Saturday, December 12, 2015

UMNO tidak berpecah

Ternyata UMNO tidak berpecah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak.  Perhimpunan agung  yang ditutup dengan ucapan penggulungan oleh Presiden UMNO, Najib Razak  tidak memperlihatkan konflik dalaman UMNO  parah yang dibayangkan  selepas   Najib memecat Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan meghalang  daripada  memberikan ucapan  perasmian sayap  dan  penggulungan.

Walaupun UMNO dilihat tidak demokratik apabila buat pertama kali tahun ini menghalang Timbalan Presiden  daripada memberikan ucapan perasmian sayap parti dan penggulungan,  tidak ada  reaksi yang konfrontasi  terhadap Najib.  Malah Naib Presiden yang diketepikan, Shafie Apdal juga tidak memulaukan perhimpunan kali ini.

UMNO pada ketika ini tidak sampai ke tahap  konflik  seperti yang berlaku antara Dr. Mahathir dengan  Ku Li tahun 1987 hingga membawa kepada pengharaman UMNO.  Kali ini  gelombang sekadar dalam cawan sahaja.  Keadaan ini membuktikan dalam UMNO tidak ada pasukan A  dan pasukan B di mana masing-masing menonjolkan Dr. Mahathir dan Ku Li sebagai Presiden UMNO.

Kali ini UMNO hanya berkocak  disebabkan  isu integriti.  Malah  Muhyiddin  yang  bertanyakan Najib mengenai derma RM2.6 bilion serta kemelut 1MDB bukanlah mencabar jawatan  Najib sebagai Presiden.  Muhyiddin memperlihatkan sosok  pemimpin yang tidak  rakus jawatan.  Bagaimanapun kerana memikirkan beliau juga bertanggungjawab terhadap isu derma RM2.6 untuk dijelaskan kepada rakyat, Muhyiddin  bertanya berdepan dengan Najib.

UMNO  wakar bersyukur kerana masih  mempunyai pemimpin yang endah perihal integriti dan gelombang itu terasa pada perhimpunan kali ini  biar pun kelompok ini  dilabelkan sebagai “orang Muhyiddin”.   Tanggapan itu kurang tepat kerana  tidak ada untungnya menjadi orang Muhyiddin melainkan sependapat dalam isu yang melibatkan integriti.

Bagaimanapun   reaksi sesetengah perwakilan yang terdiri daripada Ketua Bahagian terhadap  tindakan Muhyiddin  tidak begitu matang.  Mengugut untuk memecat atau mengesyorkan supaya Muhyiddin dipecat adalah gaya politik ketinggalan zaman. Itu politik lapuk untuk menonjolkan diri di depan Presiden.

UMNO wajar mengambil iktibar dan berubah supaya lebih pragmatik dan  terbuka  kepada perbezaan pandangan.  Tidak perlulah takut kepada Muhyiddin begitu sekali. UMNO mesti keluar daripada gaya berpolitik yang ketinggalan zaman  iaitu  dengan mudah menutup pintu demokrasi  kepada pihak yang dianggap memilih keluar dari landasan. 

Satu lagi  UMNO tidak boleh lagi memaksa atau mendesak  ahli supaya menyokong membuta tuli kepada pemimpin.  Ini akan membuatkan pemimpin berada dalam zon selesa kerana  tidak ada kritikan yang membina dan tajam dari dalam.  Dalam mana-mana organisasi  tidak wajar  ahli-ahli didoktrinkan supaya menyokong tanpa menyoal terhadap pemimpin kecuali  UMNO sudah  membiarkan parti ini diresapi  neofeudalisme.




No comments:

Post a Comment