Tuesday, June 28, 2016

Husni menjauhkan diri dari UMNO


Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri,  Najib Razak semalam tidak membawa suatu yang menarik kecuali perletakan jawatan Menteri Kewangan II,  Ahmad Husni Hanadzlah.   Husni bukan sahaja melepaskan jawatan dalam Kabinet malah  semua jawatan dalam UMNO; Bendahari Umno dan Bendahari Agung BN, Timbalan Pengerusi Umno Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua Umno Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Parlimen Tambun.

Tindakan  tegas Husni  dilihat  memberikan tamparan hebat kepada Najib di sebalik banyak pemimpin dalam UMNO yang memburu jawatan dan kedudukan yang tinggi, tertinggi dan paling tinggi.  Apa lagi  Husni tidak memberikan alasan spesifik sebaliknya  di atas sebab-sebab peribadi.

Sebagai makluman, Husni telah diarahkan oleh Najib sebagai orang yang bertanggungjawab memberikan kenyataan mengenai skandal 1MDB.  Malah Husni adalah individu yang paling tahu apakah yang berlaku sebenarnya di sebalik skandal tersebut.

Berdepan dengan kejadian begini,  kita perlu membaca yang tersurat dan lebih yang tersirat.  Sebagai wartawan saya sama sekali tidak boleh menerima perletakkan jawatan itu  suatu yang biasa.  Saya melihat ada banyak yang tersimpul di sebalik tindakan Husni itu.  Tetapi wartawan tidak boleh menulis kecuali mendapat lampu hijau dari Putrajaya.

Apa lagi cybertrooper pro Najib sudah mulai  "menembak" Husni. Kalau cybertrooper yang mempunyai hubungan dengan Putrajaya  bertindak demikian,  itu bukan tindakan pandai-pandai.  Mereka sudah mendapat wahyu kerana mereka mendapat upah untuk menyerang siapa sahaja  yang tidak sehaluan dengan tuannya.

Kita yang mempunyai akal dan fikiran jangan "membaca"  semua orang  meletakkan jawatan benar-benar di atas masalah peribadi yang kononnya hanya individu itu sahaja yang tahu.  Biarlah sesetengah pihak cuba untuk memandang ringan apabila ada orang meletakkan jawatan. Hakikatnya mesti ada sesuatu.

Husni seolah-olah mahu menjauhkan diri daripada UMNO sebab itu dia bukan sahaja mengundurkan diri dari Kabinet.  Husni telah memboloskan dirinya daripada warna-warna UMNO yang tercalar integritinya apabila  dilihat bersekongkol dengan perbuatan yang bertentang  integriti.

Karakter Husni sangat jauh berbeza dengan beberapa Menteri yang bertindak sebagai panglima Presiden UMNO,  menyerang dan membelasah orang yang tidak sehaluan dengan ketuanya secara melulu, kebudak-budakan, dangkal  dan sedikit biadab.  Husni bukan begitu,  dia hanya bercakap yang perlu sahaja tentang tugasnya sebagai Menteri Kewangan II.

Kalau hendak diistilahkan sebagai "kehilangan",  UMNO benar-benar kehilangan seorang pemimpin yang tinggi integriti, bertanggungjawab sekaligus memancarkan  pemimpin UMNO yang diperlukan sekiranya UMNO mahu hidup "seribu tahun lagi" (meminjam kata Chairil Anwar).

3 comments:

  1. Pendapat tuan mungkin ada kebenarannya....tetapi mengapa Husni mengambil masa yang lama untuk mengundurkan diri?.Jika beliau telah pun terhidu sesuatu pada awalnya dahulu mengapa harus dia bersekongkol selama ini?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memetik barisan ayat sdra:

      "Malah Husni adalah individu yang paling tahu apakah yang berlaku sebenarnya di sebalik skandal tersebut."

      "Karakter Husni sangat jauh berbeza dengan beberapa Menteri yang bertindak sebagai panglima Presiden UMNO, menyerang dan membelasah orang yang tidak sehaluan dengan ketuanya secara melulu, kebudak-budakan, dangkal dan sedikit biadab. Husni bukan begitu, dia hanya bercakap yang perlu sahaja tentang tugasnya sebagai Menteri Kewangan II."

      Saudara...ini adalah pandangan dari rakyat biasa yang tiada pertalian dengan politik atau orang ternama.

      Pengunduran Husni tidak memberi apa apa perubahan atau impak kepada UMNO mahupun pun Najib...atau pun Rakyat.

      Husni kehilangan integriti kerana menurut telunjuk Najib dan seterusnya berdiam diri mengenai apa yang dia amat tahu. Mengetahui dan melihat perkara munkar dan berdiam sahaja sama seperti bersubahat.

      Mengapa Husni tidak bersuara seperti TSMY dan DSSA?...Takut atau menjaga kepentingan diri?...Beliau sanggup bersara bukan sahaja dari kabinet malahan semua jawatan dalam parti gara gara ditukar portfolio dalam kabinet...itukah yang dimaksudkan "integriti"?

      Kenapa Husni begitu tega bersubahat dengan Najib mengkhianati rakyat? Manakah "integriti" dan tanggung jawab beliau terhadap rakyat yang memilih beliau untuk mewakili mereka?

      Where is your conscience Husni?

      Delete