Saturday, May 14, 2016

UMNO membuatkan wartawan Melayu lekeh






Adakah  wartawan akhbar berbahasa Cina diberikan kebebasan menulis yang lebih berbanding wartawan akhbar Melayu atau wartawan akhbar Cina jauh lebih hebat membuat analisis berbanding wartawan akhbar Melayu?   Analisis oleh wartawan akhbar Melayu sebahagian besarnya menyokong melulu kepada arus utama dan  menghentam melulu terhadap arus yang bertentangan.

Tetapi analisis yang disiarkan di akhbar berbahasa Cina,  misalnya yang  dalam akhbar Sinar Harian  kelihatan tidak dipengaruhi oleh  arus utama.  Mereka menulis  sesuatu yang bermain di fikiran sebahagian besar rakyat,  sebaliknya di akhbar Melayu kelihatan cuba untuk menyenangkan hati penguasa arus utama.

Saya sama sekali tidak fikir wartawan akhbar berbahasa Cina jauh lebih baik dalam membuat analisis.  Wartawan akhbar Melayu juga mampu menulis sedemikian kecualilah wartawan yang sememangnya dilahirkan untuk menyokong melulu.  Faktor yang membezakan kedua-dua akhbar ini adalah  perbezaan ruang kebebasan menulis dengan fakta oleh pihak yang mengawal akhbar berkenaan.

Tetapi yang  terpancar ialah   wibawa akhbar dan wartawan berbahasa Melayu jatuh.  Mereka kelihatan hanya mempertahankan penguasa arus utama  tanpa hujah yang kukuh.  Berbanding akhbar dan wartawan berbahasa Cina yang menulis dengan hujah dan fakta yang semua rakyat tahu kebenarannya.

Saya tidak fikir  ada wartawan akhbar Melayu yang diberi ruang kebebasan menulis  secara jujur tentang kesan skandal 1MDB terhadap masa depan negara seperti yang ditulis oleh  wartawan  akhbar berbahasa Cina.  Walaupun Sinar Harian  sebuah akhbar berbahasa Melayu tetapi  tidak dikawal  sepenuhnya oleh UMNO.  Maka Sinar Harian  kelihatan bebas  menyiarkan analisis-analisis  yang tidak boleh disiarkan oleh akhbar  kawalan UMNO.

Cuba hayati analisis di bawah ini,  adakah anda fikir analisis serupa ini boleh disiarkan oleh akhbar bahasa Melayu di bawah kawalan UMNO?  Jadi, yang membuatkan akhbar kawalan UMNO kelihatan  hambar,  sokong melulu dan sempit hujahnya bukanlah tidak mempunyai wartawan yang hebat.  Tetapi kehebatan dan ruang untuk mereka menjunjung profesionalisme  wartawan telah dikembirikan oleh penguasa-penguasa UMNO.



Petikan kolum Dari Akhbar Cina

Sinar Harian 12 Mei 2016


1MDB jejas kestabilan politik negara

Oleh: Ong Boon Teck

DUA buah agensi penarafan yang terkenal di dunia, iaitu Fitch dan S&P Global Ratings, kelmarin melahirkan kebimbangan mengenai masa depan 1MDB yang dilihat mampu menjejaskan kestabilan politik di Malaysia.

China Press yang memetik kenyataan yang dikeluarkan S&P Global Ratings meramalkan 1MDB akan menghadapi satu lagi kemungkiran bayaran setelah kupon pembayaran untuk bon AS$1.75 bilion matang pada hari ini.

Sebelum itu iaitu pada 25 April lalu, 1MDB dipercayai gagal membuat pembayaran sebanyak AS$50.3 juta dalam bentuk faedah untuk bon lain, juga berjumlah AS$1.75 bilion.

Namun sehari selepas itu, 1MDB melalui kenyataan menjelaskan walau apa pun pertikaian dengan International Petroleum Investment Corporation (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi, pihaknya tetap akan menunaikan segala kewajipan kewangannya yang lain dan mempunyai tunai yang cukup untuk menjelaskan pembayaran.

Bagaimanapun, bon itu dijamin oleh IPIC dan akan membuat tuntutan kepada 1MDB dan Kementerian Kewangan Malaysia.

Menurut akhbar ini lagi, kedua-dua agensi ini berpendapat perkembangan terbaru itu pastinya akan mempengaruhi suasana politik di Malaysia sekali gus menjejaskan keyakinan para pelabur asing.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam temu bual eksklusif  di saluran TV1 RTM mengakui adanya kepincangan dalam 1MDB apabila gagal menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) akibat ‘diserang’.

“Apabila diserang, IPO tidak dapat dilakukan, maka timbul lah masalah aliran tunai,” kata Najib yang tetap menjelaskan masalah yang berlaku dalam 1MDB kerap menjadi modal politik oleh pihak tertentu untuk cuba menjatuhkan kepimpinannya.

Sekiranya 1MDB gagal atau enggan membayar, ia akan menyebabkan penambahan hutang-hutangnya yang lain termasuk AS$1.83 bilion (RM7.4 bilion).

1MDB dikatakan akan mengheret penarafan negara menjadi lebih rendah sekiranya ia menghalang usaha Malaysia untuk mengurangkan defisit dan hutang negara serta menakutkan pelabur.

Kelmarin juga menampakkan kejatuhan nilai ringgit di Bursa Saham apabila mencatatkan RM4.0845 berbanding AS$1, iaitu catatan paling rendah dalam tempoh tujuh minggu yang lalu.

Akhbar ini beranggapan kejatuhan ringgit pada paras rendah ini dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan kemungkiran bayaran oleh 1MDB di samping kejatuhan harga minyak dan kenaikan Dolar Amerika di pasaran dunia.

Selain itu, Orientaldaily turut fokus pada isu yang sama dengan menyatakan sekiranya 1MDB gagal membuat pembayaran seperti ditetapkan pada hari ini, sudah tentu firma pelaburan negara ini akan menghadapi satu lagi kemungkiran bayaran dalam jumlah yang amat besar.

Akhbar ini yang memetik kenyataan pensyarah dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura, Dr Oh Ei Sun bahawa Kementerian Kewangan Malaysia akhirnya adalah pihak yang perlu bertanggungjawab menanggung hutang berkenaan.

“1MDB adalah milik Kementerian Kewangan Malaysia. Ia adalah perbadanan kerajaan, oleh itu rakyat Malaysia juga tidak dapat mengelakkan diri daripada menanggung hutang yang dikenakan ke atas 1MDB,” katanya.

Menurut akhbar ini lagi, mengikut penilaian yang dibuat oleh Fitch, jumlah hutang yang ditanggung oleh 1MDB adalah lebih kurang tiga peratus daripada jumlah KDNK Malaysia. 

Semalam, Gabenor Bank Negara, Muhammad Ibrahim yakin Kerajaan Malaysia mampu menyelesaikan hutang yang ditanggung oleh 1MDB itu sekali gus memulihkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi di negara kita. 


2 comments:

  1. kawalan yang melampau sebenarnya merugikan media arus perdana.pihak yang terlibat harus berani menyatakan yang benar.rakyat bolih membuat penilain sendiri.akibat keadaan sebegini seperti yang dihujah oleh tuan rakyat berpesipsi negatif, apa2 yang diulas oleh media arus perdana spr utusan dan bh, nst terutama berkaitan politik kelihatan tidak matang, ada unsur sorokan fakta.jadilah ia hanya mendapat berita 2 kemalangan,jenayah sahaja.

    ReplyDelete