Friday, December 25, 2015

Awas, retorik politik membayangi penyatuan UMNO - Pas

Sejak akhir-akhir ini  isu penyatuan UMNO dan Pas menjadi tajuk bualan utama sama ada di warung mamak di kaki lima atau di restoran mewah  hotel lima bintang.  Isu ini memang sangat "seksi"  dan sudah tentulah menarik perhatian banyak pihak untuk memperkatakannya.

Kesediaan Pas membuka pintu kepada kerjasama dalam isu-isu melibatkan Islam dan Melayu sangat dihargai.  Tetapi bagi UMNO  kerjasama  yang dimaksudkan bukanlah dalam isu -isu tersebut malah mahu diperluaskan hingga kerjasama politik. Ini boleh dilihat daripada  ulasan-ulasan  yang lebih membawa  "penyatuan" ini sebagai retorik politik  bukan penyatuan ummah seperti yang ditegaskan oleh Pas.

Pengulas beretorik,  kalau Pas menolak kerjasama menyelamatkan ummah (sebenarnya mahu kerjasama politik)  Pas  tidak mengotakan  slogan memperjuangkan martabat Islam.  Sebenarnya ulasan-ulasan  retorik begini yang boleh  menghalang kerjasama  yang sepatutnya dilaksanakan.  Semua pihak wajar berwaspada  supaya gagasan kerjasama UMNO - Pas ini memberikan faedah politik kepada individu tertentu untuk memastikan kelangsungan kuasa.

Pada teorinya memanglah gagasan kerjasama  (bukan kerjasama politik)  boleh mengukuhkan ummah tetapi Pas perlu perhalusi terma-terma kerjasama yang hanya tertumpu kepada isu Islam dan Melayu sahaja.  UMNO adalah parti yang kuat (ini banyak kali ditegaskan oleh pemimpinnya)  dan tidak perlulah menumpang pengaruh Pas untuk terus berkuasa.

Sekiranya mahu berkerjasama dalam politik,  kedua-dua parti mesti mengenali dalam dan luar pasangan masing-masing.  Pas perlu menerima gaya berpolitik UMNO  yang memerlukan duit yang banyak, begitu juga UMNO yang perlu memahami gaya politik penyokong Pas yang lebih banyak memberi daripada menerima habuan.

Dalam Pas, pemimpin peringkat bawah boleh berhujah dan menyanggah Presiden terutama dalam isu kerjasama dengan UMNO tanpa dikenakan tindakan  dipecat.  Tetapi dalam UMNO,  Presiden  selalu benar dan mempersoalkan boleh membuatkan seseorang  itu dipecat.


No comments:

Post a Comment