Monday, August 3, 2015

Kenapa dibangkitkan kewajaran dana politik?

KEMAS KINI

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan penderma.

Ia, kata suruhanjaya itu lagi, bukan berpunca daripada dana syarikat pelaburan negara 1MDB.

“Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada peguam negara,” kata SPRM.

“Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB,” kata SPRM.

Dalam kenyataannya hari ini, SPRM juga mengingatkan bahawa badan itu hanya menumpukan siasatan terhadap dakwaan kemasukan dana ke akaun Najib dan  SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

(Sumber: Malaysiakini)




POSTING ASAL

Kenapa selepas  Timbalan Perdana Menteri yang tersingkir, Muhyiddin Yassin mendedahkan yang Perdana Menteri, Najib Razak mengakui wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang kontroversi itu dimasukkan dalam akuan peribadinya,  juak-juak UMNO membangkitkan tentang 'kewajaran'  dana politik? 

Adakah kerja juak-juak UMNO ini (saya bukan anti UMNO tetapi juak-juak pengampu)  untuk membina persepsi rakyat bahawa ada kewajaran untuk UMNO menerima dana politik berbilion ringgit dari pihak yang tidak dinyatakan dari luar negara?  Dalam lain perkataan,  wang RM2.6 juta itu memang wujud dalam akaun Najib.

Sebenarnya dana politik  kepada parti politik bukan perkara baharu.  Seperti kata Pemikir Jasa, Tun Faisal Tun Aziz,  kita boleh sahaja menerima wang yang dimasukkan dalam akuan peribadi kita.  Dalam konteks ini Tun Faisal mempertahankan tindakan Najib  membenarkan  wang itu dimasukkan dalam akaun peribadinya.

Bagaimanapun yang bukan perkara baharu ialah  dana politik dimasukkan dalam akuan peribadi individu yang boleh membuat keputusan dalam banyak perkara di negara ini.  Kalau dimasukkan dalam akuan juak-juak UMNO,  saya fikir tidak menjadi persoalan  yang besar. Ini kerana sejauh manakah kuasa juak-juak berkenaan dalam membuat keputusan hal negara.

Rakyat  marhaen jangan termakan dengan perang persepsi yang dilancarkan untuk mendapat sokongan dalam  isu dana politik.  Katakan  ya kepada dana politik dalam negara yang diberikan kepada parti politik. Tetapi katakan tidak kepada dana politik luar negara atau dalam negara kepada individu yang boleh membuat keputusan.

Saya tidak tahu sama ada wang RM2.6 bilin  itu  dimasukkan dalam akaun  Najib. Tetapi daripada hujah-hujah mempertahankan dana politik dan kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said  bahawa RM2.6 bilion bukan isu besar  telah mengiyakan perkara tersebut.

Saya tidak cemburu kalau ada manusia pemurah yang memberikan  RM2.6 bilion kepada orang lain dan bukan kepada saya.  Tetapi persoalan  yang bermain di kepala saya siapakah  yang  pemurah itu?   Kalau UMNO menganggap  dana politik suatu yang wajar,  dedahkan  daripada siapa dana itu.

Nasib negara kita yang satu ini  di tangan  rakyat semua.  Bukan di tangan pemimpin yang datang dan pergi. Atau yang datang tetapi tidak mahu pergi.  Rakyat termasuk yang marhaen bertanggungjawab menyelamatkan negara ini.  Jangan percaya dengan  kokokan  sesetengah pihak kononnya  berkerja untuk rakyat. 

Jadi,  apabila  nasib negara ini di tangan kita semua warga yang marhaen ini,  kita kenalah mengambil tahu dan berfikir lebih panjang  supaya tidak diperdayakan hidup-hidup.  Kita kena  menggerakkan kepala dan otak kita memikirkan siapakah yang memberi dana  sebanyak itu dan kenapa?  Jangan merasa takut untuk mempersoalkan sesuatu yang kita sangsi kerana tugas  pemimpin  adalah  memberikan penjelasan.

Kalau mereka tidak boleh memberikan penjelasan, misalnya  siapakah yang memberi dana sebanyak itu,  kita jangan mempercayai kata-kata mereka kecuali  dibuktikan benar.  Saya fikir  semua rakyat  wajar bimbang sekiranya  dana itu datang daripada pihak yang mempunyai agenda untuk menghancurkan  negara ini dan Islam seluruhnya.

Rakyat tidak bersalah kerana mereka bukan menuduh tetapi  mempersoalkan.  Sekarang ini kita tidak boleh mengharapkan lagi anggota Kabinet (Menteri dan Timbalan Menteri) bercakap bagi pihak rakyat kerana mereka sudah tidak boleh bercakap perkara yang terkeluar dari skrip.  Buktinya Muhyiddin yang bercakap di luar skrip,  hukumannya lihatlah apa yang berlaku dan akan berlaku  kepada beliau.


Pesan saya,  jangan membiarkan  ada pihak yang cuba memperbodohkan  rakyat dengan  fakta itu dan ini.  Pemikiran  rakyat kena dikeluarkan dari  terkepung dalam kotak dan  taksub kepada individu atau parti.  Mereka telah membina ketaksuban ini apabila membesar-besarkan  sokongan kepada pihak tertentu.  Saya tidak mahu negara saya dihancurkan kerana memperjuangkan  secara buta, tuli, pekak dan binggong  terhadap individu tertentu. Anda bagaimana?

No comments:

Post a Comment