Tuesday, June 14, 2016

Impian anak yatim


Rumah Idaman karya Adham Nusair




Wakil TFTN Sdr  Zamir (kiri)  menyerahkan lukisan kepada saya

Sabtu lalu ketika ribuan warga kota membanjiri Sogo dan Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk membeli pakaian raya,  saya berada di Balai Seni Visual Negara (BSVN)  di Jalan Tun Razak untuk melihat pameran Peluang = Potensi yang akan berakhir Ahad.  Pelik kan?  Orang lain sibuk dengan agenda menyambut Hari Raya  saya pula ke tempat yang "paling tidak popular" bagi sesetengah daripada kita. Pameran ini yang dianjurkan oleh  Teach For The Need (TFTN) dan BSVN menghimpunkan lebih kurang 150 lukisan oleh kanak-kanak  daripada rumah anak yatim di seluruh negara.  Tema lukisan ini dibahagi kepada dua;  rumah yang menjadi idaman  dan cita-cita   anak-anak yatim ini.

Lukisan ini dilahirkan secara  semulajadi  kerana mereka tidak mendapat didikan dalam seni lukis.  Tetapi daripada hasil yang diperlihatkan kita boleh membaca sesuatu yang terkandung dalam jiwa anak-anak ini.  Walaupun mereka tidak ada rumah dan tidak pernah ada rumah  kepada yang dibesarkan sejak lahir di rumah anak-anak yatim tetapi impian mereka juga seperti kita.

Mereka mengimpikan rumah  dan kebahagiaan.  Tetapi mereka hanya mampu mengimpikan. Untuk menzahirkan tentulah melalui liku-liku yang panjang, apa lagi tidak ada ibu dan ayah.  Mereka tidak ada kasih sayang yang menjadi pendorong utama kejayaan seseorang insan.

Malah sebahagian daripada mereka juga tidak mempunyai pengalaman manis berpimpinan tangan dengan ibu atau ayah.  Hanya melihat dari jauh kemanisan hidup rakan sebaya yang punyai ibu dan ayah.  Bukan itu sahaja ketika kita memberi  peluang yang seluas-luasnya kepada anak-anak untuk memilih pakaian atau makanan terutama pada bulan Ramadan,  anak-anak yatim ini hanya pakai atau makan apa yang dipilih orang.

Mereka juga seperti anak-anak yang lain yang punya keinginan untuk makan itu dan ini.  Tetapi semua itu tidak dapat dirasakan walaupun mereka  diberikan makanan yang mencukupi.  Inilah insan yang kerap terlepas daripada pandangan kita ketika sedang menuju hari-hari yang menggembirakan.

Kita terlepas untuk  cuba berada di tempat mereka yang ketiadaan orang tersayang,  keluarga dan sanak saudara.  Maka kita pun berpesta makan dengan pelbagai juadah hingga menjurus pembaziran,  tidak cukup itu  sebahagian besar daripada kita pula memikir makan yang enak sepanjang hari seperti yang dizahirkan secara bawah sedar dalam posting  di facebook.

Saya membeli sekeping lukisan karya Adik Adham Nusair Khairu Bahar berusia 11 tahun dari Rumah Anak  Yatim Al Khairiyah, Kelang.  Harganya sama dengan sepasang baju Melayu di Jalan Masjid India.  Bagi orang yang berbuka puasa di hotel lima bintang,  ini bukanlah mahal sangat.  Kalau mampu saya membeli semuanya untuk menggembirakan anak-anak yang lukisan mereka terpilih dipamerkan di BSVN.  Tetapi apakan daya.



No comments:

Post a Comment