Tuesday, May 24, 2016

Belasungkawa kawan saya Arippin Ismail



Saya menulis belasungkawa kawan saya di  semasa di Utusan,  Allahyarham Arippin Ismail yang sudah kembali ke rahmatullah semalam (23 Mei) di  Gua Musang, Kelantan.  Mungkin rakan-rakan saya di Utusan hairan kerana belasungkawa selalunya ditulis untuk menghargai tokoh-tokoh ternama.

Tetapi Allahyarham  bukan tokoh ternama.  Juga bukan pengarang-pengarang yang besar jasanya  kepada  UMNO. Allahyarham  "orang kecil" dan biasa-biasa sahaja. Interaksi Allahyarham dengan warga Utusan ialah melalui tugas hakiki Allahyarham menghantar surat yang diterima oleh Pusat  Mel,  Jabatan Pentadbiran.

Allahyarham adalah salah seorang kawan saya.  Tidak ada sempadan pangkat dan darjat  antara kami.  Selalunya orang tidak berpangkat seperti Allahyarham tidak meninggalkan rasa kehilangan kepada orang di sekeliling kecuali keluarga.  Saya juga tidak pasti adakah  dalam kalangan warga Utusan merasa kehilangan  Allahyarham.  Tetapi saya sangat kehilangannya.

Pada hari-hari terakhir saya di Utusan, saya tidak nampak kelibat Allahyarham yang berbaju biru muda dengan beg yang penuh dengan surat.  Saya menjangka Allahyarham cuti sakit atau mendapat rawatan di hospital  kerana agak lama juga tidak bersarapan bersama-sama di cafe seperti sebelumnya.  Hinggalah hari terakhir saya pada 27 Mac 2016,  saya tidak dapat berjumpa Allahyarham. Pagi tadi  saya dikejutkan oleh mesej daripada seorang rakan yang memberitahu kepulangan Allahyarham.

"Orang kecil"  seperti Allahyarham ini  memberikan kesan yang sangat besar kepada hidup saya.  Sifatnya yang mulia terpancar sejak mengenali Allahyarham hampir sedekad lalu.  Selalunya saya datang awal ke pejabat dan singgah sarapan di kafe.  Seperti biasa saya akan belanja Allahyarham sarapan  teh O kurang manis dan dua biji kuih.

Sepanjang mengenali Alahyarham,  tidak sekali pun saya mendengar Allahyarham mengatakan perihal orang lain atau rasa tidak puas hati  di tempat  berkerja.  Sekalipun tidak pernah saya dengar.  Walaupun bergaji kecil  tetapi Allahyarham  selalu bersyukur dan wajahnya sentiasa ceria dan tenang.  Saya percaya dengan pendapatannya,  untuk hidup di tengah-tengah Kuala Lumpur pasti suatu yang memeritkan.  Tetapi tidak pernah merungut sebaliknya menjalankan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh.

Allahyarham telah merentasi fasa kehidupan yang perit.  Pernah terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motorsikal menyebabkan sebelah tangannya terkulai tidak berfungsi.  Bayangkan kenderaannya hanya motorsikal,  apabila sebelah tangan terkulai terpaksalah berasak-asak dalam bas untuk datang dan balik kerja.  Kita sendiri tentu dapat membayangkan dengan tahap kesedaran sivik  warga Kuala Lumpur sebahagian besarnya sangat rendah,  orang lemah macam Allahyarham  terpaksa bergelut dengan yang lebih bertenaga.

Hari ini  Utusan telah kehilangan seorang pekerja yang berdedikasi  mempunyai sifat mulia sebagai  seorang insan.  Hari ini juga saya kehilangan seorang kawan yang menjadi cermin untuk  melihat kehidupan insan dari sudut pandang yang lain. 

Kadang-kadang  semasa menulis belasungkawa,  kita sengaja membesar-besar atau menonjolkan  sisi  mulia  secara berlebihan kerana tokoh yang ditulis itu bukan sahaja ternama malah berada dalam arus perdana.  Tetapi saya menulis belasungkawa Allahyarham Arippin tanpa dipengaruhi oleh faktor luaran,  semuanya datang daripada rasa kehilangan "orang kecil" yang mungkin  kita terlepas pandang  kelebihan semasa hayatnya.

1 comment:

  1. perhubungan yg baik dengan orang yg seperti dtulis disini akan meningkatkan rasa bersyukur kita sepanjang masa dan ia amat digalakkan insyallah kita akan lebeh beruntung lagi.

    ReplyDelete