Wednesday, January 6, 2016

Zahid Hamidi, Hadiah Nobel dan Harry Potter


Saya selalu percaya bahawa melibatkan pemimpin politik dalam acara-acara kesusasteraan dan akademik lebih banyak membawa  mudarat  daripada mengangkat ke tahap pemikiran yang lebih tinggi.  Malah acara-acara kesusasteraan  misalnya tidak  perlu menjadi tempat untuk pemimpin politik menghamburkan  pemikiran setengah masak atau sudah basi.

Tetapi masalahnya  dalam kalangan penganjur  acara kesusasteraan,  pemikiran mereka juga masih dijajah. Asal sahaja  ada acara,  yang terlintas untuk merasmikan ialah pemimpin politik.  Kenapa tidak ada  cadangan acara kesusasteraan dirasmikan oleh tokoh sastera sendiri,  Sasterawan Negara umpamanya.

Tujuannya supaya setiap patah daripada ucapan itu  bukan retorik politik,  idea setengah masak atau idea basi.  Sasterawan kita jauh lebih ke depan pemikiran dan gagasan berbanding sesetengah pemimpin politik yang  tidak tahu apa-apa tentang kesusasteraan tetapi berlagak semua tahu.

Baru-baru ini  semasa merasmikan acara Apresiasi Tokoh Sarjana:  Penerima Anugerah Tokoh Buku Negara,  Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi telah melontarkan dua gagasan kelakarnya.

Kita tidak boleh menyalahkan  Zahid Hamidi kerana “buat kelakar” di depan  sarjana dan sasterawan, tetapi kita patut mempersoalkan penganjur iaitu Yayasan Pembangunan Buku Negara yang “memaksa” dan “meletakkan”  Zahid Hamidi  dalam persekitaran yang  canggung baginya.

Jenaka pertama apabila  Zahid Hamidi  mencabar sasterawan tempatan supaya memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan  selewat-lewatnya pada 2057 iaitu sempena 100 tahun merdeka. Macam tidak percaya  cabaran itu dizahirkan oleh  Zahid Hamidi,  Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Ini kerana “satu dunia”  (bukan 1 Malaysia lagi)  sudah tahu  berlakunya  pemainan politik, berat sebelah  dan cuba mencaturkan pemikiran  manusia di dunia dengan memilih  sasterawan tertentu  sebagai penerima Hadiah  Nobel Kesusasteraan.  Sasterawan besar  dunia sudah lama  tidak percaya kepada  Hadiah Nobel Kesusasteraan  malah tidak bercita-cita untuk mendapatkannya.

Hadiah Nobel Kesusasteraan  pada dekad terakhir ini  lebih  menjurus kepada sasterawan yang  menentang establishment,  Islam dan  memperjuangkan hak asasi manusia daripada definisi  Barat.  Memang benar,   sebelum ini  Hadiah Nobel Kesusasteraan  adalah tanda aras tanda aras yang boleh dipakai.  Itu dulu.

Bagaimanapun  cabaran  Zahid Hamidi supaya  sebelum 2057 ada pemenang  Hadiah Nobel Kesusasteraan  dari negara ini bukan  suatu yang mustahil  sekiranya  selepas ini muncul sasterawan yang anti Islam,  anti Melayu,  menolak Perlembagaan dan memperjuangkan hak asasi manusia dan LGBT.  Zahid kenalah berbangga kalau  suatu hari nanti sasterawan begini muncul sebagai penerima Hadiah Nobel  Kesusasteraan pertama  adalah jenis ini.

Cuba kita lihat, daripada lima pemenang  Hadiah Nobel  Kesusasteraan Rusia, hanya seorang sahaja yang tidak mempunyai kaitan dengan pergerakan  politik dan  pemilihannya dilihat tepat dengan ketinggian karya-karya yang dihasilkan iaitu Mikhail Sholokhov.

Tetapi selebihnya  empat penerima Hadiah  Nobel  Kesusasteraan  dari Rusia yang lain  adalah  aktivis  gerakan politiknya anti  Rusia yakni anti kerajaan.  Mereka adalah  Ivan Bunin,   Boris Pasternak  (penulis novel Dr. Zhivago),   Alexander Solzhenitzyn dan  KeIosif Brodsky.

Ini menunjukkan  sikap anti establishment  menjadi antara  prasyarat  penting  untuk memenangi  Hadiah Nobel Kesusasteraan. Adakah dalam kalangan  sasterawan besar kita termasuk Sasterawan Negara tidak memiliki ciri-ciri ini  tersebut. Mereka  tidak  memperjuangkan hak asasi hingga terlepas dari paksi Islam sebagai agama Persekutuan.

Jenaka of the year yang kedua daripada Zahid Hamidi ialah  tanda aras kecemerlangan  pemikiran, seni dan sastera  (menurut  Zahid Hamidi)  antaranya ialah  kecemerlangan novel Harry Porter dan  Winter Sonata  yang diadaptasi ke filem dan mencatatkan keuntungan.

Saya fikir  untuk berlaku adil, kita patut membezakan  antara  novel  popular dengan  novel yang membawa pemikiran besar menerusi bahasa yang murni.  Harry Porter  bukanlah karya sastera yang boleh dijadikan panduan atau rujukan walaupun  popular. 

Karya-karya oleh  Sasterawan Negara kita jauh lebih besar pemikirannya berbanding  Harry Porter misalnya  karya-karya besar oleh  Sasterawan Negara Anwar Rethuan,  Sasterawan Negara  Usman Awang,  Sasterawan Negara  Keris Mas, Sasterawan Negara A. Samad Said dan beberapa sasterawan lagi.  Novel Harry Porter tidak besar dan bagilah  contoh lain yang lebih diyakini. 



4 comments:

  1. It reaffirmed the idea that his second name is KOMIDI.....I can understand why now. And, thank you for pointing this out.

    ReplyDelete
  2. Maaf, off topic:
    Buat kali pertama dalam masa 20thn, saya telah pergi memontan filem Malaysia di pawagam & it was worth it. Jagat adalah filem rakyat Malaysia mengenai secebis kisah hidup rakyat Malaysia yg tertinggal. Inilah antara karya yang patut kita banggakan.

    ReplyDelete
  3. Tulisan yg berani...harap lepas ini byk reporter yg terpaksa rela menandatangani vss atau angkara downsize media arus perdana akibat dasar terlalu membodek hingga sanggup membiarkan kakitangan derita angkara paper/viewer merosot, dapat bangun bersuara atas nama kebenaran.
    Kita memerlukan kembali reporter yg benar2 berjuang atas nama dan kepentingan agama negara serta rakyat, bukan reporter yg mengejar pangkat.
    Malah lebih menyedihkan ramai juga pegawai n penasihat menteri yg berasal dari jawatan reporter tetapi sengaja membiarkan bos mereka mendapat malu.

    ReplyDelete
  4. Zahid Hamidi should fire his speech writer!

    ReplyDelete