Saturday, January 30, 2016

Drama Pasca 26 Januari: Skrip hancur


ANEKDOT AHAD 31 JAN 16

Kalau skripnya baik,  jalan cerita bagus,  sebab musabab boleh dipercayai dan watak-watak yang dibina  menyakinkan, kalau dikatakan bulan  berwarna biru pun orang boleh percaya.  Sebab itu di Barat diadakan sesi membedah skrip (lakon layar)  sebelum difilemkan. Supaya mana-mana bahagian yang menimbulkan persoalan dijawab terlebih dulu dalam skrip.

Contohnya macam skrip drama Pasca 26 Januari.  Skrip teruk sangat.  Jalan cerita entah apa-apa, boleh pening dibuatnya. Hakikatnya inilah yang berlaku dalam  drama yang sedang dimainkan oleh Najib Razak, Apandi  Ali dan Zahid Hamidi.  Drama boleh ditamatkan dengan pelbagai cara.  Cuma penamat yang tergantung dan watak antagonis terlepas  hukuman yang kurang disukai.  Kalau di India,  panggung yang tayang filem tidak ditamatkan dengan memuaskan atau crook terlepas dari hukuman,  panggung itu akan dibakar.  Kalau pelakon crook ada  di situ mereka akan bakar bersama-sama panggung.

Sekarang ini  hendak kata macammana sekalipun orang sudah tidak percaya kepada ketiga-tiga pelakon utama itu,  diikuti oleh pelakon-pelakon pembantu yang membuatkan skrip menjadi kacau bilau.  Dialog watak-watak tak konsisten dan inilah yang memburaikan semua yang cuba diselindungkan daripada penonton.

Kononnya drama ini hendak dijadikan suspen thriller,  derma RM2.6 bilion pada awalnya dikatakan hanya tohmah puak pembangkang.  Tetapi apabila The Wall Street Journal membuat pendedahan, tohmah bertukar jadi pengakuan. Ditambah pula dialog oleh puak-puak pemakan dedak yang tiba-tiba mengaku derma itu untuk parti mereka.

Plot begini sangat susah untuk ditamatkan cerita.  Lepas itu dikatakan pula untuk belanja PRU 13.  Ini sekali lagi tak ikut skrip yang sepatutnya.  Skrip asal kata,  belanja  kempen pilihan raya umum ada hadnya.  Kalau lebih had,  keputusan boleh jadi tidak sah.  Maka diciptakan dialog baharu,  "bukan semua diambilnya derma itu,  hanya sedikit sahaja. Selebihnya dipulangkan kepada pemberi."

Penonton drama  bukan semuanya dalam kalangan pemakan dedak.  Malah mereka juga bukan berfikir lurus macam sesetengah wartawan yang menerima tanpa berfikir  dialog-dialog yang dimuntahkan oleh ketiga-tiga watak penting ini.  Penonton  drama pasca 26 Januari mempunyai pemikiran yang sangat kritis, sebab itu mereka sudah  menyampah dengan plot  drama ini.  

Mereka sudah menjangka dialog ini (memulangkan  baki derma)  sengaja ditulis untuk selarikan jumlah belanja kempen pilihan raya yang dibenarkan oleh SPR.  Tetapi kalau drama ini mendapat sentuhan pengarah yang hebat,  sudah tentu dia akan membuat syot close up  penyata bank yang membuktikan baki derma itu dipulangkan. Tetapi maaf cakaplah, pengarah drama ini pun ling long.  Kalau diberi kepada TV3 pun awal-awal lagi ditolak.

Sekarang ini watak Zahid  senyap seketika, mungkin sedang menulis dialog baharu untuk selarikan dengan perkembangan semasa.  Dulu watak Zahid sepatah haram tidak sebut  sebahagian derma itu dipulangkan,  dia cuma kata sudah berjumpa dengan pemberi derma. 

Tetapi dialog yang dituturkan oleh Zahid sebenarnya tersalah tulis.  Pemberi derma seperti yang dilaporkan oleh BBC London, adalah Raja Abdullah.  Kalau diteliti  berita  Zahid membaca dialog dia berjumpa dengan pemberi derma (tidak disebut Raja Abdullah) pada Ogos 2015. Raja Abdullah telah meninggal dunia pada Januari 2015.  Alih alih watak Zahid pun bertuturlah bahawa isu derma sudah selesai. Ini betul-betul wayang.

Akhirnya penamat belum ada tetapi penonton sudah membuat penamat sendiri iaitu  watak Apandi berjasa kepada Najib kerana telah "membersihkan"  Najib dan tidak ada mahkamah yang boleh mencabar keputusan Apandi.  Inilah yang dikatakan oleh orang yang arif undang-undang.  Penonton pun segera berfikir,  drama ini menjadi berbeza kalau watak Apandi ditukar kepada Gani.

Penonton pun cuba ingat-ingat semula tragedi  Najib memecat (bahasa lembut ialah menamatkan) Gani,  Peguam Negara itu hanya ada tiga bulan sahaja lagi kontraknya.  Tetapi tiga bulan boleh jadi macam-macam.  Cuba ingatkan balik apa yang dilakukan dalam masa tiga bulan itu?   Takkan sudah lupa pegawai kanan SPRM  yang  siasat 1MDB kena tukar ke JPM,  penonton bising memprotes,  dua tiga hari di JPM ditukarkan balik ke SPRM.  Ini boleh jadi drama komedi yang kelakar gila.

Drama ini telah memaksa penonton  menerima plot yang caca marba  akibat skrip yang hancur.  Apabila watak Apandi berkata, "tidak ada kes"  penonton pun bertepuk tangan sambil berkata, "kalau benar tak ada kes bawalah ke mahkamah."

Kesimpulannya, pada zaman penonton kita sudah bijak,  mereka membaca banyak sumber untuk mendapat maklumat, pemikiran pun sudah luas dan susah hendak dikelentong.  Kalau ada pihak yang masih menganggap penonton kita masih dungu, bahlol, bingai,  bangang dan macam lembu dicucuk hidung, mereka adalah dalam kalangan  orang-orang  yang membuat kesilapan besar.


7 comments:

  1. Hahaha....paling kelakar 'sy sudah berjumpa dengan penderma penderma'. Bila dinamakan hanya satu penderma dan sudah pun arwah. Checkmate!

    ReplyDelete
  2. Difference is, its not a 'screen play', its damning daylight 'highway robbery' only to be cover-up with very very much WEAK bloody excuses, spinnings, lies, trappings, amends, smoke-screens and/or whatever tricks in the book they can employ!

    The World is such a small place in terms of wired-world and bugis and his stooges are still hallucinating that they could still get away with it?

    It may have taken 15 or more long years but Anwar still do end up in the slammer! Najib and his lackeys, a lifetime even, these people will face the consequences of their own doings, its nobody's fault that even when you're born into a family of prestige, the son of a former respectable PM such as Tun Razak does not guarantee he'll walk in a straight path, period!

    Melayu Luar Negara - MLN

    ReplyDelete
  3. dah 3 blog fav sy kena sekat....blog tuan jugak ader potensi nyer...termasuk jugak blog shahbudin dan kadir jasin..kalau kena sekat jugak...sy nak baca blog mana lg huhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Blog2 berkenaan masih blh dibaca dengan menukar .my kpd .sg atau .id misalnya. Teruskan perjuangan.

      Delete
  4. Sekarang mereka dah jadi tuhan, kuasa di tangan mereka. Hakikatnya mereka bukan tuhan. Mereka boleh menyekat saya menulis tentang kebenaran, mereka boleh ugut supaya saya dipecat tetapi kebenaran tidak ada tarikh luput. Saya bukan wartawan pamplet untuk menulis yang membela mereka dan memperbodohkan rakyat.

    ReplyDelete
  5. 1. Tahniah Saudara KS. Inilah sikap dan nilai yang perlu ada pada wartawan negara. Malangnya hanya segelintir yang sedemikian. Ramai yang lebih rela menguburkan prisip dan nilai kemanusiaan hanya untuk secebis habuan di dunia.

    2. Drama 2.6 billion dan 1MDB masih belum berakhir. Biarkan la mereka bertindak bagaikan tuhan di dunia namun tiada yang dapat mengatasi kuasa Allah. Mereka hanya berkuasa di negara ini sahaja. Mampukah mereka menyekat aliran maklumat di negara luar. Semakin banyak mereka berdusta semakin terbongkar kebenarannya. Semakin banyak sekatan dan tekanan, semakin ramai yang mahu melihat pengakhirannya.

    3. Mereka yang sebenarkan pengkhianat bangsa dan negara. Apa yang akan berlaku kepada bangsa Melayu dan Malaysia selepas ini akan diingati oleh rakyat selamanya kerana sejarah tidak pernah berdusta. Anak cucu dan cicit mereka akan diingati sebagai warisan pengkhianatan ayah dan datuk mereka.

    ReplyDelete