Wednesday, January 27, 2016

Najib mesti bersih diri di mahkamah


Mahkamah adalah tempat untuk seseorang itu membersihkan diri dan mendapatkan keadilan ,  tidak kiralah tuduhan kecil atau besar.  Sebab itulah sesetengah pihak lebih rela disaman supaya mahkamah dapat membuat keputusan adil ,  walaupun  tidak semestinya  pihak yang  disaman  akan menang.

Seorang pencuri ayam pun dihadapkan ke mahkamah  walaupun ada orang nampak memang benar dia mencuri ayam. Ini kerana mahkamah bukanlah tempat untuk menghukum sebaliknya tempat untuk yang teraniaya, seperti Perdana Menteri, Najib bin Razak  yang menerima derma RM2.6 bilion.

Sebab itulah banyak pihak mahu Najib menyaman akhbar The Wall Street Journal yang dikatakan "memfitnah"  Najib dalam isu derma RM2.6 bilion dan  skandal 1MDB.  Tetapi malangnya  hingga hari ini sudah berapa kali "Selasa"  Najib  tidak juga  menyaman The Wall Street Journal.  Tunggu apa lagi, saman saja.  Akhbar "fitnah"  mesti disaman.

Dalam isu  derma RM2.6 bilion, kita mesti berlaku adil kepada Najib yang telah dianggap telah melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya oleh seorang Perdana Menteri.  Kita berbaik sangka sahaja dan menganggap Najib teraniaya.  Tanggapan buruk sesetengah pihak terhadap Najib hanya akan terhapus sekiranya mahkamah yang mendapati  seorang penjawat awam adalah tidak bersalah menerima derma peribadi.

Najib jangan terlalu gembira dan lega hanya kerana diputuskan oleh Peguam Negara (tanpa melalui mahkamah) bahawa dia tidak bersalah. Jangan mudah hendak padam atau meminta rakyat melupakan. Mana boleh bro. Tambahan pula Peguam Negara ini dilantik secara tergesa-gesa ketika isu 1MDB dan RM2.6 bilion  meledak. 

Saya percaya Najib akan dilihat lebih bersih dan amanah sekiranya kes menerima derma RM2.6 bilion  dibawa ke mahkamah dan Najib didapati tidak bersalah,  berbanding keputusan yang sangat mencurigakan oleh Peguam Negara.  Saya tidak fikir Najib takut ke mahkamah kerana dia tidak bersalah. Bukanlah Peguam Negara kata dia tidak bersalah?

Kenapa kita (bukan saya) menganiaya Najib sedemikian rupa dengan  tidak memberi peluang kepada dia membuktikan tidak bersalah di mahkamah?  Ini tidak adil.  Maka,  Najib mesti dibawa ke mahkamah supaya dia  dapat membersihkan diri  melalui sistem kehakiman yang terbukti integritinya.

Pada masa sama, ini juga untuk adil kepada rakyat marhaen yang dituduh  rasuah  tetapi tidak mampu untuk menbayar peguam yang hebat untuk mendapatkan keadilan.  Najib tidak akan menghadapi masalah mendapatkan khidmat peguam terhebat untuk membuktikan dia memang tidak bersalah.


1 comment: