Thursday, January 14, 2016

Siapa panel pilih Pantai Kasih?

TERKINI:

Tokoh sastera yang juga seorang ahli akademik,  Rahman Shaari  berkata kepada Berita Harian bahawa guru-guru yang mengajar Komsas  perlu  menggunakan pendekatan psikologi terbalik untuk menjadikan yang lucah sebagai tidak lucah. Jadi,  Pantai Kasih yang ada unsur-unsur lucah, menurut Rahman perlu disampaikan sebaliknya.

Kalau begitulah caranya,  selepas ini bolehlah Kementerian Pendidikan memilih novel lucah kerana apabila menggunakan psikologi  terbalik ia menjadi tidak lucah, memetik kata Rahman Shaari. Mudahnya. Kalau orang kata lucah,  kita salahkan balik orang itu dengan berkata, "Itu salah awak kerana tidak membaca terbalik".

Saya tidak menolak syor Rahman tetapi persoalannya kena memilih jalan susah memilih novel yang ada unsur-unsur lucah kemudian memaksa guru pula untuk menterbalikkan  menjadi tidak lucah?  Bukanlah  lebih baik kalau dari awal lagi memilih  yang bersih daripada unsur-unsur itu?  Adakah  saranan Rahman ini boleh dianggap sebagai  daging yang busuk tetapi sayang untuk dibuang lalu dibasuh untuk menghilangkan kebusukannya dan dimakan?  Adakah Rahman mahu menyelamatkan novel ini yang kemungkinan dikeluarkan dari Komsas?

Pada pengamatan saya Azmah Nordin bukanlah penulis novel picisan seperti  yang berlambak di pasaran.  Azmah Nordin dalam kelas lain cuma  novel ini sahaja yang  agak erotik.  Soalnya kenapa  Azmah Nordin sendiri  tidak menolak apabila novel ini dipilih menjadi teks Komsas?  Kalau Azmah Nordin jujur dengan karyanya, saya pasti dia akan berbuat demikian sekalipun akan kehilangan beratus ribu ringgit hasil royalti.


Posting asal:


Novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin telah mencetuskan kontroversi di media sosial dan kini menjadi tumpuan di media arus perdana kerana dikatakan mengandungi  unsur-unsur lucah yang tidak sesuai  untuk bacaan dan kajian pelajar.  Novel ini  antara karya sastera yang  menjadi teks Komsas Tingkatan Empat.

Berdasarkan beberapa petikan yang terdapat di media sosial,  siapa pun akan bersetuju bahawa hanya panel yang bernaluri lucah sahaja yang menganggap  novel ini sebuah karya sastera untuk menerapkan pengajaran kepada pelajar.  Soalnya siapakah yang menjadi panel memilih novel ini?

Akhbar Berita Harian hari ini misalnya memuatkan pandangan daripada beberapa pensyarah dan guru  yang sudah membaca novel ini dan menganggap tindakan  panel yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan boleh merosakkan  akhlak pelajar dalam jangka masa panjang.  Hakikatnya  kita tidak ketandusan  novel-novel yang  baik, sama ada nilai estetika sastera atau kandungan moral  serta pemikiran tetapi kenapa novel Pantai Kasih yang dipilih?

Selepas Kementerian Pendidikan  tunduk kepada desakan segelintir dalam kalangan masyarakat India yang menganggap novel Interlok karya Abdullah Hussein  menghina orang India,  adakah Kementerian Pendidikan  tidak mahu tunduk kepada desakan orang Melayu sendiri  supaya  mengeluarkan Pantai Kasih daripada Komsas?

Apakah  rasionalnya  memilih  Pantai Kasih yang dalamnya ada unsur-unsur lucah ( seperti yang dibangkitkan oleh banyak pihak)  selepas beberapa tahun lalu  panel Kementerian Pendidikan membatalkan pemilihan  novel Cinta Madinah  karya Abu Hassan Murad?   Adakah Cinta Madinah lebih lucah berbanding  Pantai Kasih?

Selepas ini supaya pemilihan lebih telus,  umumkan sahaja barisan panel yang diberi tanggungjawab memilih novel  Komsas. Apa hendak dibimbangkan kalau pemilihan dibuat dengan tepat.  Tetapi beberapa petikan yang menjadi viral di media sosial  daripada novel Pantai Kasih tentulah membuatkan kita tertanya-tanya siapakah panel  yang sangat tidak layak itu?

Kalau Kementerian Pendidikan tidak serius memilih panel yang berwibawa,   saya ingin mencadangkan  untuk tahun depan eloklah pilih novel  seperti Cinta Si Wedding Planner,  Playboy Itu Suami Aku, Love You Mr Arrogant dan banyak lagi yang dijadikan drama televisyen.



1 comment:

  1. Kalau Kementerian Pendidikan tidak serius memilih panel yang berwibawa, saya ingin mencadangkan untuk tahun depan eloklah pilih novel seperti Cinta Si Wedding Planner, Playboy Itu Suami Aku, Love You Mr Arrogant dan banyak lagi yang dijadikan drama televisyen.....

    kalau tak der gak cari la novel-novel indon yang jadi drama kat tv 3 tu...sinetron...hehehehehehe

    ReplyDelete