Friday, January 15, 2016

Siapa yang mengarahkan adakan program ulang tahun ke 40 kepulangan Razak?


Seingat saya kita tidak pernah menganjurkan program sedemikian besar untuk memperingati kepulangan Perdana Menteri kedua, Razak Hussein  seperti yang ke 40 tahun baru-baru ini.  Tidak ada pula program besar-besaran sempena tahun ke 20 atau tahun ke 30.  Tetapi kenapa ke 40 sangat menonjol hingga diadakan seminar dan segala bagai?

Jujurkah mereka yang terlibat dengan penganjuran program memperingati  kepulangan Razak ke 40 tahun ini?  Kalau mereka berkerja atau membuat kerja dengan menganjurkan program ini tidak jujur,  kita mahu gelarkan mereka ini sebagai manusia jenis apa?  Bagi saya sangat baik kita memperingati pemimpin.  Tetapi kenapa sebelum ini tidak disambut seperti tahun ini?

Adakah ini kerana faktor Najib sebagai Perdana Menteri ketika ini?  Masa ulang tahun ke 20 atau ke 30,  Najib belum menjadi Perdana Menteri maka  penganjur yang bermuka-muka itu pun  tidak menganujurkan kerana Najib bukan Perdana Menteri.  Tahun ini kerana Najib menjadi Perdana Menteri maka dianjurkan segala macam program memperingati bapa Najib.

Saya fikir mereka ini tidak jujur, mereka membuat sesuatu kerana ada alasan lain bukan  secara jujur  memperingati Razak.  Adakah  mereka tidak malu dengan  ketidakjujuran yang mendasar dalam diri mereka?   Atau  adakah Najib yang mengarahkan ulang tahun ke 40 dibuat secara gilang gemilang kerana dia yang berkuasa ketika ini?

Kita jangan menyanjung Razak kerana Najib.  Razak telah kembali ke rahmatullah 40 tahun lalu tetapi baru kali ini program memperingati Razak diadakan secara besar-besaran. Bagi saya Razak jauh lebih besar malah tidak wajar dibandingkan dengan Najib dalam apa segi sekalipun.  Maka sepatutnya  memperingati Razak tidak perlu menunggu  Najib menjadi Perdana Menteri. Itu pun kalau "kita"  bukan pengampu  yang beriya-iya  menjulang kembali Razak ketika ini.

Dalam soal ini saya melihat  Tokoh Wartawan Negara,  Zainuddin Maidin (Zam) jauh lebih jujur daripada sebahagia besar mereka yang terlibat dalam menjulang semula Razak ketika ini.  Lebih kurang sepuluh tahun lalu Zam menulis buku  Jejak Patriot yang memfokuskan  perjuangan Razak membangunkan bangsa dan negara.

Zam menulis buku ini bukan kerana hendak mengampu Najib kerana ketika itu  Najib  adalah menteri Kabinet biasa dan belum ada bayangan akan menjadi Perdana Menteri.  Zam  adalah wartawan semasa  Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.  Malah ketika ini  Zam tetap menyanjung tinggi Razak tetapi pada masa sama menjadi pengkritik tegar kepada Najib. 


No comments:

Post a Comment