Saturday, November 28, 2015

Renungi nasihat Sultan Nazrin

Ucapan dan tulisan Sultan Perak, Sultan Nazrin tidak pernah mengecewakan.  Ucapan yang disampaikan dengan bahasa mudah dan tidak retorik membuatkan siapa yang mendengar akan menghayati luahan hatinya.

Kepada pemimpin-pemimpin terutama politik yang bermewah-mewah, ambillah iktibar daripada nasihat Sultan Nazrin. Rakyat bukan mempertikaikan sumber kekayaan mereka tetapi sifat bermewah-mewah yang menjurus kepada membazir.

Janganlah pula menjawab,  "Dulu masa belum masuk politik saya adalah orang korporat. "  Maksudnya hendak memberitahu yang dia bermewah dengan jam beratus ribu ringgit,  berkereta besar dan bermotor besar adalah hasil usahanya.  Rakyat tidak mempertikaikan itu.

Analoginya,  walaupun kerajaan Selangor memberikan air percuma tetapi adalah tidak baik kalau membazir  air secara tidak berhemah.  Walaupun  masa bangun pagi kita terjumpa seguni  wang tetapi itu bukan alasan untuk bermewah-mewah.  Apa lagi sifat itu bertentangan dengan kata-kata yang selalu dimuntahkan kepada rakyat supaya berjimat dan jangan membazir.
 
*******

KUALA KANGSAR 27 Nov. - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan golongan kepemimpinan supaya tidak berperwatakan ibarat pepat di luar, rencong di dalam atau bersifat munafik yang boleh membawa kepada kehancuran sesebuah tamadun.

Baginda bertitah, Allah telah menghamparkan pelbagai contoh untuk dijadikan pengajaran tentang sejarah kegemilangan sesuatu bangsa dan sesebuah negara, juga kisah kejatuhannya untuk dijadikan pengajaran.

Mengambil contoh kejatuhan dua tamadun besar iaitu Rom dan Parsi, Sultan Nazrin bertitah, itu disebabkan kepemimpinan negara yang lemah, para pembesarnya hidup mewah, raja-raja tenggelam dalam kenikmatan dan lupa tanggungjawab selain melakukan kezaliman, penindasan serta kekejaman.

Titah baginda, tindakan itu menyebabkan kehidupan rakyat terumbang-ambing dan anggota tentera runtuh moral perjuangan serta luntur semangat kepahlawanan.

“Barang dijauhkan Beta daripada didampingi dan barang dijauhkan kerajaan Beta daripada dianggotai oleh pembesar-pembesar yang berwatak pepat di luar, rencong di dalam, bersifat munafik. Allah telah menjadikan contoh-contoh tersebut agar dijadikan pengajaran oleh umat terkemudian supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah berlaku,” titah ba­ginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda di Istana Iskandariah Bukit Chandan di sini hari ini.
Sultan Nazrin turut mengingatkan golongan kepemimpinan mengambil iktibar daripada kisah kejatuhan bangsa Arab akibat terlena dengan muzik kejayaan sehingga Allah menyerahkan panji kepemimpinan dunia kepada bangsa Kurdish.

Titah baginda, apabila bangsa Kurdish pula berpaling daripada Islam, Allah telah menyerahkan tampuk kepemimpinan Islam kepada bangsa Saljuk. 

Bangsa Saljuk, titah baginda, kemudiannya menyerahkan kepe­mimpinan kepada Usmaniah yang terkenal dengan kepemimpinan besar mereka, Sultan Muhammad al-Fateh dan Sultan Sulaiman al-Qanuni yang bertahan hampir enam abad.

“Begitupun kuasa yang dianugerahkan oleh Allah kepada bangsa itu akhirnya jatuh apabila Sultan-Sultan Usmaniah dan para penguasanya tergelincir jauh daripada syariat Allah dan Rasul,” titah baginda.

Sultan Nazrin sebaliknya mahu para kepemimpinan mencontohi pemerintahan sahabat Nabi, Saidina Umar yang tidak melantik orang yang meminta-minta jawatan atau menunjuk-nunjuk kemampuannya atau yang menggunakan saudara-mara untuk memperoleh jawatan.

Titah baginda, ketika itu para pemimpin dipastikan tidak berlaku zalim, tidak menyalah guna kuasa untuk kepentingan peribadi dan ditegah melambangkan sebarang kemewahan.

Baginda bertitah, Saidina Uthman yang terkenal dengan sifat mulia sebagai seorang hartawan yang sangat pemurah, namun memberikan ruang kepada pihak tertentu melakukan pelbagai manipulasi menggunakan wang negara untuk kepentingan peribadi.

“Dasar toleransi Saidina Uthman telah diambil kesempatan oleh orang yang rakus hingga harta baitulmal tidak terlepas daripada digunakan sewenang-wenangnya.

“Penglibatan ramai ahli keluarga yang dilantik dalam pentadbiran negara tetapi tidak bersifat jujur telah mengakibatkan banyak peraturan kewangan dan perbendaharaan menjadi longgar yang memberikan kesan negatif kepada pemerintahan,” titah baginda.


1 comment:

  1. Tend to like your writings and postings more as day goes by, it has added into my reading list.

    Terima kasih.

    Melayu Luar Negara

    PS. A very humble profile-synopsis pointing out there is absolutely nothing wrong in being a contract-labourer.

    I salute you.

    ReplyDelete