Wednesday, November 25, 2015

ANEKDOT AHAD 14 DEC 14

Pagi tadi semasa minum di kafe,  saya  bertanya kepada seorang rakan, "Untuk apa UMNO berhimpun dan bersidang setiap tahun?"  Katanya, "Untuk memperjuangkan agama (Islam), bangsa (Melayu) dan tanah air (Malaysia). "   Pertanyaan saya sebenarnya tidak dijawab.  Saya teringat tulisan saya mengenai UMNO selepas perhimpunan agung tahun lalu.  Saya turunkan di bawah ini untuk tatapan walaupun sudah tidak relevan.


UMNO mesti manfaatkan peluang yang diberi Tuhan
(Mingguan Malaysia 14 Disember 2014)

“Kita sudah ‘kalah’ pun dulu dalam PRU lepas cuma Tuhan bagi kita satu tempoh untuk kita fikir balik bahawa zaman hadapan menjadi zaman yang paling sukar. Saya nak kata, kalau tak betul-betul jaga dan tak buat perubahan dan pembaharuan, kita akan kalah. Pilihan sekarang sama ada mahu terus kekal hidup dan bernafas atau kita akan kalah.”

Di atas adalah petikan wawancara Utusan Malaysia dengan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 November lalu sempena Perhimpunan Agung UMNO. Penegasan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri bahawa UMNO dalam keadaan yang sangat bahaya adalah suatu yang mesti difikirkan oleh pemimpin di pelbagai lapisan parti itu.

Saya tidak fikir Muhyiddin sengaja mencetuskan suasana panik tetapi membentangkan hakikat yang terpaksa diakui bahawa UMNO berada dalam cabaran baharu, khalayak pengundi baharu dan limpahan maklumat juga dalam bentuk baharu yang mengubah landskap politik masa kini. Limpahan maklumat ini membuatkan tidak banyak perkara yang boleh diselindungkan daripada pengetahuan umum terutama yang melibatkan wang rakyat. 

Walaupun tulisan ini sudah 'luput tarikh' kerana demam perhimpunan agung sudah lama berlalu malah kehangatan semasa di Dewan Merdeka PWTC sudah sejuk dan kembali seperti sediakala, tetapi sebagai orang luar saya melihat ada keazaman daripada pemimpin-pemimpin tertinggi untuk mengeluarkan UMNO dari zon selesa, terbuai dengan kegemilangan silam dan tidak realistik dengan aspirasi politik semasa.

Sebagai orang yang tidak mempunyai akses yang banyak tentang hal-hal dalaman UMNO, bukan ketua cawangan, ketua bahagian atau lain-lain lagi, perspektif saya mungkin salah. Tetapi saya yakin betul iaitu UMNO berada dalam keadaan yang tidak berapa kuat atau “tidak berapa sihat” berbanding sebelum ini. Saya tidak fikir Muhyiddin akan berkata, “Cuma Tuhan yang bagi kita satu tempoh” sekiranya prestasi UMNO tidak menurun terutama pada pasca Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008.

Saya fikir kalau benarlah UMNO agak tenat sekarang, ia bukanlah suatu perkara yang luar biasa malah itulah penyakit dalam mana-mana parti politik di luar negara yang pernah merentasi zaman gemilang, berpengaruh dan terlalu lama berada di puncak kuasa. Apabila berada dalam keadaan ini berlakulah serba sedikit kealpaan, menjadi agak elitis dan kuasa juga boleh membuatkan manusia melanggar garis moral. 

UMNO tidak wajar tergopoh-gapah menganggap kurangnya sokongan disebabkan UMNO tidak remaja dan tidak ada kebersatuan. 

Meremajakan UMNO dan mengukuhkan kebersatuan tidak wajar dijadikan agenda utama pemulihan UMNO. UMNO sudah memberi perhatian kepada golongan muda dengan adanya Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO. Untuk menjadi pemimpin kenalah pilih berdasarkan merit bukan usia. Yang tidak ada merit kalau muda pun akan jadi masalah juga.

UMNO juga tidak boleh terlalu ideal untuk melihat kebersatuan yang mutlak dalam parti ini. Dalam mana-mana parti politik tidak ada kawan yang benar-benar kawan, juga tidak ada musuh yang benar-benar musuh. Yang ada adalah berkompromi yang memberikan pulangan.  Sistem berpolitik itu sendiri sebenarnya bertentangan dengan kebersatuan kerana ia menganjurkan individu membina tangga politiknya sendiri. Cantas-mencantas adalah adat, cuba tunjukkan parti politik yang tidak ada cantas-mencantas?

Kejatuhan Parti Liberal Demoktarik (LDP) dalam Pilihan Raya Umum Jepun 2009 bukan kerana tidak ada kebersatuan sekalipun, banyak pecahan dalam parti itu. Kejatuhan disebabkan parti itu terlalu kuat dari segi kuasa politik dan kawalan ekonomi. 

LDP memegang tampuk kuasa selama 55 tahun di Jepun tetapi kecundang kepada pembangkang yang lemah, Parti Demokratik Jepun (DPJ) kerana rakyat hilang kepercayaan. LDP hanya memayungi golongan elit dan rakyat bangun menuntut pendemokrasian ekonomi.
Yang boleh kita pelajari daripada peristiwa ini ialah pengakuan LDP bahawa menjadi parti yang berkuasa begitu lama bukanlah mudah. 

Ini sebenarnya bertentangan dengan tanggapan banyak pihak, semakin lama berkuasa semakin kuat sesebuah parti. Tetapi politik bukan matematik. Politik juga bukan ilmu fizik. Politik ialah persepsi, apabila ada parti lawan berjaya mengalih persepsi daripada baik kepada buruk, ilmu matematik tidak boleh membantu LDP.

Itulah yang berlaku kepada LDP. Kekalahan yang sangat memalukan dalam pilihan raya bersejarah itu disebabkan leka dalam zon selesa, penyalahgunaan kuasa dan yang paling dikesalkan ialah terbius dalam kegemilangan silam selama setengah abad di puncak kuasa. LDP terlupa bahawa politik adalah suatu yang sangat dinamik, perubahan persepsi boleh berlaku bila-bila masa.

Kesimpulannya UMNO jangan terlalu bimbang dan tergopoh-gapah membuat pelan pemulihan walaupun berada dalam keadaan tenat. Yang perlu dilakukan sekarang ialah membina keyakinan rakyat bahawa parti ini cakap serupa bikin. Kalau boleh kurangkanlah majlis memotong reben yang lebih syok sendiri dan tidak memberi faedah kepada rakyat. 

UMNO mesti menjadi parti yang lantang membanteras rasuah, tidak kira dalam bentuk apa dan di mana. Kalau boleh saringan calon yang bersih sahaja dibenarkan bertanding wajar dilaksanakan juga dalam pemilihan jawatan dalam parti. Ini lanjutan daripada saringan yang dibuat kepada calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya umum. 


Bagaimanapun saya percaya Islam menjadi benteng ahli-ahli UMNO daripada terlibat dengan rasuah dan lain-lain lagi yang menyalahi hukum Islam. Inilah yang mesti ditonjolkan supaya ia menjadi wajah peribadi UMNO.


1 comment:

  1. Ku, yang dihormati perjuanganmu,

    Kini UMNO sudah terjadi "pseudo" atau "palsu" kerana ramai mereka termakan oleh kuman tamak haloba sombong bongkak dengki khianat.
    Cadangan Ku Seman bahwa UMNO mesti dipulih adalah nasihat ukhrawi - maksudnya kalau dia orang mahu elak dibakar api neraka jahannam.
    Takkan Melayu yang hati mulia hilang di atas dunia disebabkan syaitan iblis bersongkok dan berkain sarong!

    ReplyDelete