Tuesday, January 12, 2016

Rakyat diperbodohkan dalam isu bauksit

Banyak yang tidak sedar ada main wayang dalam isu bauksit.  Isu ini telah dialih tumpuan kepada hal-hal lain daripada isu utama yang menjadi masalah kepada rakyat.  Cuba perhatikan,  mula-mula isu bauksit bukanlah pelombong haram atau halal. Isunya  pencemaran yang sangat  teruk kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

Ini isu bauksit yang sebenar.  Tetapi kerana menjaga kepentingan pihak tertentu,  isu ini beralih kepada wujudnya pelombong haram dan SPRM juga ikut main wayang apabila menahan  beberapa kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Pahang (PTG)  di atas dakwaan mengeluarkan lesen palsu. Dari lesen palsu ini wujud pelombong haram.

Dalam soal ini rakyat telah diperbodohkan oleh tindakan-tindakan  yang seolah-olah isu bauksit adalah pelombong haram dan penyelewengan  di PTG Pahang.  Rakyat jangan menelan bulat-bulat propaganda kerajaan untuk  menutup  isu sebenar bauksit kerana  sama ada pelombong haran atau halal,  melombong bauksit tetap memberi kesengsaraan kepada rakyat.

Faktanya, pelombong haram hanya segelintir sementara yang lain adalah pelombong halal yang diberi lesen oleh kerajaan.  Sepatutnya  SPRM  turut menyiasat  pihak  yang memainkan peranan mempertahankan perlombongan bauksit di Pahang.  SPRM jangan membiarkan agensi ini dipergunakan untuk menutup isu sebenar bauksit  yang seolah-olah tidak boleh disentuh.

Nampaknya berterusanlah rakyat dipermain-mainkan dan dijadikan mangsa kerakusan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.  Kemudian rakyat diperbodohkan  selepas   penduduk setempat melaporkan fenomena ikan mati di sungai  dalam keadaan luar biasa apabila Jabatan Perikanan Negeri menganggap ikan mati perkara biasa.

Semua orang tahu bahawa ikan mati perkara biasa tetapi yang luar biasa adalah dalam jumlah yang besar dan kalau benar fenomena biasa kepada penduduk setempat menganggap luar biasa?  Nasib baik Jabatan Perikanan tidak berkata,   ikan di pasar pun mati,  tidak ada masalah pun.

Rakyat wajar ambil peringatan bahawa dalam apa keadaan sekalipun sudah tidak siapa yang akan melindungi kepentingan dan kehidupan mereka.  Walaupun  mereka tenggelam dalam debu merah, percayalah pihak-pihak tertentu terus membuat lawak bodoh   bagi menjawab pertanyaan wartawan. Inilah yang dikatakan rakyat didahulukan.  Rakyat didahulukan menerima kesengsaraan.


3 comments:

  1. Staf bawahan organisasi MESTI turut apa saja perintah pihak pengurusan organisasi tersebut.

    Nampaknya perkara yang sama berlaku dijabatan-jabatan kerajaan. Lebih teruk lagi jabatan dibawah kementerian berbeza nampaknya seperti telah berpakat dengan mengalih persepsi kearah perkara lain.

    Jikalah SPRM PDRM ATM semua diletakkan dibawah kuasa majlis raja-raja, pasti orang-orang politik tidak berani angkat jari beri arahan kepada bos agensi-agensi tersebut.

    Harapan je lah

    ReplyDelete
  2. 1. Ada yang berpandangan situasi yang berlaku di Malaysia masa kini agak sama dengan Korea Utara atau Iran. Rakyat tidak mempunyai kuasa untuk mempertikaikan apa jua tindakan kerajaan. Mereka hanya perlu menuruti apa jua tindakan pemerintah.

    2. Dalam isu bauksit, adakah undang-undang sedia ada telah dipatuhi? Adakah kajian kesan alam sekitar dilaksanakan sebelum lesen dikeluarkan? Adakah diwujudkan peraturan atau SOP bagaimana perlombongan, pengangkutan dan pemprosesan bahan tersebut yang perlu dilaksanakan?

    3. Adalah hanya kerana kerajaan negeri atau pemimpin politik yang mempunyai kepentingan dalam industri tersebut maka semua peraturan, undang-undang dan SOP tersebut dilongkangkan.

    4. Rakyat bukan sahaja diperbodohkan malah dilongkangkan oleh pemimpin politik yang sepatutnya memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.

    ReplyDelete
  3. Nak buek macam manooo... takat lu taraf rakyat Malaysia, sonang kona kencing dan lagi pak anguk.

    Ini taraf rakyat negara maju. Tak lamo dooohhh, 4-5 tahun jo lagi. Nanti 2020, bertambah 'cerdik' la rakyat Malaysia niii haaaaaa....

    ReplyDelete