Friday, December 11, 2015

Pemimpin Islam yang tidak boleh ditentang

Apabila Najib Razak menyebut rakyat  di negara ini wajib menyokong pemimpin Islam semasa berucap di PWTC semalam,  maka saya segera teringat seorang pemimpin Islam yang hebat zaman Empayar Uthmaniyyah, Muhammad al Fateh yang menawan Empayar Constantinople tahun 1453.
.
Saya percaya Najib merujuk pemimpin Islam yang dimaksudkan ialah mempunyai ciri-ciri  Fateh.  Saya setuju dengan Najib bahawa  pemimpin Islam seperti  al Fateh tidak boleh ditentang atau diturunkan. Kita mesti menyokong kuat di belakangnya.
.
Siapa  al Fateh? Difahamkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Nabi Muhammad bersabda: "Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera."
.
Para sarjana Islam dan ulama merujuk hadis itu kepada kelahiran Sultan Muhammad al-Fateh lebih kurang 800 tahun selepas itu. Ini kerana ciri-ciri 'raja yang sebaik-baik raja' ada pada anak muda yang menakluki Constantinople pada usia 21 tahun itu.
.
Dengan kekuatan bala tentera lebih kurang 150,000 orang, khalifah ketujuh kerajaan Uthmaniyyah ini membuktikan usia bukan penentu sesuatu kejayaan, apa lagi perjuangan untuk membebaskan Islam. Al Fateh  dilahirkan pada 30 Mac 1432 dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 berjaya menghancurkan Empayar Byzantine dan menduduki takhta pemerintahan selama 30 tahun.
.
Al Fateh  bukan sahaja mengangkat martabat Kerajaan Islam Uthmaniyyah tetapi juga memuliakan Islam walaupun tidak ditugaskan sebagai ketua agama Islam di Constantinople.
.
Selepas menawan Constantinople, baginda menjadikan sebuah gereja terbesar, St. Sophies yang dibina tahun 537 Masehi sebagai masjid dan diberi nama Hagia Sophia. Masjid ini sejak sekian lama menjadi simbol kejayaan Islam dan juga bukti seorang sultan yang melangsungkan tugas menjaga agama Islam dengan penuh amanah dan ikhlas.
.
Sejarah mencatatkan ketinggian pegangan agama  al Fateh  terbukti apabila baginda bersama bala tentera mahu mengadakan sembahyang Jumaat pertama selepas gereja itu menjadi masjid Hagia Sophia.
.
Bagaimanapun selepas hampir lima abad berlalu, masjid Hagia Sophia ditukar menjadi muzium kerana dasar sekularisme Turki moden di tangan Kamal Ataturk melarang penonjolan agama Islam, sebaliknya disamakan taraf dengan agama lain terutama Kristian. Barat telah berjaya meracuni pemimpin Turki ini dengan menawarkan sekularisme, satu jarum ideologi untuk menghapuskan sejarah keagungan Islam Kerajaan Uthmaniyyah yang menawan Constantinople sekali gus menghancurkan Empayar Byzantine. 
.
Saya fikir semua setuju bahawa pemimpin Islam seperti al Fateh mesti disokong  oleh rakyat apa lagi dalam kalangan Islam. Masalahnya sekarang  adakah kita mempunyai “pemimpin Islam”   seperti al Fateh yang tidak boleh diturunkan?  Bagaimanapun agak malang kerana Najib tidak memperjelaskan pemimpin Islam bagaimana yang tidak boleh ditentang.  Haji Hadi dan Nik Aziz juga Islam tetapi kenapa UMNO menentang kedua-dua pemimpin ini untuk menjatuhkannya?

1 comment:

  1. Hahaha
    (Boleh gelak fb dalam blog?)

    Azjim

    ReplyDelete