Tuesday, April 19, 2016

Wartawan: antara makan gaji dan makan hati



Buku The Death and Life of American Journalist oleh Robert McChesney dan John Nichols antara lain mengatakan, tahap kebebasan kewartawanan yang tinggi boleh membantu kelicinan pentadbiran, menggerakkan ekonomi dan menyuburkan budaya yang sihat.

Buku yang ditulis oleh dua sarjana media neo-Marxist ini secara jelas memperlihatkan kebimbangan  kerajaan di sesetengah negara yang mengambil alih kedudukan  media sebagai fourth estate selepas legistatif, eksekutif dan judisiari dalam pentadbiran negara.

Media menjadi penanda aras masyarakat yang maju supaya terdidik dengan limpahan maklumat yang terlalu banyak. Ini menyumbang kepada pembangunan sosiobudaya dan politik. Media digerakkan oleh wartawan yang mempunyai peranan membentuk kesedaran masyarakat terutamanya  yang berkaitan kepentingan mereka.

Wartawan perlu diberi ruang meraikan perbezaan pandangan yang sihat tentang semua perkara yang melibatkan kepentingan masyarakat. Masyarakat pula berhak mendapatkan maklumat yang benar daripada wartawan. Hujah mesti dilawan dengan hujah. Sebarang usaha untuk memutihkan yang hitam atau menghitamkan yang putih tanpa hujah yang boleh diterima akal adalah perbuatan yang tidak bermoral.

Isu-isu berkaitan salah laku pemimpin wajar didedahkan tanpa prejudis demi kebaikan kepada masyarakat. Ini penting supaya masyarakat boleh membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya. Demokrasi bukan sekadar mengadakan  pilihan raya tetapi juga membuka ruang untuk masyarakat mendapat maklumat dan kebebasan wartawan menyampaikan meklumat. Perkara ini penting supaya masyarakat tidak tersilap membuat pilihan.

Wartawan boleh sahaja menulis yang baik-baik padahal mereka tahu hal sebenarnya. Tetapi perbuatan itu adalah satu penganiayaan terhadap masyarakat yang mempercayai perkara tidak benar itu. Wartawan yang berakhlak tentu tidak tergamak melakukannya.

Masyarakat berhak mendapat maklumat yang tepat mengenai sesuatu berkaitan pemimpin dan pelbagai isu negara. Ini  boleh memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada masa depan mereka. Bagaimanapun di peringkat ini wartawan selalu berdepan dengan kekangan, halangan atau pujukan dengan alasan "niat menghalalkan cara" supaya tidak meneruskan tanggungjawab. Ini memberikan tekanan secara tidak langsung kepada wartawan.

Kerajaan di mana-mana negara ada banyak kuasa untuk mengenakan wartawan atau organisasi media. Mereka boleh sahaja menggunakan pelbagai akta yang ada untuk menghalang profesionalisme wartawan disuburkan dan dilaksanakan. Kerajaan tahu banyak wartawan yang terpaksa menyara keluarga dengan profesion ini. Mengugut dengan pelbagai akta tentunya membuatkan wartawan memikirkan kepentingan keluarga daripada memurnikan profesion.

Sekiranya wartawan sering digertak dengan pelbagai akta,  malah ada akta lama dipinda untuk memperketatkan lagi cengkaman, matlamat mewujudkan persekitaran sosiobudaya dan politik yang sihat tidak akan tercapai. Ketidakadilan berlaku apabila masyarakat disekat mendapat maklumat sebenar dan undang-undang membenarkan sekatan itu.


No comments:

Post a Comment