Wednesday, April 13, 2016

Islam teras kebebasan media


Akhir tahun lalu  seorang  pelajar yang membuat tesis  PhD di Univeriti Queensland, Australia telah mewawancara saya mengenai  tahap kebebasan media di  Malaysia di bawah topik  "Understanding Islam and Asian values within the social responsibility context in Malaysian journalistic practices". 

Saya menjawab semua soalan beliau mengenai  kewartawanan di negara ini secara terus terang.  Saya tidak perlu berselindung terhadap keadaan sebenar yang berlaku  terhadap wartawan-wartawan di negara ini apabila memilih untuk berada dalam kumpulan "media arus utama".  Saya akan menulis dalam rencana yang lain mengenai perkara itu.

Saya  katakan kepada beliau,  sebagai muslim, secara peribadi saya tidak memerlukan kerangka "kebebasan media"  seperti yang dimomokkan oleh Barat atau "hak asasi manusia" yang diperjuangkan di sana.

Saya ingin menekankan bahawa  ajaran Islam sudah merangkumi semua aspek dalam konteks peranan wartawan dan kebebasan dalam membuat laporan.  Wartawan Muslim  di negara Islam seperti Malaysia dan Islam menjadi agama Persekutuan diharap   jangan terperangkap dengan perjuangan kebebasan media Barat yang ada antaranya bertentangan dengan Islam.

Kebebasan media cara Barat  berkait rapat dengan perjuangan hak asasi manusia yang melulu.  Kebebasan media yang berpaksikan ajaran-ajaran dalam Islam  akan dilihat "tidak bebas" oleh penganut kebebasan media cara Barat.  Pertentangan nilai hidup antara Islam dan Barat harus  difahami  dan memerlukan  kearifan kita  untuk menyaring yang sesuai dengan kerangka ajaran Islam bagi seorang wartawan Muslim atau organisasi media yang diterajui oleh Muslim.

Kebebasan media dalam kerangka Islam  meletakkan wartawan sebagai individu yang memperjuangkan kebenaran dan memerangi perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan Islam.   Tidak ada istilah untuk menjatukkan atau menaikkan  seseorang pemimpin. Tidak ada  juga istilah niat menghalalkan cara untuk membolehkan sesuatu yang bertentangan  dihalalkan kerana ada kebaikan di hujungnya. Bagaimana boleh jadi baik kalau perbuatannya tidak baik?

Oleh yang demikian kebebasan media dalam kerangka Islam juga tidak membenarkan sama sekali yang hitam diputihkan di mata masyarakat atau menghitamkan  yang putih  di atas alasan apa sekalipun.  Seorang wartawan Muslim mempunyai tanggungjawab besar  supaya  masyarakat mendapatkan maklumat yang benar.  Di atas maklumat yang benar inilah akan wujud demokrasi  berfikir yang  menjadi pemangkin demokrasi dalam politik dan sosial yang sebenarnya.  Tidak akan wujud demokrasi yang tulen kalau masyarakat disalurkan dengan maklumat yang tidak benar.

Pada era pendemokrasian maklumat dan liberalisasi media masyarakat mempunyai banyak pilihan untuk mendapat maklumat termasuk yang tidak benar.  Jadi,  adalah menjadi tanggungjawab  seorang wartawan untuk menyalurkan maklumat sebenar  dan memperincikan supaya  masyarakat tidak terpengaruh dengan maklumat yang dicurigai dari media sosial.

Kebebasan media dalam kerangka Islam  pada akhirnya  memberikan hasil yang lebih besar iaitu mampu membentuk peribadi, sikap dan pemikiran politik para pemimpin supaya tidak tergelincir atau sengaja menggelincirkan diri  dari landasan Islam.  Mereka akan hormat kepada ketegasan wartawan dan organisasi  yang menjulang kebebasan dalam kerangka Islam.

Apabila media di Barat yang tidak mengamalkan ajaran Islam boleh bertindak terhadap  pemimpin yang  tidak amanah  seperti  Richard Nixon yang menggelapkan wang rakyat dalam skandal Watergate atau menurunkan Bill Clinton kerana masalah moral,  tentulah amat memalukan kalau  ada perbuatan yang hampir sama dipadamkan oleh wartawan Muslim di tanah air sendiri.

Maksud saya bukanlah wartawan  dan organisasi media perlu turut memainkan peranan bagi menurunkan atau menaikkan seseorang pemimpin.  Itu bukan kerja wartawan. Semua itu kerja orang politik.  Kalau ada wartawan yang membuat kerja-kerja itu,  nasihatkan mereka supaya menyertai politik secara sepenuh masa. Tugas wartawan dan organisasi media ialah menyalurkan maklumat yang benar.  Kalau maklumat yang benar itu menyumbang  menaikkan  seseorang tokoh,  itu adalah secara kebetulan.  Begitulah juga kalau sebaliknya.

Saya fikir semua dalam kalangan kita yang Muslim pernah dinasihatkan oleh ustaz,  tok haji atau tok lebai  yang mengajar agama semasa kita di alam kanak-kanak.  Perkara-perkara asas yang mungkin kita anggap remeh pada masa itu adalah teras dalam kerjaya terutama wartawan pada masa ini. Mereka tentunya selalu menasihatkan  kita supaya bercakap perkara yang benar,  jangan  menyampaikan perkara yang tidak benar kepada orang lain.


Bagi saya inilah asas-asas  dan teras kebebasan media dalam kerangka Islam.  Kalau kita mampu menzahirkan  nasihat  alim ulama di kampung semasa kita kanak-kanak,  kita mampu membuat perubahan sekaligus menjulang kerjaya di tahap yang dimuliakan.

4 comments:

  1. Selamat menjalani alam kewartawanan lebih tepat dunia penulisan diluar arus perdana bagi meneruskan perjuangan dan menghabiskan sisa-sisa hidup kita sebagai hamba Allah yang masih berbaki...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih banyak-banyak Cik Mat, orang pertama yang membimbing saya sebagai wartawan semasa di Alur Setar tahun 1983. Insya Allah saya akan terus menulis kerana wartawan tidak ada istilat berhenti.

      Delete
  2. Selamat kembali menulis saudara Ku Seman....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tidak akan berhenti menulis walaupun di padang yang bukan arus perdana.

      Delete