Wednesday, November 25, 2015

ANEKDOT AHAD 12 OKT 14

12/10/14

AS biaya Islamic State (IS), Obama pelakon utama
(Mingguan Malaysia 12 Oktober 2014)


 Barangkali ada antara kita yang menggeleng kepala apabila menonton footage dalam berita di televisyen tentang keganasan pelampau Islamic State (IS) yang membunuh orang awam dengan kejam. Lebih-lebih lagi apabila agensi berita Barat menyiarkan gambar dan video wartawan AS, James Foley akan dipancung oleh IS di satu kawasan yang tidak diketahui.

Tetapi jangan lupa AS sebenarnya lebih banyak membunuh orang Islam di Iraq, sementara di Palestin dilakukan oleh proksinya regim Zionis Israel. Di Iraq sahaja lebih setengah juta dibunuh dalam perang Iraq, pembersihan etnik terbaru oleh regim Zionis di Gaza, Palestin yang menjangkau 2,000 orang. Ini belum dikira kecederaan dan kemusnahan harta benda.

Elok simpan dahulu simpati kita kepada wartawan yang dipancung itu. Sebabnya apa yang kita lihat atau baca adalah salah satu daripada babak dalam drama propaganda yang sedang dimainkan oleh AS. Saya bukan menyokong keganasan dan harap tidak ada bekas Duta AS yang pernah ke Malaysia sasau dan mengecam saya menyokong pelampau.

Saya hanya mahu merasionalkan beberapa babak dalam drama yang sedang dipertontonkan di hadapan kita termasuk masyarakat Islam di seluruh dunia. Keganasan IS yang kononnya membunuh orang Islam fahaman Syiah adalah babak yang dicipta oleh AS. Babak-babak itu tidak benar. Yang benarnya orang Islam dibunuh, dihina dan termasuk dinafikan hak untuk mendiami negara sendiri.

Saya tertarik dengan hujah penyelidik geopolitik, Tony Cartalucci dalam Global Research yang mengistilahkan tindakan AS menbiayai IS sebagai "geopolitical arsonist" iaitu kembali ke tempat yang pernah dibakar untuk terus menguasainya. Bagi Cartalucci, AS kembali ke Iraq dan menguasainya dengan helah memerangi IS. Ini juga helah Obama yang sebelum ini menarik keluar semua tentera AS di Iraq.

AS sengaja menyekutukan pelampau dengan Islam apabila mencipta nama 'Islamic State' yang membawa nama Islam dalam perbuatan tidak berperikemanusiaan. Islamic State digunakan secara meluas oleh media Barat.

Para sarjana Islam di seluruh dunia bersepakat menepis dan mengatakan bahawa pelampau IS bukan mengamalkan ajaran Islam. Memang betullah. Masakan AS memerlukan pejuang yang mengamalkan ajaran Islam kerana ini menggagalkan propaganda mereka. Sebab itu mereka memilih IS yang tidak mengikut ajaran Islam.

Dalam banyak analisis IS didakwa dibiaya oleh AS untuk memburuk-burukkan Islam. Bukan mustahil atau perkara baharu, buktinya AS sendiri sebelum ini yang mempopularkan istilah 'Islamofobia' yang menggambarkan suasana fobia Barat terhadap Islam. Islamofobia lahir selepas serangan 11 September 2001 di New York yang menurut banyak penganalisis serangan itu dirancang oleh CIA untuk mendapatkan 'lesen' AS menyerang Iraq.

Hujah ini diperkuatkan oleh kenyataan Pengarah Agensi Keselamatan Kebangsaan era Ronald Regan, Jeneral William Odom. Dia mengakui, untuk memastikan kelangsungan kuasa, AS sudah lama menggunakan pelampau untuk mencapai agendanya. Misalnya pada era 1970-an, CIA menggunakan Ikhwanul Muslimin untuk menyekat pengaruh Kesatuan Soviet menyebarkan fahaman Marxist di Mesir yang menjadi proksi AS.

Malah CIA juga melahirkan Osama Ben Laden pada era 1980-an di Afhganistan. Malah bekas Setiausaha Luar British, Robin Cook sendiri mengaku bahawa Al Qaeda adalah produk agensi perisikan Barat (CIA) . CIA melatih dan membiayai Al Qaeda untuk menentang Rusia di Afghanistan.

Atas sebab itulah kita jangan mudah terpengaruh dengan video pelampau IS membunuh wartawan AS yang disebarkan secara meluas. Semua ini tidak lebih propaganda untuk mengalihkan perhatian dunia daripada melihat kejahatan tentera Zionis Israel yang membunuh beribu-ribu orang awam di Gaza, Palestin kepada pelampau IS.

Baru-baru ini akhbar USA Today pada tajuk muka depannya berbunyi , "Obama authorizes airstrikes in Iraq to stop genocide" melaporkan seolah-olah Obama penyelamat dunia. Dia kononnya menyelamatkan orang Islam yang menjadi mangsa tidak perikemanusiaan IS. Obama seorang yang bijak, dia mencipta kewiraannya supaya dilihat sebagai penyelamat dunia. Kalau tidak sudah tentu dia tidak sanggup membohongi dunia bahawa Osama Ben Laden sudah ditangkap dan dibunuh tanpa sertakan bukti yang boleh dipercayai.

Apabila Obama begitu beria-ia memerangi IS kononnya membunuh orang awam, apakah kita boleh melupakan AS yang membunuh lebih setengah juta rakyat Iraq? Apakah IS dalam konteks Iraq misalnya lebih bahaya berbanding AS sendiri yang membunuh lebih berkali-kali ganda jumlahnya?
Maka dalam konteks ini AS lebih mendatangkan bahaya berbanding IS. Kejahatan AS terlindung di sebalik IS yang mencemarkan Islam.

Akhbar The Telegraph 8 Mac tahun lalu menerusi analisis bertajuk "US and Europe in major airlift of arms to Syrian rebels through Zagreb" antara lain mendedahkan AS menyalurkan bantuan ketenteraan sebanyak 30,000 tan kepada pelampau di Syria dan senjata itu dihantar dari Zagreb menggunakan 75 kapal terbang pengangkut tentera kepada puak pelampau yang sekarang dikenali sebagai IS.

No comments:

Post a Comment