Tuesday, December 29, 2015

Adakah ini bermakna Azeez Rahim bersandiwara?

Selepas  sebuah blog membuat pendedahan bahawa Tabung Haji telah membeli sebidang tanah  di TRX  (milik 1MDB)  dengan harga yang jauh lebih mahal daripada pasaran,  Pengerusi Tabung Haji, Azeez Rahim  seolah-olah "merajuk"  kerana pembelian tanah yang dikatakan menguntungkan Tabung Haji itu dicemuh oleh banyak pihak.  Azeez mengumumkan  Tabung Haji akan  menjualkan semula tanah itu untuk mengelak persepsi serong kepada Tabung Haji.

Sejak awal lagi saya tertanya-tanya  adakah pembelian tanah itu dibuat oleh panel pelaburan yang profesional atau panel politik?  Kalau dibuat secara profesional,  Azeez  tidak perlu merajuk mahu menjual semula kerana cemuhan rakyat.  Kalau dalam isu ini Azeez melayan cemuhan rakyat,  rakyat juga mengkritik Azeez yang lebih sudu dari kuah berbanding  Ketua Pegawai Ekselutif  Tabung Haji dalam memberikan kenyataan kepada media.

Azeez sewajarnya  melayan juga cemuhan rakyat  dengan melepaskan jawatan Pengerusi Tabung Haji.  Tetapi ini tidak berlaku.  Organisasi  yang hebat seperti Tabung Haji tidak boleh diurus berdasarkan cemuhan rakyat.  Tabung Haji mesti diuruskan dengan profesional.  Azeez sudah tidak profesional apabila membelakangkan panel pelaburan yang profesional  dalam isu membeli tanah di TRX.

Bagaimanapun berita terbaru, Menteri  "Agama" ,  Jamil Khir  Baharom berkata,  Tabung Haji tidak menjualkan tanah tersebut  kerana akan memberikan pulangan yang tinggi. Jadi, benarlah  rajukan  Azeez hanya  sandiwara, padahal  urusan pembelian itu tidak berubah apa-apa walaupun  banyak pihak mempersoalkan kenapa 1MDB  (Najib) membeli tanah itu daripada kerajaan (Najib) dengan harga yang  murah tetapi dijual kepada Tabung Haji dengan harga yang berlipat ganda?

No comments:

Post a Comment