Wednesday, September 28, 2016

Nilailah Zahid dengan adil


Saya mengikuti isu Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan kurang fasih berbahasa Inggeris ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA)  ke 71  di New York baru-baru ini.  Tetapi saya  bukanlah orang yang tepat untuk menilai kefasihan  Zahid  kerana saya bukanlah arif dalam bahasa Inggeris.

Tanpa menyanggah atau menafikan hujah rakan-rakan  yang mengkritik kelemahan Zahid,  saya  mengakui  fasih adalah satu hal penting tetapi yang lebih penting isi pemikiran atau hujah yang dilontarkan  oleh sang orator. 

Apakah kita akan berbangga sekiranya pemimpin kita yang sangat fasih berbahasa Inggeris tetapi hujah-hujahnya   tidak memperlihatkan pemikiran seorang tokoh?  Kelemahan di segi penuturan boleh dilatih. Tetapi untuk mempunyai pemikiran dan  gagasan idea yang besar, prosesnya bukan saja panjang malah  tidak mudah.

Saya  sengaja tidak mahu menjadikan alasan banyak pemimpin dunia yang lain juga teruk penguasaan bahasa Inggerisnya.  Hal itu  barangkali kesengajaan mereka tidak mahu memahirkan  diri berbahasa Inggeris kerana mahu merendahkan bahasa itu.

Pemimpin  Korea, Jepun atau  Perancis juga menutur   sebutan bahasa Inggerisnya ada nuansa bunyi  bahasa ibunda.  Mereka peduli apa.  Orang Perancis sangat berbangga dengan bahasa mereka, begitu juga Korea atau Jepun.  Samalah juga dengan dasar negara-negara berkenaan untuk tidak menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi menjadi negara industri yang jauh lebih maju berbanding kita yang ada program khas memperkasa bahasa Inggeris.

Memang benarlah apabila kita bertutur  sesuatu bahasa,  kita wajib memurnikan bahasa itu dari semua aspek termasuk tatabahasa dan sebutan.  Tetapi  peliknya orang Melayu tidak pernah merasa terhina  apabila orang luar atau pemimpin sendiri  tidak fasih berbahasa Melayu. 

Apabila berada dalam dua keadaan,  satu  tidak fasih tetapi hujahnya bernas dan  kedua,  tidak fasih  ditambah  hujahnya mengarut, melalut dan melaut.  Saya fikir kita patut  merasa lega apabila Zahid setidak-tidaknya hanya kurang fasih tetapi hujah dan retorikanya diyakini.

Tidak wajarlah  kelemahan  Zahid kurang fasih berbahasa Inggeris  ini  tidak boleh dijadikan penanda aras  seorang pemimpin.  Zahid  wajar dinilai  dengan adil misalnya  dalam kurang fasih  berbahasa Inggeris beliau  antara orator yang tidak boleh diperkecilkan.  Maknanya kita boleh menilai kelebihan-kelebihan  yang lain untuk menilai seseorang pemimpin.

Zahid  tentulah jauh kalau mahu dibandingkan dengan ketrampilan  Anwar Ibrahim sebagai seorang orator.  Hakikat ini sukar untuk dinafikan.  Tetapi  Zahid jauh lebih  hebat berbanding  Najib Razak atau Abdullah Ahmad Badawi.

Isu Zahid ini juga perlu membawa kita beralih ke negara sendiri,  tanyalah  berapa kerat pemimpin yang memilih bercakap bahasa Melayu dengan betul ketika di depan khalayak?   Tidak usahlah tanya bab  memurnikan bahasa Melayu, itu sudah terlalu jauh.  Cukuplah  kalau mereka tidak melintang pukang bahasa kebangsaan. 

Ini tidak, sudahlah bahasa Melayu tunggang langgang,  (untuk bukti sila tonton TV3)  hujah yang dilontarkan pula  hampas.  Inil juga  patut ditegur atau "diserang"  untuk menyedarkan pemimpin-pemimpin berkenaan.

Saya  realistik dan tidak meminta pemimpin-pemimpin kita bertutur dalam bahasa Melayu tinggi seperti  Penasihat Sosiobudaya Kerajaan,  Dr. Rais Yatim.  Kalau hendak menunggu tahap Dr. Rais,  susah hendak jumpa pada masa terdekat ini.  Sepatutnya begitu,  kalau tidak jangan jadi pemimpin yang memimpin semua hal termasuk berbahasa.

Walaupun begitu Dr. Rais harus dijadikan contoh dan semua pemimpin berusaha untuk mencapai  tahap pemurnian bahasa Melayu  dalam ucapan-ucapan  atau  percakapan kalau tidak lebih tinggi setaraf Dr. Rais sudah mencukupi.

Maknanya  mengambil endah  dan menegur pemimpin  yang tidak fasih berbahasa Melayu  juga menjadi tanggungjawab rakyat.  Rasanya tidak adil kalau Zahid diserang kerana tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi  merelakan pemimpin tempatan  tidak fasih berbahasa Melayu.





3 comments:

  1. 1. Zahid menggelar Najib sebagai president ialah suatu yang tidak dapat diterima. Ini kesalahan yang berat di medan antarabangsa.
    2. Zahid perlu berlatih berkali2 sebelum naik pentas. Beliau bolrh di tunjuk ajar oleh yang berkebolehan.

    ReplyDelete
  2. menarik entri ini. Soal bahasa adalah soal kemahiran yang selalu perlu digilap.

    ReplyDelete
  3. Saya setuju. Masaalahnya kebanyakan pemimpin kita x fasih dalam mana2 bahasa kecuali bahasa pasar.

    Saya x kisah kalau sebutan Zahid kurang sempurna, tapi saya rasa Zahid x bersedia dalam memberi ucapan nya di UN. Dia hanya membaca teks, itupun x berlatih ke? Apa pun saya puji keberanian nya memberi ucapan dlm x bersedia.

    Soal ketokohan Zahid, minta maaf, saya x setuju. Ucupan nya penuh 'rhetoric' & selalu cakap lepas tanpa memberi bukti. Ini bukan sifat org yg bijak.

    ReplyDelete