Friday, January 22, 2016

UMNO Kedah belum insaf


Dalam keadaan yang sangat nazak sekarang ini UMNO Kedah ternyata belum insaf apabila  masih mencantas dalam kalangan sesama sendiri, bukannya saling bertautan antara satu dengan yang lain.  Sekelompok ketua sayap UMNO Kedah yang diketuai olah Ahmad Bashah Hanipah secara terbuka  menuntut  Presiden UMNO, Najib Razak memecat  Mukhriz Mahathir dari jawatan Menteri Besar.

Walaupun semasa sidang akhbar Ahmad Bashah menggesa Najib menggantikan dengan pemimpin lain (sudah tentu dia sendiri) tetapi dalam kalangan UMNO mereka percaya  Ahmad Bashah dipergunakan oleh Najib untuk menyingkir Mukhriz.  Hujahnya  Ahmad Bashah  tidak akan berani membuat sesuatu yang tidak disukai  Najib.

Jangan lupa Mukhriz juga mempunyai pengaruh dalam kalangan pemimpin UMNO di Kedah. Ini dibuktikan apabila beberapa  pemimpin sayap UMNO mendedahkan bahawa mereka seolah-olah tertipu  apabila diminta datang mesyuarat sedangkan Ahmad Bashah mahu mengumumkan "semua"  pemimpin Kedah menolak Mukhriz.

Ini menunjukkan UMNO Kedah telah berpecah dua.  BN  Kedah  hanya majoriti enam kerusi,  21 BN dan 15 pembangkang.  Keadaan sekarang, tidak kira sama ada Ahmad Bashah atau Mukhriz menjadi Menteri Besar  hakikatnya  UMNO berada di ambang pepecahan.  Peluang   Pas  untuk menguasai Kedah pada pilihan raya umum akan datang adalah cerah. 

Politik Kedah agak unik kerana sebahagian besar pengundi tidak taksub kepada sesuatu parti.  Ini memperlihatkan kematangan  berpolitik berbanding  kejumudan politik yang terus memberi undi sekalipun kepada tunggul kayu yang dipakai dengan  baju parti.  Orang Kedah telah membuktikan mereka menolak  Menteri Besar  UMNO yang tidak berkualiti,  Mahdir Khalid  diganti dengan Allahyarham Azizan Razak dari Pas.

Kalau Ahmad Bashah menaruh impian mahu menjadi Menteri Besar,  dengan izin Najib  dia mungkin menjadi Menteri Besar sehingga  pilihan raya umum dua tahun lagi.  Ini kerana pemilihan Ahmad Bashah bukan melalui pilihan raya.  Tetapi selepas pilihan raya umum, Ahmad Bashah mungkin terpaksa  bungkus kerana peluang Pas semakin cerah untuk menguasai Kedah.

Pada pilihan raya umum yang lalu, sekiranya tanpa pengaruh Dr. Mahathir yang turut berkempen untuk UMNO,  Kedah mungkin terus  diterajui Pas.  Faktor kemenangan UMNO adalah Dr. Mahathir.  Pilihan raya umum akan datang sudah tentu  Dr. Mahathir tidak akan berkempen untuk UMNO  kecuali  Najib meletak jawatan atau tidak bertanding. 

Oleh yang demikian, semua ini menunjukkan UMNO tidak pernah insaf dengan keadaannya yang nazak,  terpaksa pula menagih simpati dari Pas kononnya demi memperjuangkan Islam tetapi hakikatnya untuk memancing pengundi Melayu - Islam  pada pilihan raya umum akan datang.  Walaupun begitu Pas telah menegaskan bahawa kerjasama dengan UMNO tidak melibatkan politik, maknanya  Pas dan UMNO tetap musuh politik.

Jadi, tidak mungkin Pas tidak akan bertanding di kawasan UMNO di Kedah.  Dalam keadaan UMNO yang sarat dengan pelbagai isu integriti dan bersekongkol dengan tindakan-tindakan yang membelakangkan integriti,  membuatkan dalam kalangan akar umbi UMNO juga sudah mula mempersoalkan keadaan ini. Sementara Pas pula sudah bersih daripada anasir  sekular apabila sebahagian daripadanya keluar Pas  dengan menubuhkan parti Amanah.


No comments:

Post a Comment