Thursday, April 21, 2016

Kesedaran Islam vs candu hedonisme


Sambutan luar biasa terhadap semua ceramah terbuka  sarjana Islam,  Dr. Zakir Naik di negara ini memperlihatkan kesedaran terhadap Islam semakin kukuh.  Cara hidup Islam sudah menjadi pilihan daripada perbankan Islam,  produk makanan halal hingga kepada  etika berpakaian menepati syariah.

Fenomena Dr. Zakir Naik boleh dimanfaatkan untuk menerapkan pemikiran dan cara hidup Islam kepada masyarakat termasuk bukan Islam bahawa Islam menganjurkan  kesungguhan menuntut ilmu,  berpemikiran tinggi,  hidup sederhana dan tidak memusuhi bukan Islam.

Daripada reaksi yang diterima secara langsung daripada masyarakat,  rancangan ceramah agama Cinta Ilmu yang disiarkan di TV AlHijrah antara yang mendapat tempat khususnya yang berusia 30-an ke atas dan  suburban.   Selama ini  mereka menolak  rancangan televisyen kerana terlalu padat dengan hedonisme yang mempromosi gaya hidup bertentangan Islam.  Sebenarnya mereka boleh menolak menonton televisyen tetapi menolak hedonisme.

Kalau sebelum ini  angka 30,000 orang atau 20,000 orang hanya boleh dicapai sekiranya  diadakan konsert hiburan yang memperagakan artis-artis  berkelas rendah  dan  sensasi.  Penonton konsert hiburan ini sanggup berhujan demi untuk menonton artis kegemaran mereka.  Sebab itu kita selalu baca laporan di akhbar yang mencatat,  "hujan tidak menjadi halangan......"  sebagai satu pengiktirafan kesetiaan peminat terhadap artis.

Bagaimanapun sambutan  di  semua lokasi  ceramah Dr. Zakir Naik  telah memberikan satu yang baharu iaitu ceramah agama oleh bukan dalam kalangan selebriti tanpa teknologi pentas yang spektakular telah mencatatkan kehadiran yang begitu banyak.  Malah ada di beberapa lokasi hujan dengan lebatnya tetapi orang ramai sedikit tidak berganjak.  Sanggup berhujan menyaksikan ceramah agama barulah ada nilai berita kerana jarang-jarang berlaku.

Saya sudah  banyak kali  menyaksikan ceramah Dr. Zakir Naik apabila TV Al Hijrah menyiarkan rancangan yang diambil daripada Peace TV dua tiga tahun lalu.  Sambutan  terhadap semua ceramah Dr.  Zakir di luar negara  memang luar biasa dan yang penting isi kandungan ceramahnya sarat dengan hujah-hujah ilmiah yang dipermudahkan untuk khalayak umum.

Di luar negara juga ceramah Dr. Zakir Naik turut dihadiri oleh  kalangan bukan Islam dan beliau memberi peluang kepada mereka untuk bertanya atau berhujah di mana akhirnya mereka bersetuju dengan Dr. Zakir.  Kerana itu apabila ada segelintir pemimpin politik  bukan Islam cuba menyekat  kehadiran Dr. Zakir Naik ke negara ini dan pihak berkuasa seakan-akan bersetuju,  bagi saya itu satu  kerencatan  kewarasan yang paling  bahaya.

Bagaimanapun malangnya khalayak yang membanjiri di depan pentas semua ceramah  Dr. Zakir Naik  tidak semua  daripada  mereka yang sanggup  berhujan  menonton konsert hiburan terutama yang percuma.  Alangkah baiknya kalau dalam kalangan penonton yang sama membanjiri ceramah  Dr. Zakir  supaya mereka dapat membuat periksa dan imbang  yang manakan cara hidup yang terbaik.

Fenomena Dr. Zakir Naik ini juga boleh dijadikan  rujukan bahawa ceramah agama khususnya di televisyen  perlu dipelbagaikan pendekatannya.  Tidak boleh terlalu banyak  ceramah agama yang berkonsep pop, lebih banyak jenaka dan penglipur lara daripada ilmu yang hendak dibawa.  Tekankan juga pendekatan ceramah yang serius dan ilmiah yang dipermudahkan  supaya khalayak juga serius menghayatinya.  Untuk mendapat  ilmu mesti  serius.  Kita bimbang suatu hari nanti  pensyarah  di  institusi pengajian tinggi juga dipaksa meniru peserta Maharaja Lawak  untuk menarik perhatian para pelajarnya.

Bagaimanapun  usaha satu pihak untuk  memperjuangkan pemikiran dan gaya hidup Islam berhadapan dengan halangan pihak yang memperjuangkan hedonisme yang sudah menjadi candu dalam masyarakat terutama Islam di negara ini.  Mereka memberikan keseronokan  dan mencipta realisme baharu di alam  bawah sedar.  Sama sifatnya seperti candu.

Hadiah wang tunai RM150,000  kepada  juara pertandingan nyanyian Kilauan Emas Otai seolah-olah mengubah hidup seorang bekas penyanyi yang kini menjadi tukang kayu untuk kembali kepada dunia yang ditinggalkannya.  Ini adalah candu hedonisme terbaru yang diberikan kepada  Melayu Islam di negara ini kerana rancangan itu hanya ditonton oleh orang Melayu sahaja.

Dunia  seni telah lama terpasung  dan dipesongkan oleh hedonisme. Seni  yang sepatutnya tinggi nilai pemikiran dalamnya  sudah disekutukan  dengan  nilai sampah dalam hedonisme.  Hal-hal  berupa material seperti  hadiah wang tunai yang tinggi,  hadiah barangan  yang mewah dan  tawaran  supaya terus menjadi sebahagian agen hedonisme di atas nama "akademi nyanyian",  "akademi lakonan" dan pelbagai lagi telah memalsukan seni.  Proses  membentuk pelapis agen hedonisme berterusan  kecuali ada kesedaran  pemimpin Islam untuk mengubahnya.

Itu pun kalau ada pemimpin yang sanggup bertindak tidak popular dan menggadaikan kepentingan politik  untuk  menolak kegilaan  luar biasa generasi muda Melayu Islam kepada candu hedonisme.  Ini belum lagi ditambah dengan kegilaan politik "niat menghalalkan cara",  mempromosikan Indeks Syariah tetapi semakin banyak perilaku pemimpin Melayu Islam sendiri  yang terlepas daripada indeks yang mereka peragakan.





No comments:

Post a Comment