Monday, December 7, 2015

Dedikasi kepada perwakilan UMNO

Saya tujukan tulisan ini kepada semua perwakilan UMNO yang akan bersidang mulai esok hingga Sabtu ini di PWTC, satu lokasi yang "tidak selamat" semasa berlangsungnya forum Nothing2hide tidak lama dulu. Akibat status tidak selamat itu Perdana Menteri, Najib Razak tidak dapat hadir untuk berforum bersama Tun Dr. Mahathir mengenai 1MDB dan derma RM2.6 bilion.  Bagaimanapun kali ini sudah pasti selamat sebab Tun Dr. Mahathir tidak  akan "bercakap",  Timbalan Presiden UMNO  Muhyiddin Yassin juga tidak akan "bercakap".

Orang UMNO menerima tradisi baharu (Timbalan Presiden dilarang bercakap)  tanpa soal.  Mereka meneima bulat-bulat walaupun tradisi boleh diubah cuma kenapa selepas Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri bari tradisi ini diubah?  Bagaimanapun jangan bimbang orang UMNO tidak akan mempersoalkan walaupun ketua mereka berkata bulan berwarna biru.

Saya fikir orang UMNO khususnya yang datang bersidang untuk kepentingan "agama, bangsa dan negara"  perlu menghayati tulisan veteran UMNO Datuk Ruhanie Ahmad ini.  Sebabnya tidak ada tulisan yang mempersoalkan UMNO, cuma Datuk Ruhanie yang bertanya dan bersuara bagi pihak UMNO di akar umbi.  Kita  mempunyai banyak penulis politik tetapi saya  belum lagi terbaca seperti yang ditulis oleh Datuk Ruhanie.  Takkan Datuk Ruhanie sahaja yang berani menegur UMNO?


-----

(Mingguan Malaysia 6 Dis. 2015)

Oleh: Ruhanie Ahmad

UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946, menerusi ledakan dan gemblengan semangat nasionalisme, adalah wadah eksklusif untuk menjamin keselamatan politik Melayu/Peribumi, dalam konteks perjuangan inklusif di Malaysia yang majmuk, di era penjajah dan pasca merdeka. Ini sebabnya UMNO yang memelihara jati diri dan kepentingan sah Melayu/Peribumi, menjadi teras kepada perjuangan politik dan demokrasi perkongsian kuasa, menerusi Perikatan dari tahun 1953-1974, dan Barisan Nasional (BN) mulai tahun 1974 hingga sekarang.

Ini juga sebabnya UMNO sebagai wadah perjuangan khusus untuk Melayu/Peribumi, menunjangi pemerintahan negara yang inklusif, demi kesejahteraan warganegara Malaysia yang majmuk dilahirkan menerusi kuatkuasa Perlembagaan Persekutuan. Lantas ciri-ciri eksklusif UMNO dalam konteks perjuangan nasional yang inklusif ini tidak harus dijadikan faktor yang menyebabkan parti ini dicengkam dilema akibat kemerosotan sokongan segolongan rakyat terhadap BN.

Sebaliknya, UMNO perlu mentransformasikan semangat nasionalisme Melayu/Peribumi yang meledak untuk menentang penjajah dan memerdekakan negara, menjadi semangat nasionalisme Melayu/Peribumi di abad ke-21, bagi mengekalkan kemerdekaan dan menguruskan kemerdekaan negara. Kalau UMNO insaf akan kekuatannya sebagai parti yang eksklusif dalam konteks pemerintahan nasional yang inklusif, kepimpinan tertinggi UMNO mesti sedar bahawa mutakhir ini keselamatan politik UMNO, keselamatan rejim BN, dan keselamatan politik Melayu/Peribumi, adalah terancam. Jika UMNO memahami punca dan ciri-ciri ancaman ini dengan seluas-luasnya, pasti tidak wujud perlanggaran tradisi di Perhimpunan Agung UMNO 2015, dengan menafikan Timbalan Presiden parti untuk merasmikan perhimpunan tahunan sayap-sayap partinya secara berkumpulan, seperti sedia kala.

Namun kelihatannya UMNO dalam keadaan cemas. Tindak-tanduknya terhadap komponen-komponen BN, jelas berlebih-lebihan, walaupun ini mengguris hati segolongan orang UMNO. Jika iktibar daripada fenomena yang hampir serupa di era sebelum kepimpinan UMNO mutakhir boleh dijadikan asas, tindakan seperti ini mungkin membawa padah kepada prestasi BN dalam PRU-14. Beratus-ratus orang UMNO yang telah mendedikasikan usia aktif mereka sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan/atau Ahli Parlimen untuk mempertahankan maruah dan wibawa BN dan UMNO dalam setiap ruang, nampaknya kurang diminta pandangan. Bukankah ini merugikan UMNO?

Lantas apakah keutamaan UMNO dalam konteks memelihara serta memperkukuhkan keselamatan politik Melayu/Peribumi di abad ke-21, di mana nasionalisme yang menjadi sumber kekuatannya, kini seolah-olah layu? Soalan ini diketengahkan kerana keselamatan politik Melayu/Peribumi adalah berkait dengan keselamatan rejim atau jatuh-bangunnya pemerintahan nasional Malaysia yang berteraskan UMNO. Keselamatan politik Melayu/Peribumi juga menjadi teras perpaduan nasional di Malaysia yang majmuk. 

Keselamatan politik Melayu/Peribumi juga mempunyai ikatan simbiotik dengan keselamatan ekonomi, dalam konteks pencapaian ekonomi yang berbeza-beza di antara rakyat Melayu/Peribumi berbanding rakyat bukan Melayu dan bukan Peribumi.

Keselamatan rejim dalam konteks Malaysia yang majmuk pula, penting kepada kelangsungan dan kesinambungan pelbagai dasar, program dan tindakan afirmatif untuk Melayu/Peribumi. Jika rejim nasional Malaysia berubah, seluruh inisiatif dasar afirmatif ini juga mungkin musnah. Para perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2015, oleh yang demikian, perlu mencadangkan kepimpinan tertinggi parti supaya UMNO melaksanakan transformasi kepada nasionalisme Melayu/Peribumi di abad ke-21.

Ketepikan sorak-sorai dan retorika peremajaan parti dan/atau penjenamaan semula parti. Fokuskan iltizam kepada hakikat bahawa jika UMNO gagal mentransformasikan nasionalisme Melayu/Peribumi mutakhir ini, jangan diseranah sesiapa, jika perjuangan UMNO kecundang akibat kejahilannya sendiri.

Suarakanlah kenapa UMNO yang kini perlu menggunakan Extraordinary Operating Procedures (EOP) atau prosedur operasi luar biasa bagi menangani keselamatan politik Melayu/Peribumi, masih terus menggunakan Standard Operating Procedures (SOP) atau prosedur operasi lazim, walaupun tanda-tanda kehilangan kuasa sudah dipaparkan menerusi prestasi BN dalam PRU-12 dan PRU-13. Lantaran itu, transformasikan nasionalisme Melayu/Peribumi secara segera. Antara formulanya adalah menerusi penggunaan Al-Wassatiyyah sebagai pemandu kepada arah perjuangannya. Menurut Professor Ulung, Tan Sri Dr. Kamal Hassan (28 November 2015), Al-Wassatiyyah adalah petunjuk hidup bagi umat, pemimpin, dan cendekiawan Islam.

Ini disebabkan Al-Wassatiyyah adalah “wawasan Islam yang menuntut kecemerlangan, kebaikan, keadilan dan keseimbangan.” Al-Wassatiyyah membolehkan pihak-pihak di atas, termasuk di Malaysia, “menilai mutu kehidupan dan peradaban dalam konteks realiti semasa yang amat merisau dan memalukan.”

Al-Wassatiyyah, jika diaplikasikan secara jujur dalam proses mentransformasikan nasionalisme Melayu/Peribumi, pasti boleh memupuk keseimbangan dalam perjuangan UMNO, dalam tindak-tanduk pembesar UMNO, dan mampu melahirkan generasi pemimpin UMNO yang seimbang roh dan jiwa perjuangannya. Al-Wassatiyyah boleh memunculkan perjuangan Melayu/Peribumi yang cemerlang dan perjuangan Melayu/Peribumi yang eksklusif, tetapi bercorak inklusif dan adil dalam konteks perjuangan nasional majmuk.

Jangan bazirkan waktu dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015 dengan fokus kepada titik-bengek atau paradoks yang tercipta daripada kedangkalan segelintir pembesar UMNO yang mungkin dihantui bayang-bayang sendiri.

Berani kerana benar, takut kerana salah. Bersuaralah secara jujur, jika UMNO ikhlas mahu mempertahankan keselamatan politik Melayu/Peribumi, dan mengekalkan keselamatan rejim nasional berteraskan UMNO dalam BN.


No comments:

Post a Comment