Monday, September 26, 2016

Surat terbuka kepada Yang Berhormat


Apakah kenyataan politik  yang bertalu-talu di media arus perdana (akhbar dan televisyen)  oleh para pemimpin politik dapat meredakan resah dan gundah gulana  kami rakyat jelata  tentang masa depan ekonomi dan kesejahteraan hidup? 

Setahu kami  Tuan Yang Berhormat  tidak kira Menteri atau Timbalan Menteri dilantik selepas mendapat mandat daripada rakyat melalui kerusi Parlimen.  Kamilah rakyat yang memilih  Tuan-Tuan semua.  Kalau kami tidak memilih, Tuan Yang Berhormat tidak berada di situ.

Rakyat memilih Ahli Parlimen  di kawasan masing-masing dengan harapan kalau bernasib baik   Tuan Yang Berhormat  dapat menganggotai Kabinet.  Tidak kiralah Menteri atau Timbalan Menteri.  Kalau tidak terpilih dalam Kabinet pun  kami  mengharapkan Ahli Parlimen yang dipilih bercakap hal-hal rakyat.

Tetapi  sejak akhir-akhir ini  Tuan-Tuan  Yang Berhormat pemimpin politik kerajaan  lebih banyak berhujah, membelasah dan mempersenda  parti  saingan di media arus perdana.  Maaflah Tuan Yang Berhormat,  kami tidak mahu menjadi penonton  aksi pemain politik.

Tuan Yang Berhormat  patut sedar tanggungjawab sebagai anggota Kabinet. Tua Yang Berhormat  perlu    banyak bercakap perihal porfolio masing-masing  yang berkaitan dengan hal ehwal  kami sebagai rakyat, bukannya bercakap perihal politik. 

Memang semua maklum  bahawa Tuan Yang Berhormat adalah  pemain politik.  Makan Tuan Yang Berhormat adalah makan politik.  Mimpi Tuan Yang Berhormat juga mimpi politik. Tetapi berpada-padalah  berpolitik kerana  dalam manifesto parti,  yang tercatat adalah khidmat kepada rakyat.  Tidak tercatat kerja serang menyerang parti lawan hingga lupa tugas yang hakiki.

Cuma beberapa orang sahaja yang selepas memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri lebih banyak berkerja daripada berpolitik.  Lebih banyak mengeluarkan kenyataan tentang keadaan ekonomi semasa daripada  berbalas hujah dangkal di kandang politik.

Tentu sukar untuk kami  menafikan  Menteri Kewangan 11, Johari Abdul Ghani misalnya lebih banyak berkerja daripada berpolitik.   Bila kali terakhir Johari meberikan kenyataan politik  yang menyerang dan mempersenda lawan?  Tentu  tergagau juga untuk mengingati kerana  Johari bukan seperti  Menteri  Komunikasi dan Multimedia,  Salleh Said Keruak yang lebih banyak menyerang parti lawan,  malah sudah  setaraf  panglima.

Begitu juga bekas Menteri Kewangan  11,  Ahmad Husni Hanadzlah yang lebih banyak berkerja  dalam ruang tugas berbanding berpolitik di media arus perdana.  Tetapi pemimpin yang begini tidak banyak dalam kerajaan. Barangkali disebabkan  Tuan Yang Berhormat  tidak boleh memisahkan kedudukan sebagai pemain politik dan pemimpin  kerajaan yang  berkhidmat kepada rakyat.

Sebagai rakyat  yang sebulan gaji hanya sama dengan sepasang kasut Menteri,   kami  merasa  telah diabaikan oleh  pemimpin-pemimpin politik dalam kerajaan.  Kami  berdepan dengan kenaikan harga barang yang tidak masuk akal,  kami juga terpaksa menanggung  Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Anak-anak kami berdepan dengan peluang pekerjaan yang menirus malah  yang punyai pekerjaan pun tidak terlepas  risiko  diberhentikan kerja kerana masalah ekonomi.  

Anak-anak kami yang mendapat  peluang melanjutkan pengajian ke luar negara juga terpaksa melupakan peluang itu apabila agensi seperti Mara  mengecilkan jumlah pelajar yang diberikan pinjaman.   Kami sedar ini bukan salah Mara tetapi  kami hendak tahu apakah  langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Kenyataan-kenyataan  dangkal  Tuan Yang Berhormat menyerang dan mempersenda bekas Perdana Menteri,  Dr. Mahathir Mohamad misalnya  tidak memberikan pencerahan kepada kami rakyat jelata yang terumbang ambing dalam bahtera yang "membuka layar tetapi sauhnya dilabuhkan."  Tidak ke mana-mana.

Kami tidak mahu tahu samada  parti  Tuan Yang Berhormat  tergugat atau tidak dengan pembangkang.  Kami juga tidak mahu tahu pembangkang terdesak atau tidak. Itu bukan urusan yang akan mengubah masa depan kami.  Itu urusan  Tuan Yang Berhormat  dan jangan khabarkan kepada kami di media arus perdana.  Kami sudah muak mendengar dan membacanya.

Tuan Yang Berhormat  jeritkanlah di pentas-pentas  politik kerana  yang  pergi ke situ   adalah mereka yang berminat dan ada kepentingan dengan hidup mereka.

Lagi pula apa perlunya  Tuan Yang Berhormat  berpolitik hingga lupa  "siang dan malam"  dan  lupa tanggungjawab kepada rakyat kerana  Tuan Yang Berhormat  juga  yang sangat yakin  parti  Tuan Yang Berhormat  tidak tergugat sedikit pun dengan  serangan pembangkang. 

 Nah,  Tuan Yang Berhormat  dengan mudah  boleh   mempertahankan status quo  menjadi  parti kerajaan di negara ini.  Kami mengharapkan  Tuan Yang Berhormat  mengendahkan kami  sebagai rakyat jelata.   Kami tidak mahu tahu atau ambil tahu perihal  parti  Tuan Yang Berhormat.  Itu bukan kepentingan kami.



1 comment: