks. Sukacitanya jangkaanku meleset, mereka jauh lebih moden rupanya dalam hal ini. Malah mengalahkan keberanian pelakon Hollywood. Dan dengan bangganya menjawab; “"Syukur Alhamdulillah, saya berjaya melakonkan babak itu dengan baik," setiap kali diajukan soalan wartawan.

Jangkaan awalku tentang penapis filem juga meleset.Aku sering membayangkan adegan tersebut akan dipotong, namun sebaliknya apabila aku menulis surat panjang lebar menerangkan peri pentingnya babak itu. Sebenarnya aku sengaja adakan babak itu untuk memancing penonton tetapi kepada penapis aku kata kalau babak itu ditiadakan hancurlah jalan cerita. Logiknya, kalau tiada babak hitam, mana datangnya babak putih? Dan mereka akur dengan kepetahanku berhujah.

Kepada wartawan  yang selalu bertanya tentang kecenderunganku mengadakan adegan seks, aku menyogok jawapan: “"Saya ikut skrip, kalau skrip kata kena buat saya kena patuh, lagi pun filem ini membawa mesej baik. Kalau nak bagi benda baik kena tunjuk yang buruk dulu."

Esoknya jawapan bodoh aku itu terpampang di akhbar. Beberapa pengarah lain turut membela aku seolah-olah kalau dilarang adegan itu industri filem Melayu akan bungkus. Kata mereka, industri filem banyak menyumbang kepada Kutipan Dalam Negara Kasar (KDNK). Kalau dilarang, tidak ada kebebasan berkarya dan menjurus kepada pemikiran jumud yang tidak sesuai dengan kriteria negara maju.

Apabila muncul demam filem adaptasi, penerbit memberi aku sebuah novel, katanya best seller di negara ini. Ulang cetak entah berapa kali. Khabarnya penulisnya sudah mengaut royalti beratus ribu ringgit, beli banglo secara tunai. Bab pertama sahaja cukup memualkan. Betapa seksa membaca novel seperti ini bagi pengagum Joseph Conrad dan Jane Austen seperti aku.

Bagaimanapun suatu hari aku terjumpa sebuah novel Melayu yang sangat memagut pemikiran. Dijual di sebuah kedai buku bertaraf lima bintang di ibu kota. Disusun sebaris dengan novel-novel lain dari luar negara. Karya penulis wanita, cara berfikirnya luar biasa. Watak Melayu di tangan penulis ini penuh kehebatan yang tidak pernah dicungkil. Aku tidak tahu apa latar belakangnya tetapi daripada pemikiran yang dihamparkan dalam novel itu dia seorang wanita Melayu Islam yang berani mendepani cabaran zaman.

Aku membeli, terus membaca semalaman kemudian catat perkara-perkara luar biasa dalamnya. Tiba-tiba aku terdetik untuk memfilemkan novel ini. Memanglah pada perkiraan matematik filem tidak akan mendapat sambutan pecah panggung.

Sudah beberapa kali aku menghubungi dia, tak berjawab. Suatu hari dia menjawab dan aku gembira bukan kepalang. Aku ajak dia berbincang untuk memilemkan novelnya. Dia ketawa. Sangkaku dia tentu setuju menerima tawaran daripada pengarah pecah panggung sepertiku.

"Tapi tuan, dalam novel saya tak ada babak di atas katil. Lagi pun watak-wataknya semua sudah berusia, mana nak letak pelakon-pelakon genit tuan itu?" Darahku menyirap tatkala jawapan itu singgah ke telinga.

Aku terus memujuknya, dengan alasan aku sudah insaf dan tidak mahu lagi membuat filem seperti itu. Aku juga beritahu aku belajar membuat filem dari luar negara supaya dia yakin dengan kebolehanku. Namun dia tetap dengan keputusannya tidak mahu membenarkan novelnya difilemkan. Dia tidak yakin aku memelihara kemurnian karyanya apabila dijadikan filem. Aku katakan kepadanya, filem adaptasi adalah karya baru yang semestinya ada sudut pandangan baru.

Balasnya,“"Tuan, saya bukan bercakap tentang sudut pandangan. Saya bercakap tentang kebimbangan saya terhadap kejujuran tuan."

Aku tersedar apabila namaku dipanggil untuk naik ke pentas bersama penerbit. Tepukan bergema segenap ruang dewan. Aku dihulurkan trofi, di tepinya ditulis Sutradara Terbaik". Apabila mereka meminta aku memberikan sepatah dua kata, aku menjadi terlalu asing. Aku malu kepada diri sendiri kerana aku tahu filem itu sangat buruk.

"Saya memulangkan trofi ini kerana saya belum layak menjadi sutradara terbaik," kata aku terketar-ketar dan terus ke belakang pentas. Dewan terus gemuruh dengan tepukan dan sorakan mendengar ucapan penerbit sambil mendakap trofi Filem Terbaik.

Telefon berdering dan masuk pesanan ringkas daripada penulis novel yang keras hati itu, “"Tuan membuat kerja gila tetapi saya suka."

END.


2 comments:

  1. Salam, Atas nama Ku Seman saya baca cerpen sdr.Sebab saya juga berkawan dengan orang-orang filem seperti Sabri Yunus, Wahab Hamzah. Cukup teruja untuk membaca sampai habis.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana membaca karya saya yang amatur itu

    ReplyDelete