Saturday, December 12, 2015

Berakhirkah misteri RM2.6 bilion?

Petang ini Presiden UMNO, Najib Razak akan membuat ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015.  Banyak yang mengharapkan pada ucapan penggulungan itu akan terlerai misteri  derma RM2.6 bilion yang dikatakan sebagai dana politik UMNO.  Sebabnya  selepas persidangan bermula Selasa lalu hingga kini,  misteri RM2.6 bilion masih tidak dijawab.  Rakyat sekadar mahu tahu  adakah benar duit yang dimasukkan dalam akaun peribadi Najib itu  adalah dana politik UMNO.  Ini kerana pada perkiraan mereka  kalau duit itu untuk UMNO  sudah tentulah  ada dalam penyata kewangan UMNO.  Bagaimanapun difahamkan RM2.6 bilion itu tidak tercatat.

Isunya sekarang kalau tidak ada dalam penyata kewangan UMNO sudah tentu duit itu tidak ada dalam akaun UMNO. Adakah  dalam SOP  UMNO  dana  boleh dimasukkan dalam akaun selain akaun UMNO?  Kalau boleh begitu,  UMNO mesti menjelaskan  bahawa dalam SOP   dana politik boleh dimasukkan dalam akaun peribadi dan tidak tercatat dalam penyata kewangan.

Disebabkan tidak ada penjelasan,  saya setuju dengan pertanyaan Muhyiddin tentaang  derma RM2.6 bilion itu.  Beliau tidak menuduh Najib membuat salah laku tetapi sebagai orang nombor dua, beliau perlu menjelaskan kepada rakyat perkara-perkara pelik dalam UMNO  Saya sentiasa bersangka baik kepada Najib dan UMNO dengan menganggap  dalam SOP UMNO  dana politik boleh disalurkan dalam akaun peribadi presiden parti.  Tetapi UMNO kena ingat kalaulah ini  menjadi SOP  UMNO,  bagaimana untuk membezakan duit peribadi dan duit parti?

Saya harap semua perwakilan kali ini tidak balik dengan tangan kosong tanpa membawa penjelasan untuk diberitahu kepada akar umbi. Saudara-saudara mesti sedar,  saudara  memikul tanggungjawab besar daripada rakyat khususnya ahli UMNO.  Saudara-saudara menjunjung Islam sebagai agama dan saudara-saudara juga wajib menjunjung kesuciannya menentang segala bentuk perbuatan yang tidak amanah. Ini bukan soal politik tetapi amanah yang seharusnya saudara-saudara pegang walau berpegang ideologi apa sekalipun. Jangan lupa pekikan saudara-saudara, "Demi agama, bangsa dan negara"

No comments:

Post a Comment