Monday, May 30, 2016

Alkisah buku-buku sampah


Sesekali saya tertanya-tanya apakah  sumpahan yang terkena kepada orang Melayu  kerana  satu demi satu bala datang melanda.  Dalam  sindrom nafi dalam kalangan  pemimpin politik tentang  1MDB,   tetapi satu demi satu  fakta terburai dan rakyat  seolah-olah diperbodohkan.

Satu  lagi  bala ialah keghairahan stesen televisyen swasta menghidangkan program-program  yang menmpulkan akal dan pemikiran  kepada generasi muda Melayu.  Kini  muncul satu bala baharu apabila buku-buku  yang  juga menumpulkan daya pemikiran dibiarkan   menjengah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

Ini bukan isu buku arus perdana dan buku indie.  Isu  utamanya  penularan buku-buku  sampah.  Buku-buku sampah  ialah  buku  yang tandus pemikiran, kalau ada pun pemikiran ke arah sampah   yang mengagung-agungkan kebiadaban,  menyongsang  agama Islam dan susila masyarakat  di negara ini.

Saya tidak mengkelaskan buku sampah ini buku indie.  Ini kerana  banyak juga buku indie  yang saya baca  termasuk dari luar  tidak ada elemen-elemen sampah.  Pada masa yang sama memanglah banyak juga buku indie yang  bertaraf sampah.

Label  sampah adalah untuk mengasingkan buku-buku  yang mempromosi  kebiadaban,  maki hamun dan mencarut yang boleh dibeli di PBAKL baru-baru ini dengan buku-buku yang menjulang tamadun dan intelektual.   Agak menghairankan  apabila penganjur PBAKL  bersikap begitu terbuka dan seolah-olah  membuka laluan kepada buku-buku yang menumpulkan pemikiran khalayak.

 Buku  akan menjadi taraf sampah apabila  dihasilkan oleh individu yang sampah, untuk tujuan sampah ( melepaskan perasaan semata-mata)  dan diterbitkan oleh penerbit sampah yang melihat ada potensi keuntungan  daripada ketololan  sesetengah generasi muda Melayu.

Saya tahu penulis sampah tidak akan memarahi  saya.   Dia sengaja memilih menjadi sampah,  kalau tidak kenapa tidak membawa agenda untuk membangunkan intelektual anak bangsa.  Untuk apa dia menulis dengan mempromosi carut dan maki hamun?  Untuk memprotes?  Kalau benar tujuan memprotes atau anti establishment,  penulis yang bukan sampah tidak akan memijak bahasa dan susilanya.

Bahasa yang baik kalaupun tidak seindah Sasterawan Negara tetap boleh menghantar  protes.  Sasterawan Negara Usman Awang jauh lebih awal memprotes. Tetapi Usman Awang tidak memaki hamun atau mencarut  dalam bukunya.

Saya tidak pasti siapakah yang memberikan lesen kepada penulis-penulis sampah dan penerbit sampah ini menghasilkan buku yang memuatkan nilai-nilai yang bertentangan dengan kompas agama dan budaya Melayu.  Tidak ada lesen kreatif  yang membolehkan seseorang karyawan (penulis)  melanggar asas agama Islamnya  kononya untuk tujuan yang mulia.   Kalau caranya sudah busuk   masakan hasilnya boleh memberikan sesuatu yang mulia?

Tamadun-tamadun yang hebat  tidak dibina dengan karya-karya  yang menentang intelektual.  Malah di luar negara orangnya berlumba-lumba menghasilkan karya-karya yang bercitra tinggi untuk mengangkat  martabat bangsanya.  Khalayak pula berlumba-lumba membaca karya yang tinggi nilai intelektualnya untuk membuat anjakan menjadi warga kelas tinggi.  Tetapi di negara kita ada yang berlumba-lumba  menghasilkan karya yang rendah setaraf sampah.

Ada pula yang tidak kurang bingainya berkata,  biarlah  asalkan generasi muda Melayu membaca.  Setidak-tidaknya menganjak graf  kadar membaca kepada yang lebih tinggi.  Tetapi  apalah gunanya berjaya mencatat kadar membaca yang tinggi tetapi bahan yang dibaca  seperti sampah?  Kadar membaca memang penting terutama  menjelang memasuki era baharu negara maju.  Tetapi kadar membaca sahaja tidak membawa makna kalau yang dibaca itu tidak mampu menyuntikkan nilai yang membina.

Kebanyakkan penulis-penulis buku sampah ini sekadar membebel  dan  memprotes itu tidak kena dan ini tidak kena. Selebihnya memaki hamun dan mencarut.  Mereka ini  kalau tidak menulis buku  berkenaan barangkali akan melalak dan membebel  di tepi longkang  seorang diri.  Mereka tidak ada pemikiran, kalau ada pemikiran mereka tidak menjadi sampah.

Penulis indie atau arus perdana tidak bolah marahkan saya kerana saya tidak menyentuh mereka.  Saya hanya menyentuh  tentang  kewujudan  penulis buku sampah.  Kalau ada yang marah,  tanya dulu diri sendiri adakah aku ini  sebenarnya penulis sampah. Kalau bukan sampah jangan marah atau meroyan.

Bagi saya ruang  dan lingkaran untuk menulis itu sangat luas.  Kalau hendak bereksperimen dengan  struktur naratif yang luar biasa,  silakan.  Kalau menganggap buku-buku yang ada sangat konvensional dan jumud,   silakan buat pembaharuan. Semua itu tidak ada salahnya.  Tetapi daripada buku-buku sampah yang saya baca,  tidak ada eksperimen sebanyak manapun.  Melanggar asas-asas agama dan maki hamun yang lebih.

Boleh dianalogi  buku sampah  ini seperti menu masakan yang beracun.  Takkan menu begini  kita boleh biarkan dengan alasan banyak penggemarnya?  Ini bukan soal selera,   kerana selera yang  normal  hanya berkisar kepada menu-menu masakan yang tidak bahayakan nyawa.  Berselera kepada menu yang beracun  tidak ada kepada manusia yang  waras.


Yang menjadi persoalan ialah ada beberapa  pemimpin  politik UMNO menjadikan gerakan penulis sampah ini sebagai alat untuk meraih pengaruh dalam kalangan orang muda.  Mereka menaungi, menyokong  dan menganjurkan program-program mempromosi kewujudan penulis sampah ini.  Demi politik  semuanya boleh dan saya pasti mereka tidak akan bersuara untuk menghalang penularan buku-buku sampah apa lagi  Pilihan Raya Umum sudah tidak lama.  Kita tidak boleh mengharapkan mereka kerena mereka juga  dua kali lima  tahap sampahnya.


3 comments:

  1. Betul..terutamanya novel2 sampah.. penerbit kaut untung ratus ribu ringgit.. setuju kalau graf naik berdasarkan buku2 sampah tiada maknanya..

    ReplyDelete
  2. Inilah jadi zaman Najib, apabila JKIM dan menteri agama dah tiada akhlak dan tanggung jawab lagi.

    ReplyDelete
  3. Pesta Buku Antarabangsa KL tak layak digelar 'Antarabangsa'. Kebanyakannya buku yang tak bermutu. Ada la 2 atau 3 tahun lepas saya pergi, kononya nak cari buku2 'klasik' seperti buku Syed Hussein Alatas, P Ananta Toer, etc... Buang masa saya saja. Naik LRT pergi PWTC 45, saya masuk pameran 30 min, balik naik LRT lagi 45 min.

    Bukan saja mutu bahan bacaan dah merosot, mutu rancangan TV pun lagi banyak yang sampah dari yang menambah pengetahuan.

    Kadang2 saya rasa mungkin elok juga jika UMNO/BN hilang kuasa/kerajaan. Mungkin dgn kerajaan baru, budaya2 sampah ini dapat diperlahankan dan diubah.

    Waallahualam..

    ReplyDelete