Monday, August 3, 2015

Rupa-rupanya RM2.6 bilion tu 'derma'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  hari ini mengesahkan bahawa wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Najib Razak adalah 'derma' dan bukan dari 1MDB. 

Saya fikir  Najib  tidak berlaku adil kepada beberapa agensi yang  menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menyiasat laporan The Wall Street Journal yang mendakwa wang RM2.6 bilion dimasukkan dalam akuan peribadi Najib.

Sepatutnya awal-awal lagi  Najib mengaku bahawa laporan The Wall Street Journal itu betul iaitu  ada pihak yang memasukkan 'derma' RM2.6 bilion dalam akuan peribadinya.  Kalau berbuat begitu tidak ada  agensi yang membuang masa dan belanja untuk menyiasat 'derma' tersebut.

Pihak yang mendakwa The Wall Street Journal menyiarkan berita palsu terpaksa menerima kenyataan bahawa Najib yang tidak berterus terang tentang wang 'derma' tersebut.  Saya sejak  awal lagi sangat  ragu apabila dikatakan  The Wall Street Journal menyiarkan berita palsu.

Walaupun  laporan yang mengatakan  wang  setinggi gunung itu diambil dari 1MDB 'setakat ini'  tidak benar tetapi  kemasukan wang tersebut dalam akuan peribadi Najib adalah benar.  Nasib baik saya tidak turut serta mengutuk  The Wall Street Journal, kalau tidak hari ini saya malu besar kerana wang itu wujud.

Saya hairan kenapa SPRM kata mereka tidak menyiasat kemasukan wang sebanyak itu dalam akuan peribadi Najib,  SPRM hanya menyiasat adakah  wang itu dari  1MDB.  Lurus bendulnya  SPRM kita.  Tidak mengapalah,  lagi pun wang 'derma' tidak ada salahnya. 

Saya percaya rakyat juga gembira kerana Perdana Menteri mereka murah rezeki kerana mendapat 'derma' yang begitu banyak dari  phak yang entah mana-mana dan siapa-siapa.  Sepatutnya rezeki yang murah itu dikongsikan kegembiraannya dengan rakyat. Caranya menghebahkan kepada rakyat.

Jangan bimbang rakyat pun tidak menuntut wang 'derma' itu kerana sedar bukan untuk mereka.  Rakyat rasa sedikit berkecil hati kerana orang luar (The Wall Street Journal) yang tahu tentang  'derma' tersebut.  Siapa kata tidak ada manusia berhati mulia di dunia ini?  Tengok,  RM2.6 bilion didermakan dan tidak pula menghebahkan namanya.

Kalau impian rakyat untuk mengenali penderma itu,  saya fikir jangan harap sangatlah. Sebabnya apabila tangan kanan menderma,  tangan kiri tidak boleh tahu. Mungkin selepas ini  Menteri Agama, Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Agama,  Asyraf Wadji  Dusuki akan memberikan hadis-hadis yang  mengatakan bahawa penderma yang mulia tidak mahu dihebahkan 'perbuatan mulia'. 

Bukan seperti sesetengah pihak bagi derma hulur cek  saiz meja, ambil gambar tengok kamera pula.  Setidak-tidaknya penderma kepada Najib berhati mulia kerana tidak menonjolkan diri.



3 comments:

  1. Kalau wang itu wang derma, okeylah. Harap pihak-pihak berkuasa tidak hanya siasat akaun peribadi Presiden UMNO sahaja, untuk berlaku adil siasat juga akaun peribadi Setiausaha Agung DAP, Presiden/Mursyidul Am PAS, Presiden MCA/MIC dan Ketua Umum PKR...

    ReplyDelete
  2. Tabik Ku Seman ! Kita tegakkan kebenaran. RM2.6 billion jika Najib simpan dalam saham dengan dividen 7% bererti beliau akan mendapat RM182,000,000 dividen setahun atau RM15,166,667 sebulan atau RM505,556 sehari.maknanya setiap hari beliau boleh memberikan seorang setengah juta untuk menutup mulut mereka. Maka tiada pemimpin dalam UMNO, seperti Zahid dll yang boleh menumbangkan beliau dan membenarkan beliau melakukan apa saja sesuka hati. Jika itu yang dilakukan maka luputlah demokrasi dan hancurlah negara ini. Tahniah di atas keberanian anda.

    ReplyDelete
  3. Saya anggap duit itu kena " derma" sebab mungkin mereka " derma" kerana parti atau najib ada kepentingan mereka. Sama juga anwar diberi wang oleh dari pihak luar kerana ada kepentingan

    ReplyDelete