Thursday, February 11, 2016

Salleh Keruak minta ahli politik hati-hati keluar kenyataan

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Keruak meminta ahli politik supaya berhati-hati  apabila mengeluarkan kenyataan kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara.  Kenyataan ini dirujuk kepada pemimpin pembangkang yang mengkritik 1MDB dan Tabung Haji.

Saya sangat setuju dengan Salleh Keruak.  Orang politik termasuk menteri juga kenalah berhati-hati  semasa mengeluarkan kenyataan  melindungi apa-apa salah laku yang berlaku kerajaan.  Jangan teruja sangat membela tuan hingga  fakta-fakta lintang pukang.

Tetapi ini bukan masalah besar, Salleh sendiri  mengawal stesen RTM dan UMNO mengawal  semua media arus perdana.  Jangan siarkan kenyataan pembangkang yang boleh menjejaskan ekonomi negara.  Kalau media arus perdana tidak siarkan,  rakyat tidak tahu tentang kenyataan itu.

Bagaimanapun apabila  Salleh bimbang dengan kenyataan ahli politik pembangkang,  adakah  Salleh mahu mengatakan media alternatif (bukan media sosial) lebih berpengaruh dari media arus perdana? Kalau begitulah maksudnya,  UMNO  kenalah berbuat sesuatu supaya rakyat tidak percaya dengan media alternatif dan hanya percaya kepada media arus perdana.

Salah satunya UMNO perlu terbuka menerima kritikan.  Parti politik sekuat mana sekalipun akan lemah kalau menafikan kerosakan yang berlaku dalam parti. Sepatutnya RTM menyiarkan  secara adil  kritikan  Rafidah Aziz terhadap sikap UMNO yang memaksa ahli setia kepada individu bukan kepada parti.

Tetapi agak malang RTM tidak menyiarkan kritikan membina daripada Rafidah.  Kalau UMNO berhajat menjadi muda kenalah terima kritikan.  Apalah sangat dengan kritikan Rafidah. Tetapi kalau UMNO takut dengan Rafidah maknanya hebatlah Rafidah berbanding Najib yang saban hari memenuhi di media arus perdana.  Lalu Salleh kena bertanyalah di mana silapnya UMNO?





No comments:

Post a Comment