Monday, April 18, 2016

Derma RM2.6 bilion adalah isu moral seorang Muslim


Apabila media arus utama membesarkan kenyataan Menteri Luar Arab Saudi bahawa  duit  RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak adalah derma daripada pihaknya,  rakyat terutama yang Muslim jangan mudah menganggap isu yang memalukan Malaysia itu sudah selesai.

Rakyat jangan mudah termakan dakyah  pihak tertentu untuk membersihkan  isu  "derma" dari luar negara.  Ini bukanlah  suatu yang lumrah dilakukan oleh pemimpin yang mempunyai kuasa membuat keputusan. Isu derma misteri dengan jawapan yang berdolak dalik ini tidak boleh disucikan atau dipadamkan dengan begitu mudah.

Walaupun kita sebenarnya berhak untuk curiga dengan  pengakuan Menteri Luar Arab Saudi itu kerana pada Februari lalu memberikan kenyataan bahawa RM2.6 bilion bukan "derma" tetapi "pelaburan",  kita biarkan sahaja buat sementara isu itu.  Media arus utama kita terlepas pandang berita oleh Reuter yang melaporkan kenyataan itu dari Munich.  Tetapi anehnya tidak terlepas pula kenyataan yang memuatkan "pengakuan"  bahawa derma itu memang benar dari Arab Saudi.

Yang rakyat mempersoalkan tentang derma RM2.6 bilion itu bukan daripada sudut teknikal,  daripada siapa, untuk apa dan kenapa memilih Perdana Menteri sebagai penerima derma.  Isu utamanya melampaui aspek teknikal tetapi  dari sudut moral.  Apa lagi sebagai seorang Muslim di mana amanah menjadi tunggak dalam semua aspek kehidupan.

Apabila kita menyeberangkan isu ini kepada isu moral,  ia tidak boleh  dipadamkan atau diselesaikan dengan begitu mudah.  Apa lagi  derma  dimasukkan dalam akaun peribadi seorang yang  ada kuasa membuat keputusan di peringkat negara.  Kalau duit itu dimasukkan dalam akaun mereka  yang tidak ada kuasa membuat  keputusan,  sudah tentu tidak timbul isu moral.

Memanglah ada beberapa pemimpin UMNO  dengan megah bertepuk tangan kononnya isu derma itu membuktikan  tuduhan Tun Dr.  Mahathir salah sama sekali.  Ada yang berkata isu derma sudah selesai.  Maaf,  siapa yang kata selesai?  Siapa mereka yang berhak mengiktiraf isu ini selesai?

Rakyat jangan mudah menelan  semua yang manis-manis tentang derma RM2.6 bilion.  Yang memberi derma tidak ada isu.  Tetapi bagi individu yang mempunyai tahap amanah yang tinggi  sudah tentulah  derma  begitu   tidak dimasukkan dalam akaun peribadi.  Ini  boleh mengundang fitnah. Kalau derma itu untuk Malaysia  masuklah melalui prosedur tertentu.

Oleh yang demikian apakah dengan mudah misteri yang berbelit-belit itu selesai  hanya dengan pengakuan pendek dan sangat umum daripada Menteri Luar Arab Saudi?  Saya percaya kita semua yang dianugerahkan dengan  akal yang panjang. Maka janganlah dengan mudah diperdayakan oleh akal orang lain yang lebih pendek daripada kita.

Apakah bezanya  isu derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib Razak dengan isu  bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo yang membeli banglo dengan harga di bawah pasaran?  Atau apakah bezanya dengan isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membeli banglo di bawah harga pasaran?

Mohamad Khir atau Guan Eng boleh sahaja mendakwa,  apakah salah membeli  di bawah harga pasaran  kerana  urusan pembelian  dilakukan dengan sukarela, tanpa paksaan atau janji-janji tertentu?  Mungkin di sudut teknikal seperti undang-undang tidak salah,  tetapi salah dari sudut moral.  Sebabnya kedua-dua mereka ketika urusan itu dilakukan merupakan individu yang mempunyai kuasa membuat keputusan di peringkat negeri. Perbuatn itu boleh mengundang fitnah.

Baguslah  UMNO  menyerang  Guan Eng dengan isu membeli banglo dengan harga murah.  Tetapi sedarkah mereka  yang sedang dilalui oleh  Najib Razak juga adalah serupa?  Kalau mereka jujur  persoalkan juga kenapa  derma itu diberikan kepada Najib yang sekarang adalah Perdana Menteri bukan kepada Dr. Mahathir yang sudah tidak ada apa-apa jawatan penting?  Ibaratkan RM2.6 bilion itu sebagai sebuah banglo,  kenapa diberikan kepada Najib seperti mereka mempersoalkan kenapa banglo dijual murah kepada Guan Eng.

Saya sama sekali tidak mengatakan  Guan Eng atau  Dr. Mohamad Khir  melakukan rasuah.  Tetapi moral mereka dipersoalkan. Samalah dengan  Najib Razak yang mungkin terlepas dari aspek  undang-undang  tetapi  tidak lepas dalam isu moral.  Tidak perlulah  hendak  menuntut  Dr. Mahathir minta maaf,  itu kerja membuang masa selagi isu moral tidak diselesaikan.



2 comments:

  1. Salam Sdra

    Selamat kembali setelah sekian lama menyepi dan bebas dari Utusan.

    Sdara...jangan samakan isu Najib dengan LGE dan Khir Toyo...jauh sekali perbezaannya. LGE dan KT beli banglo dibawah harga pasaran...tu je.

    Najib terima duit direct masuk akaun peribadi secara senyap...bila orang bongkar...masih tak mengaku...tuduh Tun pulak buat fitnah...lepas bila ternyata...tak mengaku juga..."tak makan duit rakyat" jerit pekiknya...duit diolah menjadi "derma"...terlalu panjang putar belitnya...Lepas tu pecat sana pecat sini...tukar sana tukar sini...sekat sana sekat sini...last last AG sucikan Najib tapi sebelah tangan tunjuk bukti jelas penuh taik...Dalam kes 1MDB...PAC pulak menyorotkan siasatan kepada individu tertentu untuk dikambing korbankan...walhal jelas sekali Artikel 117 menjurus kepada Najib...tanpa Najib seperti termaktub dalam Artikel 117 tu...segala urusan dan transaksi wang tak akan kemana...Namun Najib tidak bersalah...Sharol jadi kambing korban!...

    Kini timbul kenyataan dari Menteri Luar Arab Saudi...berdolak dalih...kalau unta bercakap pon tak munkin macam tu...

    Najib memang tak de moral apatah lagi harga diri...begitu juga menteri menteri UMNO dan pendokong utama persekongkolan ini...semua cakap dengan air liur basi je...tanpa bukti yang sah...Ada pulak keluarkan bukti "Surat" yang langsung tidak menyakinkan...Bahasa "English" surat tu tak ubah macam tulisan orang melayu Malaysia dari segi bahasa dan stylenya...langsung tidak ada "International Diplomatic Language"...dan isi surat tu menjurus kepada perkara selepas fakta (After the facts)...macam nujum pak belalang je...

    FBI, DOJ, WSJ, WP,Swiss AG, ABC News, SR dll buat "Fitnah" siap dengan bukti hasil siasatan yang terperinci...Mereka semua belum mendedahkan kepada umum segala detail kerana siasatan belum selesai...

    Sdra semua...FBI tu sape?...Swiss AG tu sape?...bukan syarikat akhbar yang menerbitkan cerita sensasi untuk melariskan jualan...Mereka adalah pihak berkuasa di negara masing masing...Presiden Nixon berundur hasil siasatan FBI...Swiss AG datang dari sebuah negara yang terkenal dengan urus tadbir yang telus..."Swiss Banking" menjadi satu institusi perbankan yang tersohor di dunia...

    Kita bukan mengagongkan agensi penguat kuasa luar negara...tapi hakikatnya agensi dalam negara kita serupa macam lembu cucuk hidung...kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dah hilang!...Kuasa Attorney General mengatasi segalanya...walaupon ada bukti...dia boleh cakap tak de kes!..So apa guna BNM, SPRM waima PDRM (yang selama ni tido dan masih tido lagi)...kalau AG kata tak dak kes...habis berhenti disitu je...So?...

    Kalau kita cakap pasal "Kewibaan"...semua yang "MEMFITNAH" Najib lebih berwibawa dari Najib dan sekongkolnya.

    Jadi siapa yang lebih boleh "Dipercayai"?...
    Najib?...kalau itu pilihan anda...ternyata anda kurang menggunakan akal dan common sense...

    Sedarlah apa yang disekeliling anda...

    Ada mata...pandang
    Ada telinga...dengar
    Ada akal...pakai
    Ada mulut...cakap pakai akal!...



    ReplyDelete
  2. Mohon dibezakan antara akhlak dan moral.

    Akhlak itu sesuai digunakan untuk orang-orang Islam kerana perbuatan kita dinilai di dunia dan akhirat.

    Manakala moral sesuai digunakan untuk orang-orang bukan Islam.

    Kerana orang Islam dan bukan Islam itu lain akidahnya.

    ReplyDelete