Monday, December 21, 2015

Cara mendepani skeptisme agama


Pemikir  dan penulis kontroversi Kassim Ahmad hari ini menang mencabar pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terhadapnya asas tuduhan menghina Islam dan melanggar fatwa.

Hakim Mahkamah Rayuan Vernon Ong menyampaikan keputusan panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan Putrajaya, yang antara lain mengisytiharkan penahanan  Kassim yang berusia  82 tahun itu pada 26 Mac lalu tidak sah.

Ong juga berkata terdapat pindaan dibuat terhadap waran tangkap yang digunakan kepada Kassim, justeru menjadikannya tidak sah dan terbatal.

Saya bukanlah penyokong Kassim Ahmad.  Tetapi apabila bercakap tentang individu seperti Kassim Ahmad, yang perlu dilihat dengan serius ialah   gerakan skeptisme agama  Birokrat agama sepatutnya melangkah  setapak ke depan untuk melihat secara mikro punca isu seumpama  yang dicetuskan oleh orang seperti Kassim.

Yang lebih serius dan bahaya sekarang ialah fenomena skeptisisme agama. Fenomena ini telah lama wujud dan Kassim Ahmad hanyalah sebahagian daripada mereka yang skeptikal terhadap Islam.

Skeptisisme agama dalam definisi longgarnya ialah mempunyai persepsi sinis terhadap agama, bukan sahaja Islam malah terhadap agama lain juga. Mereka ini juga ragu-ragu terhadap Islam kerana realiti yang berlaku tidak seperti yang dibaca, dipelajari ataupun diasuh di sekolah dan sebagainya mengenai Islam. Banyak yang bertentangan, mereka jadi keliru dan akhirnya skeptikal terhadap Islam.

Mereka telah hilang keyakinan kepada golongan yang digelar ulama, institusi  Islam dan pengemudi birokrat agama yang tidak bertindak seperti termaktub dalam Islam. Misalnya masih wujud pilih kasih dalam mengambil tindakan, tidak memperlihat ketegasan untuk turut mengemudi negara dengan menegur sesetengah pemimpin  yang diragui integriti dan yang lebih buruk ada ulama membiarkan diri menjadi bahan jual beli di pasar politik.

Di Barat, skeptisisme agama adalah satu cabang kajian akademik oleh ahli sosiologi dan teologi mengenai sikap sinis dan ragu-ragu terhadap agama Kristian. Tetapi tidak semestinya yang skeptikal terhadap agama menolak kewujudan Tuhan dan antiagama.

Ini satu gerakan massa  dan  individu bukanlah puncanya. Skeptisisme agama bukan satu cetusan, sebaliknya satu tindak balas. Maknanya, Kassim Ahmad bukan mencetuskan tetapi memberikan tindak balas terhadap sesuatu yang berlaku dalam lingkungan agama, sistem dan institusi agama.

Isunya kenapa wujud golongan yang bersikap sinis kepada agama? Inilah yang perlu ditanyakan kepada birokrat agama dan untuk menangani skeptisisme agama tidak semudah menangkap atau mengurung orang  seperti Kassim Ahmad.

Apabila Kassim Ahmad dikatakan menyeleweng daripada ajaran Islam, ini adalah satu tindak balas. Perkara inilah yang sepatutnya diuruskan, sebab musabab tindak balas yang berlaku dan ditujukan kepada siapa? Saya tidak pasti adakah birokrat agama sedar atau tidak kewujudan skeptisisme agama. Sebab secara umumnya mereka kelihatan selesa, cuma sesekali diganggu oleh orang seperti Kassim Ahmad.

Kita memang ada undang-undang, apa lagi Islam termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan. Tetapi kalau birokrat agama kita selalu melihat ke luar tingkap, mereka akan bersetuju bahawa ada yang lain lebih menuntut tumpuan.

Skeptis melihat sesetengah ulama kita sangat pasif, tidak berfikir di luar kotak, angkuh dengan kuasa dan menolak mentah-mentah apabila ada gagasan yang menongkah arus tanpa diberi ruang bicara. Inilah yang selalu disuarakan terutama oleh generasi muda.

Sebab itulah kita tidak boleh menyalahkan sepenuhnya golongan yang sinis terhadap kebesaran Islam. Mereka mempunyai sebab misalnya dalam Islam ada tertulis bahawa agama ini memuliakan dan memberikan keadilan kepada wanita.

Tetapi realitinya terdapat sesetengah institusi kehakiman Islam dan birokrat agama malah ulama telah memberikan persepsi serong terhadap Islam. Buktinya ketidakadilan terus berlaku kepada wanita, misalnya bertahun-tahun malah ada yang berbelas tahun digantung tidak bertali apabila menuntut cerai.

Menuntut nafkah daripada bekas suami pula kerap kali menjadi suatu yang traumatik kepada wanita. Ini kerana kerenah birokrasi dan juga birokrat agama. Kalau tangga mahkamah syariah boleh bercakap, tanyalah berapa banyak masa dan wang dihabiskan untuk mendapatkan hak yang terbantut kerana penyakitada undang-undang tetapi tidak dikuatkuasakan.

Apakah hujah untuk menangkis tanggapan bahawa Islam  bukan menganiaya wanita dan tidak meletakkannya di kelas tiga? Kalau benar Islam memuliakan dan memberi keadilan kepada wanita kenapa masih ada yang terus dianiaya? Apakah yang dilakukan birokrat agama dalam perkara ini? Jadi, salahkah kalau ada yang skeptikal terhadap Islam?

Birokrat agama mesti bertanggungjawab apabila wujud pemikiran begini dalam kalangan masyarakat. Dalam banyak perkara, saya tidak setuju dengan pergerakan seperti Sisters In Islam (SIS). Tetapi kita tidak dapat menafikan suara-suara ketidakpuasan hati yang disampaikan melalui SIS untuk menuntut keadilan bagi pihak wanita yang teraniaya tidak boleh dipandang dengan persepsi negatif secara total.

Ia seharusnya menjadi cabaran kepada birokrat agama untuk terus mempertingkatkan keupayaan dan memperlihatkan ketinggian Islam sebagai cara hidup yang sesuai untuk semua manusia. Banyak cara yang lebih matang dalam menghadapi golongan berfikiran seperti ini.

Tetapi apabila birokrat agama mendiamkan mereka yang skeptikal terhadap agama dengan pelbagai hukuman yang ada kalanya makin menjauhkan mereka kepada kebenaran Islam, momentum kebencian mereka kepada agama semakin besar. Maka kita tidak boleh menyalahkan mereka yang bergantung harap kepada SIS yang pada fahaman mereka sentiasa berjuang membela wanita teraniaya..

Marilah kita sama-sama menggali akar permasalahan, ini lebih baik daripada hanya memotong pucuknya yang akan tumbuh apabila tiba waktu.




2 comments:

  1. Terima kasih. Kupasan yang tepat & padat.

    Saya tidak skeptikal terhadap agama tetapi saya semakin skeptikal terhadap org2 yg bergelar ulamak & institusi2 yang menggunakan nama Islam.

    Hakikatnya, bangsa melayu beragama Islamlah merupakan kaum tertinggi mengalami gejala2 sosial seperti dadah, HIV & teen pregnancy. Saya tertanya, adakah (menanggani) masaalah2 sosial in termasuk dalam KPI ulamak2 & intitusi2 ini?

    ReplyDelete
  2. Potong puchok ,cepat nampak ratanya .

    ReplyDelete