Tuesday, January 12, 2016

Raja Nazrin menginsafkan saya

“Pengolahan berita yang keterlaluan memihak, memutihkan yang hitam dan menghitamkan yang putih, tidak memberi manfaat, bersifat counter productive, dan jika dilakukan secara keterlaluan oleh institusi media rasmi negara, dibimbangkan perbuatan sedemikian, pada akhirnya semakin memisahkan rakyat dengan kerajaan. Pengarang Timothy B. Tyson, pemegang “Grawemeyer Award 2006, mengingatkan “If there is to be reconcilliation, first there must be truth”.  

Oleh itu, laporan yang menjunjung prinsip kebenaran, keadilan, ketepatan dan kesahihan adalah penentu kepada kredibiliti dan integriti institusi media.

Bahawa fakta yang tepat itu suci sifatnya - murni kandungannya, dan institusi media wajib berpegang kepada prinsip kebenaran yang kudus; sementara para petugas pula menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan hati dan iman yang penuh takwa, insaf, bahawa setiap perkataan, setiap perbuatan di dunia ini, akan dinilai oleh Allah SWT pada hari pengadilan nanti.”

Di atas adalah petikan titah ucapan  Sultan Perak, Raja Nazrin di Ipoh baru-baru ini.  Saya fikir semua  peneraju organisasi media,  editor dan  wartawan  negara ini wajib menghayati saranan Raja Nazrin  supaya wartawan dan kewartawanan dihormati kerana prinsip kebenaran yakni tidak memihak  menjaga kepentingan kelompok atau individu tertentu (bukan atas alasan kebenaran tetapi alasan politik).

Bagi saya,  ucapan Raja Nazrin sangat menginsafkan.  Bagaimanapun setakat ini saya boleh bersyukur kerana tidak pernah “memutihkan yang hitam”  demi menjaga kepentingan politik pihak tertentu  yang bertenggek di atas hujah lapuk kononnya  mereka  berjuang demi kepentingan Melayu dan Islam.  Kalau hitam saya akan katakan hitam,  begitu juga kalau sebaliknya.

Tidak ada ertinya  hebat menjadi  wartawan  kalau  prinsip asasnya untuk kepentingan umum  tidak dipegang sebaliknya berkerja untuk sekelompok kecil dan individu tertentu. Tidak perlu belajar di universiti untuk memahami prinsip kebenaran. Ia timbul  berpandukan tujuan apa untuk menjadi wartawan.  Memang benar  wartawan antara golongan profesional yang berpengaruh. Kalau  pelukis boleh menukarkan warna laut  di atas kanvas,  wartawan yang boleh menukarnya  dengan keupayaan mencipta persepsi. Akhirnya  seperti kata Raja Nazrin  yang  hitam diputihkan dan yang putih dihitamkan.

Bagaimanapun  semua  keupayaan itu akhirnya tidak ada nilai  apabila  kita tidak berkerja  demi  kesejahteraan rakyat tetapi  sekadar  menyambung nyawa  politik pihak tertentu.  Orang bijaksana  kerap mengingatkan, pena lebih tajam daripada mata pedang. 

Sangat  benar. Maka bayangkan kalau pedang itu kita  gunakan untuk memancung mangsa yang tidak sepatutnya.  Kemuliaan pendekar adalah menewaskan musuh rakyat,   bukannya musuh peribadi.  Kemuliaan wartawan  adalah berjuang untuk rakyat bukan untuk kesenangan  diri. Ia berbalik kepada siapa yang menggunakan pedang itu,  

Wartawan pada prinsipnya adalah  golongan yang mempunyai pemikiran. Tetapi bayangkan alangkah  hinanya kalau pemikiran itu tidak digunakan  sebaliknya  apabila membiarkan  golongan tertentu mencucuk hidung.  Wartawan yang sedemikian tentulah tidak ada bezanya dengan  pengiklan yang menulis untuk orang mempercayai kehebatan sesuatu barangan yang dia sendiri meraguinya.

Kalau ada pihak yang cuba memperbodohkan wartawan dengan berkata bahawa bulan berwarna biru,  biarlah  kelompok yang dungu  sahaja yang mempercayai  atau pura-pura percaya kemudian  menjaja kebodohan itu kepada orang lain.  Wartawan tidak sepatutnya  bersekutu dengan pembohongan kerana prinsip wartawan seperti kata Raja Nazrin adalah kebenaran.

Raja Nazrin telah menambahkan lagi keinsafan saya bahawa dalam  setiap penulisan  saya memastikan tidak dirasuk oleh faktor-faktor material atau kedudukan  dengan  mengabaikan fakta sesuatu yang hitam tetapi dikatakan putih.  Dalam konteks ini benarlah kata  Sasterawan Negara A. Samad Said dalam  novel Hujan Pagi,  wartawan sejati bukan sahaja makan gaji tetapi juga terpaksa makan hati.

Maka  pihak yang berkuasa ke atas media dan wartawan jangan abaikan peringatan Raja Nazrin bahawa,   “Era pihak berkuasa merasakan mereka mengetahui semua sudah berakhir. Era institusi penyiaran milik negara berada di puncak tertinggi telah sampai ke ruang senja. Malah trend semakin menunjukkan bahawa kredibiliti agensi media dan komunikasi milik negara semakin sehari semakin dipertikaikan. Kini media baru bukan sahaja semakin berada di pentas utama malah semakin memperlihatkan peranan mencanai minda dan mempengaruhi pendirian warga di serata dunia.”


2 comments:

  1. Salam,

    Tepat, kemuliaan wartawan adalah yang menyatakan kebenaran dan membongkar hakikat.

    Kemuliaan wartawan adalah demi kebajikan rakyat berpaksikan hakikat bukannya memburu pangkat darjat duniawi.
    Umpama ahli politik yang ditentukan oleh undi, penerima terhadap wartawan adalah berapa banyak akhbar yang dibeli.

    ReplyDelete
  2. Salam

    Wartawan umpama obor yang menerangi malam yang gelap gelita.

    "Obor" itu bermacam rupa dan jenis...waspada kepada obor yang boleh membakar diri dan pengikutnya.

    ReplyDelete