Saturday, December 12, 2015

ANEKDOT AHAD 13 DIS 15

SELEPAS 53 TAHUN PEMBUNUHAN JFK

SEJARAH dunia mungkin berbeza daripada apa yang telah berlaku sepanjang setengah abad yang lalu sekiranya Presiden John F. Kennedy tidak dibunuh. Keamanan dan kestabilan politik dunia lebih menyerlah apabila dasar luar John F. Kennedy atau JFK ini cenderung kepada hubungan yang baik termasuk dengan musuh dalam perang dingin, Kesatuan Soviet.
x
Banyak peristiwa yang berlaku selepas pembunuhan JFK pada 22 November 1963 mungkin tidak wujud sekiranya JFK diberi kesempatan yang lebih panjang untuk menguruskan sebuah negara yang angkuh dan sombong seperti Amerika Syarikat (AS).
x
JFK seorang reformis yang menyongsang arus pemimpin AS sebelumnya. JFK mewujudkan dasar luar yang sangat pelik bagi amalan Presiden dan kerajaan AS, antaranya untuk berbaik-baik dengan Kesatuan Soviet. Langkah ini mengganggu pengaruh dan kuasa Agensi Perisikan Pusat (CIA). Dalam diam CIA memusuhi Presidennya sendiri, apa lagi dasar luar mengenai Kesatuan Soviet telah menjejaskan kepentingan beberapa orang kuat CIA.
x
Perang dingin hanya berakhir selepas runtuhnya Kesatuan Soviet dan negara-negara blok komunis pada 1989. Tetapi sekiranya JFK masih hidup, perang dingin itu dijangka tamat pada 1965. Keruntuhan Kesatuan Soviet bukan disebabkan oleh AS tetapi realiti sosiopolitik dunia yang menolak komunisme dan memilih kapitalisme.
x
Penganalisis politik menjangka sekiranya JFK tidak dibunuh, peristiwa yang memalukan AS iaitu perang Vietnam tidak akan berlaku. Campur tangan AS dalam hal ehwal Vietnam semata-mata untuk mengekang penguasaan komunis China di Asia Tenggara akhirnya memalukan AS apabila kalah dalam perang itu.
x
Perang Vietnam menjadi mimpi ngeri AS, rakyat tidak merestui negara mereka campur tangan dan generasi muda dekad 1970-an bangkit membantah menerusi pergerakan sosial dan seni. JFK menolak sama sekali dasar campur tangan itu tetapi usianya pendek, pembelot dari Kesatuan Soviet, Lee Harvey Oswald menamatkan riwayatnya semasa melawat Dallas.
x
Sebahagian besar rakyat percaya motif pembunuhan JFK yang meninggalkan misteri hingga hari ini disebabkan dasar mahu berdamai dengan Kesatuan Soviet, kuasa besar komunis yang menjadi penghalang pengaruh AS.
x
Walaupun Lee Harvey Oswald diputuskan oleh mahkamah sebagai pembunuh JFK tetapi konspirasi tidak pernah berakhir hingga kini. Banyak pihak mencetuskan teori demi teori tentang siapa di belakang Oswald? Persoalan bertambah misteri apabila Oswald sendiri ditembak mati dua hari selepas itu oleh pemilik kelab malam, Jack Rudy.
x
Pembunuhan JFK menjadi kisah paling misteri dan pelbagai teori konspirasi bukan sahaja dicetuskan oleh sejarawan dan orang politik malah karyawan filem. JFK antara Presiden AS yang paling singkat, tidak sempat menghabiskan satu penggal di White House.
x
Tetapi dalam masa yang sesingkat itu JFK merancang dan melaksanakan dasar luar yang besar ke arah keamanan. Beliau Presiden AS paling muda, berusia 43 tahun ketika melangkah masuk ke White House dan hingga kini rakyat AS percaya JFK seorang idealis yang menjuarai perjuangan menuntut kebebasan dalam dan di luar negara.
x
Walaupun pada era JFK, Kesatuan Soviet dengan ejen perisik KGB yang digeruni kelicikannya, banyak penganalisis percaya JFK mempunyai lebih banyak musuh dalam kerajaannya berbanding KGB.
x
Banyak yang menjangka pembunuhan itu dilakukan oleh CIA kerana beberapa keputusan JFK mengetepikan CIA sekali gus menjejaskan kepentingan segelintir pemimpin CIA yang cukup berpengaruh selepas Presiden. Salah satu teori konspirasi yang paling diyakini dicetuskan oleh pengarah filem Oliver Stone yang menghasilkan filem JFK tahun 1991. Menurut Oliver Stone, daripada sekian banyak kajian untuk merungkai misteri pembunuhan itu, yang paling ketara sekali ialah dilakukan oleh Lyndon Johnson yang kemudiannya dilantik menggantikan JFK.
x
Filem JFK bukan cereka sejarah tentang pembunuhan Presiden itu tetapi teori konspirasi yang dicetuskan sendiri oleh pengarahnya. Filem ini menambah satu lagi teori konspirasi mengenai misteri pembunuhan JFK. Kalau mengikut teori Oliver Stone menerusi JFK, pembunuhan itu melibatkan CIA dengan pengetahuan Lyndon Johnson. Bagaimanapun selepas pembunuhan segala bukti telah dilupuskan untuk melindungi beberapa pihak yang terlibat.
x
Untuk mendapatkan keyakinan rakyat, Lyndon Johnson menubuhkan Suruhanjaya Warren (Warren Commission) bertujuan menyiasat pembunuhan JFK. Suruhanjaya itu diperalatkan sebagai badan bertauliah untuk mengatakan pembunuhannya tidak mempunyai kaitan dengan pihak ketiga. Dalam lain perkataan Lyndon Johnson atau CIA tidak terlibat dengan pembunuhan itu.
x
Di mahkamah,  pembunuhan JFK  tidak ada motif tertentu kerana pembunuhnya, Oswald tidak dibuktikan ada sengketa dengan JFK. Perancang pembunuhan JFK, kalau benar dilakukan oleh Lyndon Johnson bukan sahaja terus bebas malah menjadi Presiden.  Tetapi di mahkamah nama Lyndon Johnson tidak disebut dan namanya bersih hingga ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment