Saturday, January 30, 2016

Bahri Zin, rakyat bersama anda

Walaupun dengan begitu mudah Peguam Negara, Apandi Ali memutuskan skandal derma RM2.6 bilion yang dimasuk dalam akaun peribadi Najib Razak,  tetapi sebenarnya telah  menelan banyak korban.  Pihak yang menjalankan siasatan siang dan malam adalah SPRM  atau lebih tepat lagi Pengarah Operasi Khas SPRM,  Bahri Zin.

Beliau adalah wira yang tidak didendang dalam membongkar skandal Perdana Menteri walaupun akhirnya Peguam Negara memutuskan Najib tidak bersalah dan menutup siasatan SPRM ke atas skandal derma  yang bukan sahaja memalukan Malaysia malah umat Islam.  Kerja keras Bahri dibalas dengan cemuhan oleh pencacai  Najib sebagai "orang pembangkang."

Semasa menjalankan siastaan kes profil tinggi yang melibatkan Perdana Menteri sebuah negara Islam,  Bahri  hampir menjadi korban apabila diarah pindah dengan kadar segera ke Jabatan Perdana Menteri (JPM)  sedangkan ketika itu beliau mengetuai siasatan skandal 1MDB.  Katakan apa lagi kalau bukan bertujuan untuk menghalang Bahri berkerja dengan jujur dengan menukarkan seorang yang arif dalam siasatan rasuah ke JPM?

Sekiranya pertukaran itu dibuat oleh pertimbangan profesional (bukan untuk mengacau  siasatan ke atas 1MDB)  kenapa  akhirnya Bahri dipulangkan ke SPRM selepas komplot  menghalang SPRM berkerja terburai dan rakyat bangkit bersuara?  Ini membuktikan pertukaran yang tidak masuk akal ke JPM dibuat semata-mata untuk menganggu kerja SPRM.

Jadi, apabila Bahri  memberi kenyataan kemungkinan besar akan merayu terhadap keputusan pelik Peguam Negara yang menutup kes itu,  beliau dilihat  bertentangan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamad.  Sekali lagi  Bahri akan dijadikan korban apabila puak-puak pro Najib  menganggap  Bahri sebagai penderhaka.

Semua orang yang tidak diserkup kepala mereka  yang kemudiannya dijamu  dengan dedak akan tahu perasaan  kecewa Bahri apabila kesungguhan untuk menegakkan kebenaran  akhirnya  dianggap pertualang.  Kini Bahri  berada dalam keadaan tidak selamat, bila-bila masa sahaja beliau boleh dimasukkan dalam peti ais, balasan kerana berkerja dengan penuh amanah.

Sebenarnya itulah harga yang perlu dibayar oleh pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas dengan amanah dan tidak mengharapkan pujian  kerana bersekongkol melanggar batas amanah demi kelangsungan politik pihak tertentu.  Kita percaya Bahri sudah bersedia berdepan dengan semua kemungkinan di negara  Islam yang memangsakan orang seperti Bahri.

1 comment:

  1. Balasan Allah di dunia lg. Sebenarnya ramai pegawai yg tsrtekan dan menjadi mangsa kerana nak memuaskan hawa nafsu penyamun sekelian. Yang membantah, tunggu nasib. Dulu ada kes pegawai diluar negara yg diarah utk cover perbelanjaan vip. Entah mana silap dah terkantoi. Kena panggil balik, gantung kerja. Keluarga susah dan malu. Vip tu buat tak tahu saja. Tapi Allah maha adil kan. Satu hari heli terhempas, vip mati. Kita tengoklN aje drama ini berakhir dimana.

    ReplyDelete