Wednesday, February 3, 2016

Demi parti bukan demi kebenaran

Ada orang berkata Mukriz Mahathir kena berkorban demi parti. Kalau parti kata turun, kena turun walaupun kita tahu telah dianiaya atau tahu  tujuan sebenarnya  kerana tidak dapat tanduk, pulas telinga pun jadilah.  Saya bertanya, kenapa demi parti bukan demi kebenaran?

Napuh ini yang juga orang kuat UMNO menjegilkan matanya luas-luas, parti memerlukan pengorbanan untuk terus kuat.  Tunjuklah kesetiaan kepada parti.  Saya tanya lagi,  bagaimana pula kalau tindakan parti tidak dibuat di atas asas yang betul?  Suruh terjun longkang misalnya,  adakah kita perlu berkorban untuk terjun longkang?

Dia menjawab lagi,  parti ada sebab untuk berbuat begitu. Sebab itulah kami memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan.  Kami tidak mahu dianggap derhaka kepada parti.  Kita mesti berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan parti  dalam apa juga keadaan.

Saya tanya,  kalau pucuk pimpinan dalam keadaan tidak benar pula bagaimana?  Adakah hendak terus berdiri teguh menyokong yang tidak benar?  Napuh itu menjawab,  kami percaya pucuk pimpinan tidak pernah berada dalam keadaan yang tidak benar. Kalau ada yang mengatakan  begitu,  mereka itu adalah pembangkang yang tidak takut Tuhan  kerana menabur fitnah.

Saya tanya lagi, adakah orang UMNO takut kepada Tuhan?

Napuh menjawab,  kalau nak tahu,  perjuangan UMNO adalah untuk agama, bangsa dan negara. Sudah tentulah Tuhan berada di tempat pertama dalam perjuangan kami. 

Saya bertanya,  kalau benar takut kepada Tuhan kenapa  tidak berani menegur pucuk pimpinan? Kenapa membiarkan puak pembangkang yang sesetengah itu bukan Islam untuk mengingatkan pucuk pimpinan UMNO  tentang amanah dan kejujuran?  Sepatutnya ulama-ulama  yang berkelulusan Mesir, Jordan dan macam-macam lagi  dalam UMNO terlebih dulu menegur pemimpin mereka, bukannya pembangkang?

Napuh berkata,  kau bukan orang politik, Kau tak tahu sepak terajang politik.  Dalam politik mana boleh buat macan tu.  Kalau buat macam tu, tak lama kena tendang keluarlah.  Kena amalkan prinsip, lindungi kelemahan orang kita dan besarkan kelemahan pembangkang. Hei, kau janganlah tanya aku banyak-banyak.  Aku ni napuh sahaja tau. Kau jangan cuba menyesatkan aku dari berjuang demi parti kepada berjuang demi kebenaran. 

* Napuh : nama saintifik ialah tragulus napu, dalam bahasa Inggeris disebut greater mouse deer  dan hampir pupus.



No comments:

Post a Comment