Saturday, January 16, 2016

Taja bola sepak tidak memajukan bangsa



ANEKDOT AHAD 17 JAN 16

Kisah seorang tauke bedak pemutih muka yang sanggup menaja  sebuah pasukan bola sepak RM16 juta menjadi topik yang hangat diperkatakan ketika ini. Pelbagai lapisan terutama dalam  kalangan orang Melayu menjadikan isu kekayaan tauke itu sebagai satu  topik wajib untuk diperkatakan  walaupun keadaan orang Melayu sama seperti lirik lagu Anak Kecil Bermain Api. 

Sana sini orang menggelengkan kepada sambil berkata, "Banyaknya duit dia."   Sebagai negara yang mengamalkan dasar terbuka (bukan komunis)  kita  tidak ada masalah kalau ada yang muncul dengan kekayaannya. Begitu juga dengan tauke bedak pemutih ini.  Tetapi tentu lebih afdal kalau kekayaan digunakan untuk  memajukan bangsa. Saya sangat percaya bahawa suatu bangsa yang berjaya  adalah kerana ada  dalam kalangan mereka yang kaya membantu memajukan  yang sebangsa dengannya.

Sudah tentulah agenda mebantu memajukan bangsa tidak  tercapai  dengan menaja pasukan bola sepak.  Tetapi menaja pasukan bola sepak bukanlah satu kesalahan  cuma cara ini tidak membantu memajukan bangsa kita yang  mundur terutama  dalam hal  ekonomi dan pendidikan.  Saya percaya kalau pasukan yang ditaja itu mampu menjadi juara Piala Dunia sekalipun, bangsanya tidak teranjak berbanding wujudnya yayasan untuk membantu golongan pelajar dan generasi muda dalam kerjaya.

Apa yang boleh dilakukan dengan RM16 juta?  Secara mudah kalau dengan nilai ringgit sekarang, RM16 juta  boleh menaja sepenuhnya sekurang-kurang 40 orang pelajar  peringkat degree  di universiti di United Kingdom. Kalau menaja separuh mungkin menjangkau 80 orang pelajar belajar di tempat yang sama.  Kalau belajar dalam negara tidak terkira pulalah jumlahnya yang bukan sahaja mendapat hasil daripada RM16 juta sebaliknya melahirkan profesional Melayu dalam jangka masa tertentu.

Dalam soal ini sesetengash daripada kita boleh dianggap tersilap memberikan tumpuan kepada  kesanggupan tauke bedak pemutih ini menaja pasukan bola sepak.  Biarlah dia menaja, itu cara dia.  Saya akui bola sepak memang sukan yang sangat berpengaruh di negara ini walaupun pasukan nasionalnya tercorot antara yang tercorot. Ada yang kata tajaan luar biasa ini akan mengubah landskap bola sepak negara? Entahlah? 

Apabila kita selalu berkata yang perjuangan  adalah   "Demi  agama, bangsa dan negara,"   saya tidak melihat  pula ada elemen untuk agama,  untuk bangsa dan untuk negara dalam mempopularkan isu tajaan itu.  Seperti yang saya hujahkan tadi,  kalau pasukan itu menjadi juara Piala Dunia sekalipun, tidak ada elemen untuk agama, bangsa dan negara. Kalau hendak dikatakan demi negara, menjulang Piala Dunia belum tentu itu tanda aras kemajuan  sesebuat negara.

Saya mengakui bahawa pemikiran saya agak kolot  misalnya saya tidak nampak tajaan itu boleh mengubah nasib bangsa. Saya masih percaya kalau jumlah yang sama dilaburkan  untuk mewujudkan sebuah yayasan pendidikan  bagi pelajar dari keluarga miskin misalnya,  ia lebih banyak membantu.. Saya percaya  kalau setakat  tajaan itu membawa kepada juara Piala Malaysia tetapi sekiranya disalurkan kepada yayasan pendidikan dalam masa 20 tahun misalnya jumlah wang itu mampu melahirkan  banyak profesional Melayu yang bertaraf antarabangsa.

Tentu ada yang berkata,  untuk apa menubuhkan yayasan pendidikan kerana  media tidak akan memberikan tumpuan seperti menaja pasukan bola sepak.  Saya akui hakikat ini dan sebab itulah sesetengah pihak dalam industri media perlu melakukan anjakan paradigma supaya memberikan banyak tumpuan atau publisiti kepada  perkara yang boleh memajukan bangsa dan mengurangkan  yang menjurus kepada melemahkannya. Media mesti membentuk  anjakan pemikiran masyarakat,  mengalihkan daripada suatu yang tidak membina bangsa kepada suatu yang membina. 

Dalam penguasaan orang Melayu dalam ekuiti yang tidak sepadan dengan usia kemerdekaan yang orang Melayu perjuangkan,  takkan kita masih  mahu  terus menidurkan orang Melayu dengan isu  tajaan bola sepak.  Kalau nak taja, tajalah. Saya fikir kita tidak wajar ikut terbius dengan keseronokan yang sementara itu. Ketika orang Melayu menjadi pencandu bola sepak dan memenuhi semua stadium, di mana orang Cina?   Ini menunjukkan  di luar mimpi,  kuasa ekonomi dipegang oleh Cina  dan Melayu hanya  terpesona dengan  bola  itupun bola yang hampir kempis.

Saya ingin memohon maaf kepada rakan-rakan di gerai mamak atau kafe kerana saya tidak teruja untuk menyampuk apabila mereka bercerita tentang jana  RM16 juta. Saya bukan marah tetapi saya fikir sumbangan saya kepada bangsa terlalu kecil.  Jadi tak wajarlah saya bincang hal-hal tauke bedak pemutih taja bola sepak.  Maknanya masa berbual pun perlu dimanfaatkan kepada perkara-perkara yang berfaedah. Apa lagi dalam keadaan  bangsa  kita yang semakin terundur di belakang. Kini datang pula satu bala kepada orang Melayu apabila keterujaan isu bola sepak  membayangi realiti pedih yang mereka hadapi. Bila lagi Melayu hendak berubah?



1 comment:

  1. Tahniah tuan, saya sangat setuju.

    ReplyDelete