Wednesday, April 27, 2016

Definisi negara maju impian kita


Semalam Perdana Menteri, Najib Razak menyuarakan keyakinan  bahawa Malaysia mampu menzahirkan  status negara maju  "sebenarnya" menjelang 2020 menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) .  Apakah maksud "sebenar" yang ditekankan Najib?  Adakah ini untuk menafikan Wawasan 2020 yang  dimulakan oleh Dr. Mahathir?  Tidak kisahlah apa-apa sekalipun.

Tetapi dalam keadaan  rakyat  tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan pada tahap yang tidak munasabah,   cukai pendapatan  yang tinggi, peraksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP), sektor pekerjaan semakin mengecil,  kenaikan gaji tidak selari dengan kenaikan harga barang.   keruntuhan moral dalam kalangan  pembuat dan perlaksana dasar tentulah suatu yang sangat ironi apabila Najib Razak begitu yakin Malaysia akan menjadi negara maju sebelum 2020. 

Kita tentunya  tertunggu-tunggu  ulasan yang jujur oleh penulis-penulis  hebat di media arus utama  mengenai  negara maju yang akan digapai sebelum 2020 takkala rakyat  bergelut  meneruskan hidup dalam tekanan dari pelbagai sudut. Sudah tentulah ulasannya   bukan  bersetuju melulu atau menghentam secara buta tuli  sebaliknya kebertanggungjawaban  terhadap buah fikiran yang dilontarkan.

Kita jangan cepat terperangkap dengan definisi  "negara maju" oleh Barat yang hanya menggariskan kecemerlangan  kebendaan,  infrastruktur  serta ringgit dan sen sahaja.  Semestinya definisi negara maju  dalam konteks  kita  tidak terlepas daripada kompas Islam,  ketinggian  nilai kemanusiaan,  keluhuran sistem politik dan sosial   serta   teguhnya  sistem perundangan.

Kita tidak perlu menjadi negara maju yang penuh dengan kebobrokan,  pemimpin dan rakyat  hilang  kompas agama,  tarikan kebendaan lebih utama daripada kesejahteraan  hidup dan  perlumbaan mengaut kekayaan  mengatasi peri pentingnya hal-hal kemanusiaan.

Bagi sesetengah pihak pembangunan  pesat di Kuala Lumpur seperti tumbuhnya kondominium, pusat membeli belah mewah, pusat hiburan serta kawasan-kawasan kediaman elit di pinggir bandar ialah garis penunjuk negara maju. Ini termasuklah tumbuhnya pusat pengajian tinggi swasta  dalam keadaan tidak terkawal. Pendidikan memang menjadi satu ciri penting negara maju tetapi yang berlaku di negara ini ialah mengindustrikan pendidikan secara rakus. Kesannya melebarkan jurang  kaya dan miskin, kampung dan bandar, antara kaum dengan kaum lain.

Oleh kerana itu definisi “maju” dan “kemajuan” mesti dibaca dalam konteks yang lebih luas merangkumi kepentingan manusia secara umumnya. Tidak ada ertinya pencapaian  materialistik seperti pendapatan perkapita atau KDNK kalau rakyat hidup dalam  tekanan kerana banyak sistem telah dirosakkan oleh rasuah dan kebimbangan dan diganggu oleh ruang kebebasan melampau hak asasi manusia lain.  Tidak ada ertinya  menjadi negara maju kalau prinsip moral dan agama menjadi semakin rendah atau diperendahkan oleh  kerakusan memburu materialisme.

Ini adalah  model kemajuan materialistik Barat. Kita tidak boleh merujuk model begini untuk menentukan status negara maju yang   kita impikan.  Model begini  tidak dapat menyelesaikan masalah manusia seperti peningkatan pelanggaran garis moral dan agama,  misalnya berleluasanya jenayah rasuah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar,  dari serendah-rendah  hingga setinggi-tinggi  jawatan.

Kemajuan  yang sebenar ialah mewujudkan  ruang kehidupan yang aman serta tinggi citra insani dalam kalangan warganya. Misalnya  tidak dihantu kebimbangan kejadian jenayah  atau diganggu oleh manusia  rosak akhlak dengan pertumbuhan  pusat hiburan  mewah  (seperti di Jalan Tun Razak) dan pusat  persundalan seperti di Jalan Alor, Kuala Lumpur.

Negara mau juga bukan ditandai dengan  kejayaan  memiliki beratus-ratus saluran televisyen berbanding  30 tahun lalu hanya tiga saluran. Ini belum  menunjukkan kita menuju negara maju melainkan kemajuan teknologi penyiaran itu mampu membina kekuatan jiwa kepada rakyat.  Kalau teknologi penyiaran yang canggih itu hanya menyebarluaskan hedonisme, mempromosi idealisme korup dari Barat,  kita belum mencapai  tahap negara maju.

Sekadar bertanya,  apakah  sebenarnya definisi "negara maju" yang dikatakan oleh Najib Razak? 



3 comments:

  1. Sdra

    Kita memang sudah maju!...

    Kita ikut cara barat
    Urusan kita global
    Moral dan pegangan hidup kita liberal
    LBGT pun kita ada
    Anak haram pun banyak
    Rasuah, jenayah, kita setanding malah lebih dari mereka
    Kita dah ada jaringan jenayah global
    1MDB tersohor sedunia
    PM Korup...bangga...

    Munkin itu yang dimaksudkan Najib...

    ReplyDelete
  2. Sdra PutraKraken....

    Saya sentiasa mengikuti hujjah perbahasan saudara samada disini, che det, kadir jasin atau din turtle.

    Pandangan saudara yang kritis terbaik sungguh.

    Teruskan agar kami yang masih meraba fakta dapat penceragan.

    Terima kasih kepada Ku Seman Ku Hussein yang terus berkarya.

    Terbaik dari saudara berdua. Wassalam

    ReplyDelete
  3. Terima kasih, selagi ada kudrat saya tidak akan membiarkan tangan saya diikat, lidah saya dipotong dan membiarkan kebenaran itu tenggelam kepalsuan diapungkan.

    ReplyDelete