Thursday, December 17, 2015

Elok ditanya juga berapa kerugian pengedar dadah

Walaupun para peniaga vape Kelantan mendakwa mengalami kerugian RM50 juta,   kita yang waras dan tidak berada di bawah tempurung politik wajar memuji  kerajaan Pas Kelantan yang bertindak bukan  sekadar bercakap.  Barangkali nilai kesihatan lebih diutamakan oleh kerajaan Kelantan  berbanding populariti politik.

Bagaimanapun disebabkan  Kelantan  diterajui oleh Pas maka  perihal peri pentingnya kesihatan telah digadai oleh kepentingan politik.  Kerugian peniaga vape RM50 juta dijadikan alasan untuk menafikan kepentingan kesihatan rakyat. 

Kalau puak-puak yang  melihat kerugian peniaga vape sebagai alasan,  eloklah rasanya mereka memperjuangkan dan menonjolkan   kerugian  yang ditanggung oleh pengedar dadah termasuk  dalam kalangan orang Melayu  apabila  dadah diharamkan dan dirampas di negara ini.  Adakah kita boleh bertolak ansur kepentingan kesihatan dengan kepentingan politik sempit begini?

Malah kalau hujah alasan kerugian atau terlepas peluang berniaga dalam kalangan orang Melayu, eloklah juga ditonjolkan peraturan yang melarang orang Islam membuka kedai arak,  pusat judi atau pusat pelacuran satu kerugian. Kalau arak, judi dan pelacuran mendatangkan bahaya,  vape yang mempunyai potensi luas untuk disalahguna  memuatkan bahan dadah apa kurangnya?  Di mana  slogan "agama, bangsa dan negara"  yang menjadi  pegangan UMNO   apabila mempertikaikan langkah terpuji kerajaan Kelantan?   

Adakah semua ini kerana  ada  dalam kalangan menteri yang memperjuangkan  supaya vape dihalalkan (walaupun ada perisa yang bercampur dadah)   dengan alasan vape satu gaya hidup orang muda?  Kalau begitu, dadah juga bagi penagih dadah adalah gaya hidup orang muda   yang sepatutnya   dihalalkan juga. Adakah itu maksud puak-puak yang menentang langkah kerajaan Kelantan? 

Walaupun kerajaan Kelantan tahu tindakan mengharamkan vape boleh menjejaskan sokongan orang muda terhadap parti itu dalam pilihan raya,  tetapi kerana kepentingan rakyat, Pas sanggup menggadai kepentingan politik.  UMNO tidak berani berbuat demikian mungkin kerana bimbang sokongan politik daripada orang muda berkurangan.  Kenapa tidak ada negeri UMNO terlebih dahulu berbuat demikian.   

Keadaan ini samalah dengan  tindakan memadamkan  sokongan  Obama terhadap LGBT semasa melawat Malaysia  kerama Malaysia  mahu kelihatan popular  dan sehaluan oleh  Obama daripada menjulang  slogan "agama. bangsa dan negara."   Mujurlah media sosial  yang bertindak viralkan  sokongan Obama terhadap LGBT yang membolehkan rakyat tahu kejahatan pemimpin  Amerika yang menjadi pujaan pemimpin Malaysia. Dan melihat  Malaysia telah memadam yang buruk-buruk tentang Obama.




1 comment:

  1. Tindakan ini munkin untuk menjaga kepentingan penanam tembakau, dari mana kesan penggunaannya sama dengan penggunaan vape.Jadi apalah sangat.

    ReplyDelete