Saturday, August 20, 2016

JASA AHMAD BOESTAMAM DIPADAM




Buku  Memoir Seorang Penulis ini  lebih 30 tahun berada dalam perpustakaan mini saya. Semalam saya mengulang baca buku yang ditulis oleh salah seorang pejuang kemerdekaan  Abdullah Thani Raja Kecil (Ahmad Boestamam). Buku nipis ini diterbitkan oleh DBP pada 1979.

Memoir Seorang Penulis merupakan sebuah  catatan ringkas secebis daripada pengalaman panjang  Boestamam dalam kewartawanan, kesusasteraan dan politik. Walaupun ringkas memoir ini memperjelaskan sosok pemikiran dan perjuangan Boestamam untuk memerdekakan negara dengan wadah kewartawanan,  kesusasteraan dan politik.

Perjuangan politik Boestamam  bermula  pada tahun 1940-an  dan menyertai badan-badan politik Melayu bergabung menentang Malayan Union di sekitar tahun 1945 dan 1946. Beliau mengetuai API (Angkatan Pemuda Insaf) cabang pemuda sayap kiri.

Boestamam menubuhkan Parti Rakyat Malaya yang kemudiannya bergabung dengan Parti Buroh sebagai ’Socialist Front’. Hasilnya  beliau memenangi pilihan raya bagi Parlimen Setapak pada 1959. Sungguhpun demikian kejayaan  itu menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Pada tahun 1941 beliau ditahan di bawah akta keselamatan tetapi dibebaskan sebaik sahaja Jepun menguasai Malaya.  Kemudian ditahan semula pada 1948  hingga 1955  ekoran  pengharaman  API  oleh penjajah. Pada tahun 1963 hingga  1967 beliau dipenjarakan sekali lagi kerana dituduh menyokong pemberontakan Brunei dan membantu Indonesia melancarkan konfrantasi ke atas Malaysia.

Boestamam  dalam konteks hari ini adalah pejuang kemerdekaan yang dipadamkan dari sejarah  kemerdekaan negara.  Bukan sahaja Boestamam malah tokoh seperti  A. Samad Ismail, Pak Sako,  Said Zahari  dan Ibrahim Yaacob juga ikut terpadam.  Demikianlah apabila sejarah ditulis dengan penuh prasangka dan dendam  oleh pihak yang menang

Saya tidak pasti adakah semua nama-nama ini dipadamkan dari sejarah kemerdekaan kerana mereka bukan dari  UMNO.  Memang benar mereka bukan UMNO tetapi perjuangan  untuk memerdekakan negara.  Kalau  sang pencatat sejarah  berjiwa besar sudah tentu mereka tidak memadamkan nama musuh politik  yang pernah menyumbang untuk negara.

Boestamam seorang yang luar biasa,  pada usia 16 tahun beliau  diberi kepercayaan menulis pojok sebuah akhbar mingguan dan pada usia 19 tahun menjadi  timbalan pengarang sebuah akhbar. 

Saya memiliki buku ini  sebelum  menyertai dunia kewartawanan di Utusan Melayu tahun 1984.  Secara kebetulan dalam satu bab buku ini Boestamam menulis tentang pengalaman  berkerja di Utusan Melayu  dan pengalaman pahit diarahkan  meninggalkan Utusan  oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman. Sebabnya Boestamam memilih menulis suatu yang benar walaupun tidak disukai oleh Tunku.

Tulis Boestamam:
Melan Abdullah datang menemui saya menyuruh saya memilih satu di antara dua - saya menulis surat meletak jawatan atau menunggu Utusan Melayu membuang saya dengan notis 24 jam. Saya memilih menulis surat meletak jawatan kerana saya tidak mahu orang menyangka saya begitu bergantung kepada Utusan."

Memoir nipis ini sebenarnya sangat mengharukan sekaligus menginsafkan.  Ketika  menikmati  kemakmuran dan kesenangan  hasil daripada kemerdekaan pejuangnya   kita padam,  lupa dan benam  dari sejarah.  Kejamnya kita.

4 comments:

  1. Sabar tuan...Allah itu bersama orang yang Benar...berbeza prinsip golongan pemakan dedak, mereka sudah gantikan najib ditempat Allah...*sekadar luah perasan tuan

    ReplyDelete
  2. Tuan, saya amat bersetuju dengan komen dan hujah tuan. saya juga seorang yang minat membaca berkaitan pejuang serta evolusi politik pra dan pasca awal merdeka yang menampilkan pejuang sejati berjuang tanpa ada agenda persendirian atau DEDAK.

    ReplyDelete
  3. Assalam tuan, mengapa lama tidak menulis? Amat payah nak cari blog yg bahasa melayunya masih terpelihara. Hatta surat khabar yg konon nya memperjuangkan bahasa melayu pun bahasanya tunggang langgang; ambil jalan mudah guna perkstaan inggeris yg telah dimelayukan walhal ada perkataan melayu yg membawa maksud yg sama.

    Teruslah menulis untuk org2 seperti saya yg masih ingat keindahan bahasa melayu walaupun menggubakan bahasa inggeris lebih 70% sehari.

    ReplyDelete
  4. Sejarah di tulis oleh pihak yang menang

    ReplyDelete