Sunday, January 24, 2016

Elak membazir, kurangkan makhluk bertaraf Menteri


ANEKDOT AHAD 24 JAN 16

Perdana Menteri, Najib bin Razak akan membentangkan pengubahsuaian Belanjawan 2016 pada 28 Januari ini.  Pengubahsuaian belanjawan ini dibuat berikutan keadaan ekonomi yang  tidak stabil dan harga minyak turun ke paras paling rendah dalam sejarah iaitu AS$25 setong.

Pengubahsuaian belanjawan ini juga  dijangka akan melibatkan banyak belanja yang akan disalurkan kepada semua kementerian akan dikurangkan, ini  bermakna program yang diwujudkan bertujuan membantu rakyat  juga  kemungkinan akan berhadapan dengan pengurangan.

Pengubahsuaian Belanjawan ini memang baik tetapi rakyat juga hendak tahu  apakah yang  dijimatkan daripada belanjawan baharu tersebut?  Adakah pengubahsuaian itu hanya melibatkan peruntukan untuk pembangunan untuk rakyat tetapi  pada masa sama  sikap  boros  kerajaan  tidak berubah?

Malah perkara yang penting diberitahu kepada rakyat apakah pengubahsuaian belanjawan ini untuk memastikan kos sara hidup  kerajaan tidak terjejas dengan memotong beberapa peruntukkan yang sepatutnya disalurkan  untuk membangunkan rakyat?

Petronas  telah lebih awal membuah pengubahsuaian belanjawan sebagai menghadapi  harga minyak yang menjunam  paling teruk dalam sejarah.  Petronas telah membuat tindakan drastik mengurangkan  belanja operasi sebanyak RM50 bilion tahun ini.

Pada masa yang sama Petronas bukan sekadar mengurangkan belanja operasi malah   gaji pengurusan kanan dipotong sebanyak 20 hingga 30 peratus.  Ini satu contoh yang baik,  hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.  Adakah dalam pengubahsuaian belanjawan ini  Perdana Menteri akan mengumumkan pemotongan elaun  Menteri dan Timbalan Menteri  serta pegawai kanan kerajaan gred  JUSA A ke atas?

Malah Perdana Menteri juga wajar menunjukkan teladan dan berjiwa rakyat dengan mengurangkan  urusan  ke luar negara untuk urusan yang tidak penting.  Pilihlah yang paling penting dan bukannya lebih kepada lawatan yang membawa rombongan yang elaun mereka dibayar hasil cukai oleh rakyat.

Sekiranya Perdana Menteri ikhlas melakukan pengubahsuaian belanjawan demi rakyat,  perkara pertama dan paling mudah dilakukan ialah mengecilkan jumlah Menteri.  Sekarang ini  Malaysia  "beruntung"  kerana berada pada tangga pertama negara yang mempunyai Menteri Kabinet paling banyak iaitu  36 orang termasuk 10 orang di selain  penasihat dan duta bertaraf Menteri. Maknanya kawan, rakan dan juak-juak semuanya bertaraf Menteri.

Misalnya bekas Ahli Parlimen  Lembah Pantai, Shahrizat  Jalil yang tewas  dalam pilihan raya umum  dilantik sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita padahal sudah ada kementerian yang menjaga hal ehwal wanita.   Rakyat tertanya-tanya apakah tugas besar yang boleh dilakukan oleh Sharizat? Adakah  Shahrizat  berada di atas Menteri yang menjaga hal ehwal wanita dan keluarga?
 Begitu juga dengan bekas  Menteri  dan Presiden MIC, Samy Vellu sebagai  Duta Khas ke India dan Asia Selatan yang masih bertaraf Menteri , padahal  kita sudah ada  Kementerian Perdagangan Antarabangsa  Industri (MITI).

Tidak cukup itu , Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar yang juga bertaraf Menteri.   Apakah signifikannya  Pengerusi Perhubungan UMNO negeri bertaraf Menteri?  Dan kenapa hanya  Noh Omar?

Bayangkan berapa banyak wang yang dikutip dari cukai yang dibayar oleh rakyat  digunakan untuk menampung  belanja gaji, elaun dan sebagainya untuk mereka yang dilantik ke jawatan  bertaraf Menteri?  Sebahagian besarnya sama sekali tidak perlu dilantik sebagai penasihat bertaraf Menteri, salah satunya bertindih dengan Menteri yang menerajui kementerian tertentu.

Sebenarnya  36  pemimpim  UMNO yang dilantik ke jawatan  Menteri atau bertaraf Menteri  dilihat lebih kepada untuk dianugerahkan kepada kawan-kawan  yang bertujuan memperkukuhkan kedudukan politik Perdana Menteri.  Tetapi masalahnya ini melibatkan belanja yang besar di mana tujuannya untuk kelestarian politik  Perdana Menteri.

Begitu juga dengan 10 Menteri di JPM,  sudah tentulah rakyat tertanya-tanya apakah tugas yang dilakukan oleh Menteri ?  Bayangkan  jumlah Menteri di JPM  hampir separuh jumlah Menteri Kabinet.

Cuba kita bandingkan dengan negara luar,  United Kingdom misalnya hanya ada 21 Menteri   Kabinet,  Jerman (17 Menteri Kabinet), Perancis (15 Menteri Kabinet).  Di negara-negara berkenaan tidak ada Menteri di  JPM, Penasihat atau Duta yang bertaraf Menteri.   Ironiknya  dengan  jumlah Menteri yang kecil  tidak pula meletakkan negara berkenaan berada di bawah  kedudukan Malaysia dari segi kemajuan, pembangunan dan ekonomi.

Jumlah  bertaraf Menteri yang  banyak memperlihatkan kerajaan  tidak endah kepada  pembaziran yang tujuannya untuk kelestarian politik pihak tertentu dan bukannya untuk menyumbang kepada rakyat. 

Kalau benar Najib jujur melakukan pengubahsuaian belanjawan kerana prihatin kepada nasib rakyat terutama golongan berpendapatan rendah,  dia mesti membuat  tindakan drastik mengecil jumlah makhluk yang bertaraf Menteri.  Malah kecilkan  jumlah Menteri Kabinet kepada angka yang munasabah. Ini untuk mengelakkan  Menteri Kabinet tidak  menjadi  "penjaga kabinet"  kerana tidak ada kerja yang hendak dibuat.






No comments:

Post a Comment