Wednesday, February 10, 2016

Bangkitlah menentang pindaan OSA


Saya tidak fikir ada  wartawan  (sekali lagi ada wartawan) termasuk dari media arus perdana yang menyokong pindaan Akta Rahsia Rasmi  1972 (OSA) yang awal-awal lagi membayangkan  gangguan kepada profesion kewartawanan di negara ini.  Dengan menggunakan kuasa Peguam Negara dan disokong oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pindaan ini  kelihatan tidak lebih untuk melindungi perbuatan rasuah dalam kerajaan, bukan menghalang penyebaran maklumat keselamatan.

Tetapi kalau ada  wartawan yang masih menyokong  tindakan politik  Peguam Negara,   saya tidak tahu hendak kata apa lagi  kecuali berdoa supaya  mereka diberi pencerahan dan  memperjuangkan ketelusan kewartawanan. Bukannya bersetuju dengan undang-undang yang menjerut leher rakan-rakan wartawan semata-mata untuk  melindungi dua tiga kerat orang politik yang berada dalam kerajaan.  Wartawan tidak boleh setia melulu terhadap semua yang diutarakan kerajaan sekaligus merestui perbuatan  yang bertentangan dengan undang-undang dilakukan dengan sebebas-bebasnya.

Saya masih tertanya-tanya di mana hilangnya wartawan-wartawan besar media arus perdana?  Di mana suara mereka terhadap sesuatu undang-undang yang akan menjejaskan profesion mereka berkerja untuk rakyat (kecualilah mereka berkerja untuk parti politik dan individu tertentu)?  Kalau bukan wartawan yang bangkit menentang pindaan OSA yang menzalimi wartawan, siapa lagi? 

Tahniah kepada Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ)  yang berani memberikan kenyataan sekalipun ahli-ahli mereka berkerja di media arus perdana yang dikawal oleh  kerajaan.

Kepada semua wartawan, tidak kira apa fahaman politik  atau berkerja  di media arus perdana atau  alternatif,  bangkitlah  menentang pihak yang memperalatkan  undang-undang untuk kelangsungan hayat politik.  Tahniah kepada Gerakan Media Marah (Geramm)  yang mendesak supaya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dikaji semula untuk membolehkan wartawan merahsiakan pemberi maklumat.

Cadangan meminda OSA dicetuskan oleh Peguam Negara  Apandi Ali  antara lain membolehkan mahkamah memaksa wartawan mendedahkan pemberi maklumat.  Pemberi maklumat dan wartawan  akan berdepan dengan hukuman berat iaitu penjara seumur hidup atau sepuluh sebatan. Sekiranya  pindaan yang dicadangkan oleh  Apandi diterima,   wartawan yang melaporkan  dan pemberi maklumat akan berdepan dengan hukuman berat.  Sekarang ini pemberi maklumat dirahsiakan dan mahkamah tidak boleh memaksa wartawan mendedahkan pemberi maklumat.

Rejim Najib Razak  begitu rakus  memperalatkan OSA  dengan memindanya untuk menyelamatkan diri daripada salah laku didedahkan kepada umum.  Walaupun tujuan pendedahan ialah untuk mengekang kerosakan sistem akibat rasuah dalam kerajaan tetapi bagi  oportunis kekebalan wartawan mendapatkan maklumat sulit  adalah satu ancaman politik. OSA yang ada sekarang hanya melindungi maklumat-maklumat rahsia mengenai keselamatan tetapi tidak melindungi perbuatan rasuah atau penyelewengan.

Dalam masa terdekat ini  belum ada wartawan yang mendedahkan maklumat-maklumat yang boleh dikelaskan sebagai rahsia keselamatan.  Sebaliknya yang banyak didedahkan ialah maklumat-maklumat biasa yang menunjukkan berlaku rasuah atau salah laku dalam agensi kerajaan.  Pendedahan maklumat tentang  skandal  1MDB,  derma RM2.6 bilion, surat amaran Bank Negara kepada Tabung Haji atau perjanjian Tabung Haji membeli tanah TRX  bukan maklumat keselamatan. Kalau urus niaga dilakukan dengan telus kenapa Tabung Haji begitu gelisah dengan kebocoran maklumat pembelian tanah di TRX?

Di sinilah peranan wartawan menjadikan faktor periksa dan imbang kepada kerajaan. Wartawan menjadi mata dan kepala rakyat yang memantau perlaksanaan sistem dalam kerajaan, caranya dengan mendedahkan salah laku daripada sumber dalaman sendiri. Penjawat awam tidak boleh dipersalahkan kalau membocorkan maklumat yang mengandungi salah laku dalam kerajaan. Ini satu amanah yang mesti dilakukan demi kepentingan umum.

Oleh yang demikian meminda OSA  hanya untuk melindungi pelaku-pelaku rasuah kelas tertinggi yang berada dalam kerajaan.  Sekiranya pindaan ini diterima,  golongan ini  akan  bermaharajalela kerana mereka dilindungi oleh OSA. Padahal  rasuah adalah perbuatan yang dikeji dalam semua agama, budaya dan kaum.  Selepas ini sudah tentu individu yang tahu berlakunya rasuah tidak berani mendedahkan kepada wartawan,  sementara wartawan pula sudah tidak boleh menulis kerana hukuman paling kejam menanti mereka yang berkerja untuk rakyat.

Kita jangan percaya sama sekali dengan pembohongan pihak-pihak yang menyokong pindaan OSA kononnya untuk  keselamatan. Ini adalah satu pembohongan.   Ini  adalah satu  konspirasi  untuk menghalang  wartawan mendedahkan perbuatan yang tidak bermoral dan berintegriti  yang dilakukan oleh orang politik  dalam kerajaan.

Di negara-negara maju,   media (kewartawanan) berada pada state  keempat   selepas,  judisiari,  legistatif  dan eksekutif.  Tetapi di negara ini banyak kes memperlihatkan yang berada di state pertama adalah political executive. Cuma  di atas kertas sahaja judiasiari di tempat paling atas.  Lihatlah bagaimana cara political executive melantik Peguam Negara yang kelihatan selari dengan Perdana Menteri.  Apabila political executive  mengambil tempat judisiari,  maka berlakulah  gangguan  terhadap  agensi   penguatkuasa seperti  SPRM dan polis. 

Contoh yang paling mudah ialah pertukaran tergesa-gesa Peguam Negara,  political executive menganggu tugas agensi penguatkuasaan seperti membuat pertukaran  yang tidak masuk akal terhadap dua pengarah SPRM yang sedang menyiasat skandal 1MDB. Ini termasuk pertukaran Timbalan Pengarah Cawangan Khas ke Jabatan Perdana Menteri.

Pindaan OSA  secara  terang-terang untuk melindungi orang politik dalam kerajaan yang melakukan perkara yang tidak betul.  Kalau benar selama ini pendedahan oleh wartawan  tidak betul kononnya  1MDB begitu kucar kacir urus tadbirnya kenapa perkara ini benar-benar berlaku hingga dipersoalkan oleh media antarabangsa?  Kalau maklumat yang diperoleh wartawan tidak benar,  1MDB bukan menanggung hutang yang banyak tetapi mendapat keuntungan yang berlipat ganda daripada sekian banyak pelaburan. Tetapi hakikatnya 1MDB tenat. Jadi di mana salahnya laporan wartawan?

Kalau maklumat yang diperoleh wartawan tidak betul,  kenapa  Najib akhirnya mengaku menerima derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi?  Kalau benar derma itu bukan isu,  kenapa menggunakan Peguam Negara untuk menutup kes?  Bawalah ke mahkamah biar rakyat melihat kes ini diadili. Sekali lagi ini bukan maklumat keselamatan, ini maklumat yang mendedahkan Perdana Menteri Malaysia menerima derma dan disalurkan dalam akaun peribadinya.

Wartawan berkerja untuk kepentingan umum.  Mendedahkan perbuatan rasuah bukan untuk menjatuhkan individu tetapi menghentikan amalan yang memberikan kesan buruk kepada rakyat  kerana  rasuah merosakkan semua sistem.  Bayangkan kalau tidak ada wartawan yang mendedahkan kepincangan 1MDB dan derma RM2.6 bilion,  apakah yang akan berlaku kepada negara? 

Walaupun baru-baru ini Peguam Negara telah menutup kedua-dua kes skandal itu  tetapi  terus diperkatakan sekaligus menjelaskan pelantikan Peguam Negara untuk melindungi individu tertentu. Mengusulkan pindaan OSA  satu lagi  tugas Peguam Negara untuk membina tembok supaya maklumat salah laku sukar ditembusi.  Ini bukannya dibuat demi kepentingan rakyat.  Malah rakyat perlu tahu apakah yang pemimpin mereka lakukan.

Kesimpulannya kepada mana-mana  individu yang mengaku wartawan  bangkitlah menentang  pindaan OSA yang menzalimi wartawan generasi selepas ini. Mahukah kita dikecam oleh generasi wartawan selepas ini kerana kealpaan sesetengah daripada kita dengan pangkat dan kedudukan? Tetapi saya tidak fikir ada wartawan  yang sanggup diperalatkan oleh individu tertentu untuk melindungi salah laku yang dilakukan. Malah saya tidak fikir ada wartawan yang cuba mengalih isu melindungi peribadi individu tertentu sebagai perjuangan "untuk agama, bangsa dan negara."

Kalau ada juga yang bersikap demikian, belot kepada perjuangan untuk rakyat,  saya syorkan mereka menjadi  penulis pamplet kerana penulis pamplet sememangnya berkerja untuk individu.  Wartawan berkerja untuk rakyat.  Bagaimanapun saya tidak fikir ada wartawan pamplet di negara ini.  Maka, tunjuklah tanggungjawab dengan menolak pindaan OSA yang akan memandulkan wartawan selepas ini.



2 comments:

  1. Syabas. Padat dan tepat. But Push harder...

    ReplyDelete
  2. Sesungguhnya mata pena lebih tajam dari mata pedang.

    ReplyDelete