Tuesday, October 4, 2016

Politik vs agama

Politik dan agama walaupun dikatakan saling memerlukan tetapi sebenarnya saling bertentangan. Orang politik memantau orang agama kerana agama juga boleh menjadi platform menggapai kuasa. Orang agama mencurigai orang politik kerana kerap mengeksploitasi agama untuk kepentingan politik.

Orang politik hanya mendekati, memesrai dan menyarung baju Islamik apabila kuasa politik mula merudum. Mereka memuntahkan istilah istilah berbau Islamik. Mereka tahu orang Melayu cepat terpesona dengan istilah kearaban.
Orang politik yang tidak jujur memperkasa agama lebih pentingkan bau dari isi. Maka lahirlah Islam Hadhari, wassatiyyah dan beberapa lagi.

Tetapi semua ini hanya bau agama sahaja. Memperkasakan agama yang lebih holistik ialah menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sistem perbankan Islam, mewujudkan Bank Islam dan berani bersuara di pentas dunia membela Islam.

Orang politik akan ikut menjulang tokoh agama kerana dengan berbuat demikian mereka dilihat mendokong agama. Siap bagi anugerah lagi.
Mereka tahu agama ada pengaruh yang tersendiri malah mampu melahirkan pemimpin yang lebih berpengaruh.

Agama tidak menjadi penting malah dipinggirkan sekiranya pengaruh orang politik di tahap yang sangat kuat. Tidak akan lahir istilah wassatiyyah, menaja mengerjakan Haji atau Islam Hadhari.

Agama pasti dipinggirkan seperti nasib bahasa Melayu kerana orang politik tidak boleh menumpang bahasa Melayu. Rakyat termasuk Melayu tidak endahkan bahasa Melayu yang tercatat dalam Perlembagaan. Cubalah kalau pengaruh bahasa Melayu dan pejuang bahasa seperti orang agama, tidak ada orang politik yang bercakap bahasa kaki lima.

Mereka bukan takut dengan bahasa Melayu tetapi hendak menumpang pengaruh bahasa Melayu. Tetapi ini tidak berlaku.

Disebabkan orang politik hanya menumpang agama, maka sarjana sarjana Islam tidak bebas menulis secara akademik di media arus perdana. Beberapa sarjana dan pemikir yang tegas dengan prinsip akademiknya akan tersingkir. Ini kerana apabila menulis dengan prinsip kebenaran, ada pihak yang terasa disindir.

Maka sarjana, profesor atau pensyarah yang mahu menulis perlulah mengorbankan prinsip akademiknya. Jangan sentuh yang tidak dibenarkan oleh orang politik. Kebenaran adalah satu dosa.

Kerana itu jangan terkejut apabila orang politik yang liberal dan sekular mendekati orang politik agama. Alasan retoriknya demi agama. Tetapi kenapa tidak mendekati orang politik agama ketika orang politik sekular kukuh di puncak kuasa? Kenapa bila dah nyawa nyawa ikan baru sedar "demi agama"?

1 comment: