Wednesday, June 15, 2016

Aidilfitri bukan Krismas atau Tahun Baharu Cina

Ada  pihak  kesal dengan sikap  beberapa pemilik pusat membeli belah mewah  tidak menghiaskan premis mereka sempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Beberapa tahun dulu pusat membeli belah di KLCC juga ditegur kerana tidak menghiaskan premis   menjelang Hari Raya Aidilfitri. Tetapi dihias meriah    menjelang perayaan Krismas.

Bagi saya  sikap sesetengah pemilik pusat membeli belah ini disebabkan oleh persepsi iaitu yang bertaraf mewah  dan di kawasan bukan Melayu tidak banyak dikunjungi oleh orang Melayu.  Dalam kata lain orang Melayu tidak ada kuasa membeli yang tinggi berbanding orang Cina misalnya.

Jadi,  sasaran mereka bukanah kepada orang Melayu.  Hari Raya Aidilfitri pula sinonim dengan orang Melayu.  Jadi mereka abaikan strategi untuk menarik pelanggan menjelang  Hari Raya Aidilfitri.

Saya menyanggah persepsi bahawa orang Melayu tidak mempunyai kuasa membeli yang tinggi. Atau  membawa maksud  orang Melayu  yang tinggal di Kuala Lumpur terdiri daripada golongan kelas pertengahan  dan rendah.  Saya fikir ini bukanlah sikap rasis pemilik tertentu sebaliknya  mereka menjadi mangsa persepsi yang salah.

Bukti mereka tidak rasis ialah  apabila  pusat membeli belah yang menjadi tumpuan orang Melayu awal-awal lagi menghiaskan premis mereka bahkan mencipta suasana dengan alunan lagu-lagu Hari Raya untuk menarik perhatian pelanggan. 

Kerana itu kita perlu membetulkan persepsi yang salah bahawa tumpuan orang Melayu hanya di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman atau  Jalan Masjid India sahaja kalau di Kuala Lumpur.   Banyak juga orang Melayu yang mengunjungi pusat-pusat membeli belah yang dikelaskan sebagai mewah dan elit.

Pada masa yang sama kita  wajar  melihat  bahawa strategi pemilik premis menghias dan mencipta suasana hari saya sebagai satu penyimpangan yang  perlu dibetulkan mengenai pengertian bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.  Semakin banyak pusat membeli belah menghias seperti "esok nak raya" menunjukkan sambutan dan tujuan Hari Raya Aidilfitri semakin menyimpang.

Hal yang sama juga berlaku apabila hotel-hotel  mengambil peluang daripada penyimpangan maksud dan tujuan berpuasa dengan menganjurkan pelbagai promosi untuk menarik berbuka puasa  secara mewah di hotel.  Pihak manakah yang seharus bertanggungjawab  membetulkan persepsi  terhadap Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini?

Sepatutnya kita kecewa dan berdukacita apabila  bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri telah disamatarafkan dengan  Tahun Baharu Cina,  Valentine Day dan Krismas.  Tetapi kerana perkara ini sudah sebati dan tidak ada pihak yang membetulkan penyimpangan ini,  kita pula yang kecewa apabila pusat membeli belah tidak dihias seperti Krismas.

Hakikatnya Hari Raya Aidilfitri  satu hari istimewa dalam Islam  yang memberi peluang kepada umatnya bersukaria tetapi bukan seperti festival.  Ini kerana festival seperti  menjelang Krismas atau Tahun Baharu Cina adalah keraian yang menjurus kepada sukaria.  Sedangkan Hari Raya Aidilfitri  ada konsepnya yang tersendiri, antaranya  sebagai peluang untuk mengukuhkan hubungan sesama ummah.

Memang benar,  dalam masyarakat Melayu di negara ini,   Hari  Raya Aidilfitri melampaui  acara agama  malah satu pesta keraian  budaya.  Daripada pemilihan kostum yang bercirikan budaya Melayu hinggalah juadah yang menjadi keutamaan pada Hari Raya Aidilfitri  hiduplah perayaan ini sebagai acara budaya.

Hari Raya Aidilfitri  telah diterima sebagai satu artifak budaya yang sangat unik. Ini boleh dilihat sebagai satu manifestasi pemikiran, nuansa dan persekitaran budaya orang Melayu sejak zaman berzaman yang cuba dikembalikan, setidak-tidaknya melalui simbol-simbol yang membawa pengertian ke arah budaya Melayu.

Tidak dinafikan ini merupakan perayaan istimewa orang Melayu  dengan elemen kemelayuan. Tetapi  agak malang kerana adakalanya  sifat  dan keutamaan kepada budaya mengatasi tuntutan dari aspek keislamannya. Misalnya pembaziran seolah-olah dibenarkan demi  Hari Raya Aidilfitri.  Sedangkan pembaziran tidak digalakkan dalam Islam.

Menyambut Hari Raya Aidilfitri  dengan budaya Melayu tidak ada salahnya, tetapi yang tidak betul ialah menjadikan ia sebagai festival.  Apabila dianggap bersifat festival   sudah tidak ada bezanya  Hari Raya Aidilfitri dengan Krismas atau Tahun Baharu Cina.  Sepatutnya berbeza dan mesti berbeza.

Persepsi yang salah terhadap Hari Raya  Aidilfitri  perlu segera diperbetulkan.  Ini kerana sambutan ini telah merentasi kelas dan pola sosial orang Melayu. Semua lapisan mempunyai cara tersendiri untuk menzahirkan kekaguman dan kegembiraan dalam menikmatinya hingga tanpa sedar menyimpang daripada yang digariskan  Islam.

Lagi pun pusat-pusat membeli belah yang menghiaskan premis menjelang Hari Raya Aidilfitri bukanlah kerana menyanjung perayaan itu sebaliknya strategi pemasaran.  Itulah kapitalis.  Ini dilakukan untuk menangguk orang  Melayu   yang  dimangsai budaya konsumerisme  dan mabuk hendak berpesta Hari Raya Aidilfitri.  Sepatutnya kita memikirkan begini;  kalau semua pusat membeli belah ditutup sekalipun Hari Raya Aidilfitri tetap meriah. 



3 comments:

  1. Terus kritis dalam penulisan.yg pasti,kebenaran itu pasti pahit dan pedih.jangan gentar dek ugutan dr mereka yg berhambakan kuasa di dunia semata mata.

    ReplyDelete